Ahad, 30 November 2014

ARTIKEL KARYA AGUNG

Pautan artikel berkaitan karya agung di akhbar dan internet










ULASAN ARTIKEL KARYA AGUNG

1. Ulasan artikel "Kembalikan Hang Tuah ke Tempatnya"


           Pendahuluan

   Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah karya besar jika ingin dibandingkan dengan karya-karya Melayu tradisional yang lain kerana di dalamnya tercakup pelbagai pesanan dan gagasan yang harus direnung oleh setiap pembacanya terutama bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah harus diterima dan dinilai sebagai sebuah karya sastera dan bukanlah sebuah sejarah. Ini jelas dilihat daripada namanya sendiri ‘hikayat’ yang bermaksud cerita. Kesusasteraan Melayu jenis inilah yang menjadi titik permulaan kepada bentuk novel atau roman Melayu. 

   Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang di dalamnya telah dimuatkan dengan cita-cita dan kebesaran bangsa Melayu. Hikayat ini telah mencatatkan riwayat hidup bangsa ini sejak mulanya melewati zaman pembangunan, lalu ke zaman kebesaran dan akhirnya ke zaman kehancurannya. Tokoh utamanya iaitu Hang Tuah telah mewakili bangsa itu sendiri mengenai cita-citanya, kebolehannya dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pembatasan ini penting kerana sudah tentu Hang Tuah tidak dapat mewakili peribadi Melayu sepanjang zaman kerana unsur-unsur keperibadian itu sendiri ditentukan oleh keadaan sejarah. Walau bagaimanapun, hikayat ini dan wiranya telah melahirkan suatu sikap hidup Melayu, iaitu sikap hidup yang berlaku sebelum datangnya peradaban moden dan yang sedang bergeser dengan sikap hidup baharu yang dibawa oleh barat. 

   Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah hikayat Melayu lama yang asli dan tiada tolok bandingnya dengan kesusasteraan Melayu lama yang lain. Cerita-cerita panji seperti Hikayat Cekel Waneng berasal daripada Jawa, Hikayat Seri Rama dan Hikayat Sang Boma disadur daripada epik Hindu, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah pula diterjemahkan daripada sumber-sumber Islam dan hanya Hikayat Hang Tuah ini sahaja satu-satunya epik Melayu asli. Sebagai satu ciptaan sastera Melayu lama, hikayat ini mempunyai nilainya tersendiri kerana tiada satu pun karangan lama sebelumnya atau selepasnya yang memperlihatkan aliran realisme. Hikayat Hang Tuah mengisahkan manusia-manusia Melayu yang hidup meskipun manusia itu diberikan sifat yang luar biasa. Oleh itu, Hikayat Hnag Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang unggul yang memaparkan keintelektualan pengarang Melayu pada waktu itu.

   Pada zaman tradisional Hang Jebat dianggap sebagai penderhaka dan dibenci oleh masyarakat tetapi dalam tahun 1960-70-an imej Hang Jebat telah berubah dan beliau telah menjadi wira dalam bangsa Melayu. Sehingga kini banyak tafsiran baru terhadap Hikayat Hang Tuah telah dibuat bagi memurnikan watak Hang Jebat. Tafsiran baru ini dapat dilihat dalam dua bentuk utama iaitu skrip drama dan penulisan ilmiah. Di dalam skrip drama yang ditulis oleh Ali Aziz, beliau telah meletakkan Hang Jebat sebagai wira bangsa yang memperjuangkan keadilan dan membela sahabat yang dizalimi oleh raja. Watak Hang Jebat dikatakan telah menderhaka kepada raja kerana ingin membela Hang Tuah dan ingin menegakkan keadilan. Hang Jebat juga dikatakan telah menjaga keluarga Hang Tuah dengan mengambil berat perihal anak dan isteri Hang Tuah. Selain Ali Aziz, Usman Awang juga merupakan salah seorang pemutar watak Hang Jebat untuk disesuaikan dengan perjuangan kemanusiaan sejagatnya. Beliau turut membina watak Hang Jebat sebagai seorang pejuang kebenaran dan menentang kezaliman. Pada bahagian akhir kata pengantar, Usman Awang cuba menarik perhatian khalayak dengan membakar semangat mereka supaya menyokong dan membenarkan perjuangan Hang Jebat dengan satu slogan perjuangan Hang Jebat iaitu ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’.  Dalam penulisan ilmiah, sarjana terkenal yang melihat Hang Jebat dalam pendekatan moden ialah Kassim Ahmad. Sesuai dengan fahaman sosialisnya, beliau melihat pentingnya pertentangan kelas atau pertentangan masyarakatbawahan terhadap golongan atasan yang bersifat feudal demi melahirkan sebuah masyarakat yang adil tanpa penindasan. Mengikut fahaman ini, semua golongan yang bekerjasama atau menyokong golongan aristokrat tidak boleh diberi tempat sebagaimana yang dilakukan oleh Hang Tuah. Hnag Jebat yang telah mencabar raja dan menjadi penderhaka ditafsirkan sebagai seorang yang mempunyai unsur kepahlawanan, namun ia gagal dalam perjuangan menegakkan kebenaran kerana memilih untuk setia kepada seorang sahabat dan dianggap sebagai pemberontak. Antara sarjana lain yang sealiran dengan Kassim Ahmad ialah Solehah Ishak yang turut mengetengahkan mengenai falsafah hidup watak itu. Abdul Rahman Napiah turut meletakkan Hang Jebat sebagai pahlawan Melayu yang berani menentang Raja semata-mata demi persahabatan. Beliau menyifatkan Hang Jebat sebagai pemecah tradisi feudalisme dan percaya perkara yang dilakukannya adalah benar dan hak. Menurut Mohammad Haji Salleh pula, beliau mengatakan memiliki peribadi yang utuh dengan kesungguhan dalam segala reaksinya. Jebat dikatakan memberontak berasaskan akal pemikiran bukanlah kerana kemarahan emosi.

   Perubahan pandangan masyarakat terhadap imej Hang Jebat sekali gus merubah juga pemikiran mereka terhadap Hang Tuah. Hang Tuah bukan sahaja tidak lagi disanjung malah diletakkan sebagai pengkhianat sahabat, tiada sikap bertimbang rasa, tidak menegakkan keadilan, dan ada juga yang menganggap Hang Tuah sebagai pejuang yang kolot. Kalau dilihat berdasrkan teks Hikayat Hang Tuah, hampir seluruhnya memperlihatkan ketokohan seorang wira Melayu yang bertanggungjawab menjaga dan mengagungkan raja serta negara kota Melaka. Abdul Rahman Napiah yang pernah meletakkan Hang Jebat sebagai wira bangsa turut meletakkan nilai-nilai yang baik dalam menilai watak Hang Tuah mengatasi sikap Hang Jebat. Menurutnya, Hang Tuah merupakan seorang yang cukup pintar, tajam fikiran, jauh pandangan dan mempunyai banyak muslihat. Sebagai seorang hulubalang, Hang Tuah dikatakan seorang wira yang serba sempurna baik dari segi jasmani, rohani, pemikiran, tindakan dan cara berbudaya. Pengarang Hikayat Hang Tuah dilihat ingin membina semula negara kota berdasarkan jatuh bangunnya kerajaan Melayu Melaka. Raja Melaka yang ramai termasuk Raja Iskandar Syah hingga Mahmud Syah disatukan diri Sang Maniaka. Pembesar dan Hulubalang yang baik pula disatukan pada watak Hang Tuah dan yang tidak baik digabungkan membentuk watak Hang Jebat. Mengikut sejarah, negara kota Melaka mencapai kegemilangan sewaktu pemerintahan Sultan Mansur dan Alauddin yang banyak dibantu oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah mengambil gelaran yang dipakai oleh Tun Perak sebagai nama Bendahara iaitu Paduka Raja. Sultan Mansor diambil sebagai model raja dalam karyanya yang bernama Sang Maniaka. Semua sifat baik pembesar dan hulubalang terutama Tun Perak diambil dan dimasukkan ke dalam satu watak iaitu Hang Tuah. Hang Tuah telah diberikan sifat yang baik sebagai lambang wira bangsa Melayu. Manakala sifat tamak, dengki, angkuh, seperti yang ada pada Bendahara Tun Mutahir, Raja Mendaliar dan Kitol di masukkan ke dalam watak Hang Jebat. Bagi pengarang Hikayat Hang Tuah, perbuatan atau tindakan yang tidak baik haruslah ditangani dengan bijak dan saksama, sebagaimana Hang Tuah menangani penderhakaan Hang Jebat.

 Ulasan artikel

Artikel ini membincangkan mengenai kedudukan Hang Tuah dalam kalangan masyarakat Melayu kini. Artikel ini ditulis oleh Haron Daud dan diberi tajuk ‘Kembalikan Hnag Tuah ke tempatnya’. Penulisan dan perbincangan di dalam artikel ini adalah berlandaskan dua khazanah kesusasteraan Melayu tradisional iaitu Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan artikel ini, penulis cuba untuk mengetengahkan persoalan mengenai siapakah wira bangsa yang sebenarnya sama ada Hang Tuah atau Hang Jebat. Berdasarkan teks Hikayat Hang Tuah, penulisnya cuba untuk mengetengahkan watak Hang Tuah sebagai watak yang wajar dicontohi bagi masyarakat Melayu khususnya. Namun, penerimaan masyarakat terhadap Hang Tuah sebagai wira bangsa kian luntur dan Hang Jebat yang dianggap sebagai wira bangsa atas sebab dan alasan yang tertentu. Imej Hang Jebat dalam pemikiran dan penerimaan orang Melayu telah berubah mengikut zaman dan kehendak masyarakat.

            Pandangan terhadap artikel

 Pengarang Hikayat Hang Tuah cuba menampilkan suatu jalinan cerita mengenai seorang tokoh Melayu daripada cantuman bermacam-macam tradisi Melayu dengan strukturnya yang tersendiri. Hikayat Hang Tuah ini ditulis bukanlah untuk mempamerkan sejarah pemerintahan raja-raja Melayu, tetapi ingin menonjolkan jati diri Melayu yang unggul daripada manusia lain. Hikayat Hang Tuah dapat diangkat sebagai sebuah epik Melayu kerana memiliki ciri-cirinya sebuah epik seperti kedudukan wira yang begitu tinggi dalam sejarah bangsanya, penceritaan yang berlatarkan masa yang panjang dan latar yang meluas, keunggulan sifat yang ada pada wira, dan kesaktian wira yang sukar untuk dikalahkan. Tidak dapat dinafikan bahawa Hikayat Hang Tuah adalah cerita yang menyorot Hang Tuah sebagai wira Melayu, terutama dari segi pengabdiannya kepada raja dan negara kota Melaka. Pelbagai pendapat dan pandangan hasil kajian para sarjana yang cuba untuk melihat siapakah wira Melayu yang sebenar, sama ada Hang Tuah mahupun Hang Jebat. Segala pendapat yang dikemukakan mempunyai alasannya yang tersendiri dan dapat diterima namun kita perlu berbalik kepada teks asli Hikayat Hang Tuah dalam mencari wira sebenar yang cuba ditonjolkan. Mungkin terdapat beberapa kekurangan dalam watak Hang Tuah yang dianggap sebagai wira Melayu, namun kita perlu juga melihat zaman hikayat tersebut ditulis, dan membandingkan hasil tulisan tersebut selari dengan zamannya dan tidak membandingkannya dengan zaman sekarang yang sudah tidak lagi mengamalkan sistem feudal dan raja berkuasa mutlak. Berdasarkan teks asal Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah merupakan watak utama yang ingin ditonjolkan dan bukanlah watak Hang Jebat. Watak Hang Tuah digarap sebagai seorang yang amat taat kepada raja sesuai dengan zaman tersebut yang mempercayai raja itu berdaulat dan perlu dihormati dan ditaati walaupun terpaksa mengorbankan diri sendiri. Hal ini merupakan situasi yang berlaku pada zaman tersebut dan bagi orang yang tidak menghormati raja akan dianggap sebagai penderhaka seperti watak Hang Jebat yang pastinya tidak boleh dijadikan sebagai contoh yang baik pada zaman tersebut. Selain taat kepada raja, Hang Tuah juga digambarkan sebagai seorang yang memiliki keperibadian yang mulia,seorang yang berilmu dan mempunyai ciri-ciri seorang pahlawan yang tiada tandingannya. Semua sifat yang cuba ditonjolkan dalam watak Hang Tuah menjadikan watak tersebut sempurna tanpa sebarang cacat celanya sebagai seorang wira bangsa. 

   Pemberontakan Hang Jebat berlaku kerana dorongan kemanusiaan dalam dirinya untuk membela keadilan yang telah dicabul oleh raja. Raja bertindak zalim sedemikian kerana raja berkuasa mutlak, Fikiran salah beliau ini disahkan oleh masyarakat feudal pada waktu itu. Apabila pemberontakan ini gagal, kerana digagalkan oleh rakan karib, rakan seperjuangan dan orang yang dibelanya, perasaan kecewa yang amat dahsyat menyebabkan Jebat bertindak liar dan melepaskan geram terhadap orang Melaka yang mendukung prinsip feudal yang zalim itu. Perbuatan Hang Jebat ini tetap dianggap salah kerana sikap dan kepercayaan masyarakat pada zaman tersebut yang amat menghormati dan menyanjungi raja. 

   Kebahagiaan negeri Melaka sering dikaitkan dengan ketokohan Hang Tuah. Sewaktu Hang Tuah masih gagah, negeri Melaka berada di puncak kegemilangan tetapi pabila Hang Tuah telah kehilangan kerisnya,kegemilangan Melaka mulai suram. Secara tidak langsung pengarang Hikayat Hang Tuah cuba menunjukkan kewajaran dalam kejatuhan Melaka. Gambaran kejatuhan Melaka telah mula dibayangkan sejak mahkota Raja Melaka jatuh ke dalam laut di Selat Singapura. Begitu juga apabila mahkota Melaka disambar buaya putih , itu tanda bahawa Melaka akan jatuh ke tangan Portugis, golongan manusia berkulit putih. Hikayat Hang Tuah dicipta kembali oleh pengarangnya sebagai pralambang untuk menyorot kembali keagungan Melaka dan Hang Tuah sebagai wira yang membawa kebanggaan kepada negeri Melaka. 

4.0       Kesimpulan

Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah hikayat yang mantap yang cuba dipaparkan oleh penulisnya sebagai satu wadah untuk menonjolkan jati diri Melayu. Jati diri Melayu cuba dipaparkan melalui tokoh Hang Tuah lima bersaudara dan Hang Tuah sebagai wiranya yang unggul. Kemantapan aspek fizikal, mental, dan rohani yang terdapat dalam watak Hang Tuah menjadikannya seorang tokoh yang berwibawa. Beliau telah memantapkan dirinya dengan pelbagai ilmu, dan dengan ilmu inilah menyebabkan seorang manusia itu dihormati. Aspek rasional dalam berfikir pula ditonjolkan melalui watak Hang Jebat yang menentang raja. Pengarang sebenarnya ingin memaparkan mengenai akan sampai waktunya rakyat akan menuntut hak sebagai rakyat dan akan tiba waktunya kedudukan sultan akan goyah. Bagi menjadikan kedudukan rakyat dan raja ini stabil, kedua-dua kelompok harus menyedari hak dan tanggungjawab masing-masing. Oleh itu, berdasarkan Hikayat Hang Tuah, dapatlah disimpulkan bahawa kita haruslah mempunyai jati diri yang unggul dan benar-benar murni seperti yang dilakukan oleh Hang Tuah. Rakyat pula hendaklah setia kepada pemerintah dan cintakan negara, manakala pemerintah pula perlulah adil dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang pemimpin.

Rujukan:

Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan  Dewan Bahasa dan Pustaka.

(http://karyaagung013.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung.html)

Ulasan artikel berdasarkan artikel "Ilmu Ketatanegaraan Melayu Abad ke-19: Kajian Terhadap Karya Raja Ali Haji"


1.0              Ulasan artikel
         Artikel ini mengetengahkan Raja Ali Haji (1808-1873) sebagai ilmuwan dalam bidang ilmu ketatanegaraan Melayu. Karya beliau Gurindam Dua Belas, Bustan al-Katibin dan Tuhfat al-Nafis telah mengangkat kesarjanaan beliau dalam bidang sastera dan sejarah. Dalam kajian ini penulis mendapati karya beliau Thamarat al-Muhimmah juga memiliki kehebatan yang tersendiri dan dapat dianggap sebagai karya besar dalam ilmu ketatanegaraan Melayu. Antara perkara penting yang beliau kemukakan dalam karyanya ialah kepentingan akidah, kepentingan ilmu, pelantikan raja dan pemakzulannya, hukum menerima hadiah dan rasuah, kedudukan ulama atau ilmuwan dalam pemerintahan, prinsip keadilan, hubungan agama dan negara, pertalian antara hukum syarak, hukum akal dan hukum adat, tugas penjawat awam, tugas raja atau penguasa, kepentingan pemeliharaan jiwa, raga, dan kehormatan dan sifat-sifat tercela yang mesti dijauhi oleh raja dan orang-orang besar demi kemakmuran bangsa dan negara.
              
   S        Semua permasalahan tersebut dijelaskan dengan padat dan ringkas, sehingga mudah difahami dan diamalkan oleh pembacanya. Karya Raja Ali Haji ini juga menggambarkan kuatnya pengaruh kerangka pemikiran Islam dalam pandangan dunia ilmuwan Melayu ketika itu sebelum merebaknya kerangka pemikiran yang sekular dan liberal. Oleh kerana karya ini bersandarkan kepada karya-karya besar yang ditulis oleh ulama -ulama  besar dalam sejarah Islam yang panjang,  Thamarat al-Muhimmah dapat dianggap sebagai karya kemuncak ilmu ketatanegaraan Melayu yang bersumberkan tradisi keilmuan Islam.

2.0              Pandangan terhadap artikel
           Ilmu ketatanegaraan bermaksud ilmu yang berkaitan tentang pentadibiran dan pemerintahan dalam sesebuah negara. Raja Ali Haji telah menekankan beberapa perkara yang penting merujuk kepada ilmu ketatanegaraan. Beliau telah menekankan bahawa pemerintahan yang baik adalah pemerintahan berdasarkan ilmu. Oleh itu, pemimpin yang bijak perlu mementingkan prinsip keadilan, kedaulatan syariah dan melaksanakan pemerintahan dengan musyawarah. Penekanan yang dilakukan oleh Raja Ali Haji terhadap keutamaan ilmu menggambarkan kebijaksanaan beliau yang mendahului zaman. 

Pa            Pada hari ini, negara-negara maju memilih  pemimpin dalam kalangan orang yang berilmu. Malah, rakyat dari negara maju akan berasa malu jika  pemimpin yang muncul walaupun dipilih secara demokratik  tidak dapat dibanggakan dari segi ilmunya. Oleh hal yang demikian, Raja Ali Haji telah meletakkan ilmu sebagai syarat perlantikan seorang raja atau pemimpin tertinggi sesebuah negara. Perlantikan pegawai-pegawai kerajaan, hakim dan qadi hendaklah dalam kalangan orang-orang yang berilmu. Setiap pertimbangan atau keputusan yang diambil perlu  memenuhi kemaslahatan agama dan kemaslahatan duniawi.

        Melalui karya-karyanya juga, Raja Ali Haji menerangkan peranan tasawuf dalam membimbing dan menyelamatkan seseorang daripada menjadi pemimpin yang jahat atau zalim. Beliau mengatakan bahawa seseorang itu tidak akan dapat menjadi pemimpin yang baik jika tidak mengetahui penyakit-penyakit hati atau sifat-sifat tercela seperti takbur, dengki dan sebagainya yang mesti dijauhi dan diubati kerana kesejahteraan luaran bergantung kepada kesejahteraan dalaman iaitu hati. Setiap sifat tercela ini dibahas dan diterangkan bahayanya kepada diri dan negara. Oleh itu,  untuk melahirkan pemimpin dan penjawat awam yang berintegriti, tidak mengamalkan rasuah, amanah, jujur dan disiplin, kesejahteraan hati daripada penyakit atau sifat-sifat tercela itu perlu ditangani terlebih dahulu. 
         
                 Raja Ali Haji juga menekankan konsep kerajaan atau pemerintahan yang adil. Seorang raja atau pemimpin sebenarnya memerintah sebagai khalifah yang menggantikan Rasulullah dan bukan kerana keturunan. Keturunan atau darah bagi Raja Ali Haji tidak menjamin hak seseorang memerintah orang lain. Bagi Raja Ali Haji, jika keadilan dan tanggungjawab moral yang digariskan oleh Islam diabaikan maka negara tersebut akan terancam. Raja Ali Haji menentang pemerintahan kuku besi yang mengabaikan kebajikan rakyat. Raja Ali Haji sangat menekankan pentingnya raja sebagai rujukan utama.  Bagi Raja Ali Haji, para ilmuwan, wazir iaitu menteri dan pemimpin berhak untuk memikirkan dan menciptakan ilmu, kaedah dan cara baru yang beliau nyatakan sebagai ijtihad dalam persoalan keduniaan dan perlu bersesuaian dengan suruhan dan kemaslahatan agama. 

                 Di samping itu, pemerintahan dengan musyawarah juga ditekankan oleh Raja Ali Haji dalam karya-karyanya. Musyawarah adalah konsep dan prinsip yang amat penting yang mencirikan sistem pemerintahan Islam kerana musyawarah merupakan lambang pemerintahan yang adil dan bijaksana. Tambahan lagi, musyawarah dapat memastikan sesebuah negara itu diperintah berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan dan bukan berdasarkan  hawa nafsu. Musyawarah adalah prinsip dalam pemerintahan dan kepimpinan Islam dan bukan hanya satu birokrasi atau kebiasaan yang dibuat dalam setiap organisasi.  Beliau juga menjelaskan bahawa musyawarah perlu dilakukan dengan orang yang berilmu bukan dengan orang yang jahil, sombong, dengki, penakut, bakhil dan  bersekedudukan agar musyawarah yang dilaksanakan menghasilkan satu pertimbangan yang terbaik.

3.0              Kesimpulan

Thamarat al-Muhimmah  merupakan karya terulung dan kemuncak dalam ilmuketatanegaraan Islam yang lahir di zaman keemasan tamadun Melayu.  Banyak idea-idea yang dikemukakan oleh Raja Ali Haji masih relevan dan penting untuk dijadikan panduan kepada generasi umat Islam masa kini dalam menghadapi pelbagai cabaran yang datang silih berganti.  Berdasarkan  perbahasannya tentang aspek-aspek di atas dapat disimpulkan  bahawa beliau juga memiliki ilmu tentang perubatan, astronomi dan pemakanan selain ilmu-ilmu yang telah dibahas iaitu ilmu tasawuf, ilmu politik dan ketatanegaraan, ilmu bahasa, ilmu falsafah, ilmu syariah dan lain-lain lagi.

Rujukan:

Sahlan Mohd Saman (1994). Pengarang dan Kepengarangan Melayu. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Hawa Haji Salleh (2009). Kelopak Pemikiran Sastera Melayu. Bangi: 
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

UKM Journal Article Repository (2011). Dicapai 1 Mei 2013, daripada       http://journalarticle.ukm.my/3310/

(http://karyaagung013.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung.html)


ANALISIS KARYA AGUNG

SULALATUS SALATIN

KONSEP PENULISAN 
Sulalatus Salatin dianggap sebagai sebuah karya sejarah yang universal bagi masyarakat Melayu tradisi khususnya yang berpusat pada Empayar Melayu Melaka. Di dalamnya digambarkan mengenai alam masyarakat Melayu tradisi yang merangkumi bidang politik, ekonomi, masyarakat dan juga agama. Dalam linkungan tersebut yang terpenting adalah orang Melayu atau orang Melaka dengan raja-rajanya, peristiwa yang berlaku dan tindakan yang dilakukan di sekitar ketokohan dan alam persekitaran mereka. Orang luar dan peristiwa luar tidak begitu dipentingkan dan dianggap sebagai unsur sampingan yang berfungsi untuk mengukuhkan kedudukan dan keagungan seorang tokoh mahupun budaya tempatan. Orang Melayu Melaka digambarkan sebagai orang yang bijak, serba boleh, dan terkenal. Sebagai contoh, Sultan Alauddin Riayat Syah dianggap sebagai terlalu perkasa dan tiadaberbagai-bagai pada zaman itu. Penulis menggambarkan betapa orang Melayu Melaka tidak pernah kalah dalam apa juga bidang yang diceburi. Isi kandungan Sulalatus Salatin telah menampakkan sentrik Melaka dengan begitu jelas dan inti pati kandungannya menceritakan tentang sejarah kebangkitan dan perkembangan Empayar Melayu Melaka dari awal sehingga menjadi sebuah entiti tamadun yang masyhur dan terbilang. Kebangkitan dan perkembangna Melaka sebagai sebuah tamadun yang masyhur dan terbilang adalah peranan raja dan pembesar yang menerajui tampuk pemerintahan yang turut menjadi peristiwa penting yang digambarkan di dalam karya ini. Pada bahagian akhir diceritakan tentang kemasyhuran Melaka yang telah menarik minat kuasa asing iaitu Portugis yang  berminat untuk menawan pusat kegiatan politik, pentadbiran dan ekonomi perdagangan empayar Melaka. Dengan kata lain, apa yang digambarkan ialah tentang kemunculan, kegemilangan serta kebesaran Empayar Melayu Melaka sebagi sebuah pusat tamadun dunia, di mana raja serta pembesar memainkan peranan masing-masing sama ada usaha membangunkan empayar mahupun dalam mengekalkan keunggulan serta kesejahteraannya. 

KEKUATAN KEPENGARANGAN 
Sulalatus Salatin mengandungi ciri dan bentuk yang sama dengan beberapa buah karya persejarahan tradisi dalam peradaban lain. persamaan tersebut dilihat bukan hanya dengan adanya unsur kesusasteraan, tetapi juga dari tujuan penulisan dan juga kandungan peristiwa yang kerap berlegar di sekitar peperangan, pengembaraan dan kepahlawanan. Karya ini turut memuatkan mengenai semangat kewibawaan, keagungan serta kegemilangan tokoh dan peradaban yang berkenaan. Hasil persejarahan tradisi Melayu seperti Sulalatus Salatin ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Malah, karya ini merupakan satu karya yang unik, yang boleh dikatakan tidak terdapat dalam mana-mana karya yang lain. Perkara itu berhubung dengan unsur kesusasteraan yang berkaitan dengan fungsi dongeng dan mitos. Dalam persejarahan Melayu, unsur ini mempunyai fungsi kemasyarakatan dan sejarahnya yang tersendiri. Unsur tersebut dimuatkan dengan tujuan memberitahu masyarakat tentang sesuatu peristiwa dan fenomena yang tidak boleh disampaikan secara terus terang dan terbuka. Hal ini adalah kerana, nilai dan norma masyarakat Melayu pada ketika itu tidak membenarkan sesuatu yang biadab dan memalukan dipaparkan secara terang-terangan. Jika dilakukan juga, perbuatan itu akan menyebabkan seseorang itu dianggap biadab, tidak tahu adat, dan lebih teruk lagi dianggap sebagai derhaka. Dengan menyatakan sesuatu itu secara halus, pihak pengarang merasakan para pembaca atau pendengar dapat memahami mesej yang ingin disampaikan dengan lebih jelas lagi. Pihak yang disindir pula akan menerimanya dengan hati yang tenang kerana selaran itu dilakukan dengan cara yang bersopan-santun.

MOTIF PENGARANG
Motif penulisan Tun Seri Lanang adalah untuk ‘menyukakan duli hadrat baginda Sultan’ dan adalah supaya perihal yang berkenaan diketahui dan diingati oleh segala anank cucu kita yang kemudian daripada kita. Jelaslah bahawa, Tun Seri Lanang menulis Sulalatus Salatin adalah atas perintah Sultan dan agar karya sejarah ini dapat dijadikan ikhtibar dan ingatan kepada generasi akan datang. Motif seperti ini menggambarkan sifat subjektif karya dan pengarangnya sendiri, iaitu subjektif terhadap peradaban, raja-raja dan bangsanya. 
HIKAYAT ABDULLAH

KONSEP PENULISAN
Penulis Hikayat Abdullah tidak menyatakan sumber bagi sesuatu peristiwa atau tokoh yang dicatatkan kerana pengamalannya sendiri merupakan sumber yang terpenting. Beliau sering memulakan sesuatu ayat dengan beberapa ungkapan terutamanya apabila ingin memulakan sesuatu ayat ‘kata yang empunya cerita’, bermula apa yang ku dengar’. Beliau turut menggunakan perkataan ‘konon’ bagi menunjukkan rasa tidak pasti atau rasa sangsi terhadap sesuatu peristiwa yang dicatatkan. Dalam mencatatkan peristiwa mahupun perkara yang yang berkaitan dengan tokoh, Abdullah turut menyatakan sekali dengan tarikh yang berkaitan. Hikayat Abdullah masih menggunakan unsur-unsur kesusasteraan seperti dialog, syair, dan pantun tetapi hikayat ini tidak mengandungi unsur luar biasa dan khayalan seperti mitos dan lagenda. Unsur kesusasteraan yang digunakan mampu memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai sesuatu peristiwa serta lebih meyalinkan pembaca. 

KEKUATAN KEPENGARANGAN
Hikayat Abdullah mempunyai beberapa ciri persejarahan moden terutamanya jika ditinjau dari segi isi kandungan, sikap yang agak kritis, dan kesedaran dalam penggunaan tarikh yang konsisten. Hikayat Abdullah ini boleh dikatakan sebagai suatu bentuk karya persejarahan yang kritis, terutamanya terhadap catatan peristiwa. Suatu unsur penting yang terdapat di dalam Hikayat Abdullah adalah nasihat yang dikemukakan terutamanya pada akhir setiap bab. Kadang kala unsur nasihat dimuatkan selepas penerangan tentang sesuatu peristiwa yang berlaku. Melalui bahagian nasihat ini, Abdullah seolah-olah ingin menyedarkan pembacanya tentang kesilapan dan kekeliruan mereka selama ini. Hikayat ini juga masih lagi sebahagian daripada tradisi persejarahan Melayu-Islam. Abdullah sering menyelitkan sebutan tentang Allah dan Rasulnya dalam penceritaan beliau. Oleh itu, Hikayat Abdullah dapat digolongkan ke dalam kategori persejarahan tradisi Melayu-Islam yang memuatkan beberapa unsur persejarahan moden.


MOTIF PENGARANG
Tujuan tersurat yang utama mengapa beliau menulis karya ini adalah untuk memenuhi permintaan ‘seorang sahabatku, iaitu orang putih yang kukasihi akan dia, maka ialah meminta sangat-sangat padaku iaitu kehendak mengetahui asal-usulku, dan peri hikayat kehidupan diriku. Maka ia meminta karangkan satu kitab dalam bahasa Melayu.
TUHFAT AL-NAFIS

KONSEP PENULISAN
Raja Ali Haji bukan sekadar menyalin sahaja peristiwa daripada sumbernya tetapi beliau membuat perbandingan dan penafsiran semula sumber. Matlamatnya supaya kandungan yang ditulisnya berkualiti dam boleh dimanfaatkan oleh para pembaca. Fakta-fakta yang diverikan oleh beliau adalah sumber interpretasinya sendiri. Dalam penulisan bahagian kedua Tuhfat Al-Nafis, sumber yang dirujuk digabungkan dengan peristiwa dan perkembangan yang didengar atau disaksikan dan kemudian memberikan tafsiran dan pendapat dari sudut pandangannya sendiri. Beliau menceritakan sebuah peristiwa dengan terperinci dan diteliti disebabkan oleh ketajaman pemerhatiannnya. Ketepatan peristiwa yang diceritakannnya pula adalah tinggi kerana beliau menyaksikan sendiri peristiwa sejarah yang berlaku. Oleh sebab Raja Ali Haji menulis atas kehendak sendiri maka beliau boleh bersikap objektif dan kritikal dalam menilai setiap peristiwa yang dikaji. 

KEKUATAN KEPENGARANGAN
Raja Ali Haji sedar akan kepentingan sumber dalam penulisan sesebuah karya. Oleh itu, beliau menggunakan sumber rujukan dalam menghasilkan karyanya. Sumber yang digunakan oleh Raja Ali Haji adalah terdiri daripada sumber bertulis dan sumber lisan tetapi senarai sumber bertulis yang dirujuk tidak dimasukkan. Rujukan terhadap sumber bertulis dapat dilihat melalui frasa ‘tersebut di dalam siarah’, aku dapat dalam setengah kaul’ dan ‘aku terjumpa dengan sejarah’. Sumber lisan pula berupa pengumpulan ingatan atau hafalan yang berkemungkinan diperoleh daripada tokoh kerabat Di Raja Johor-Riau atau dari negeri Melayu yang lain. Sumber lisan biasanya ditandai dengan ungkapan ‘kata setengah kaul’, ‘kata kaul orang-orang tua’, dan ‘kata sahibul hikayat’. Jika sumber yang dirujuk diragukan kebenarannya, maka Raja Ali Haji akan menyatakan dengan perkataan ‘konon’ dan ‘wallahualam’. Dengan cara memaparkan sumber dalam penulisannya, Raja Ali Haji berharap beliau dapat memaparkan kebenaran sejarah dan tidak menimbulkan keraguan atau kekeliruan terhadap pembaca karya beliau.


MOTIF PENGARANG
Tujuan umum penulisan Raja Ali Haji adalah untuk memberikan penerangan kepada khalayak umum mengenai hubungan sosiopolitik antara puak Melayu dan Bugis serta peristiwa yang berkaitan dengannya. Raja Ali Haji menulis adalah dengan dorongan untuk menghasilkan sebuah ‘kitab yang sempurna’ dan bukanlah untuk memenuhi titah perintah orang yang berkuasa. 


Sumber diperoleh daripada http://karyaagung013.blogspot.com/2013/03/analisis-karya-agung.html