Ahad, 30 November 2014

ANALISIS KARYA AGUNG

SULALATUS SALATIN

KONSEP PENULISAN 
Sulalatus Salatin dianggap sebagai sebuah karya sejarah yang universal bagi masyarakat Melayu tradisi khususnya yang berpusat pada Empayar Melayu Melaka. Di dalamnya digambarkan mengenai alam masyarakat Melayu tradisi yang merangkumi bidang politik, ekonomi, masyarakat dan juga agama. Dalam linkungan tersebut yang terpenting adalah orang Melayu atau orang Melaka dengan raja-rajanya, peristiwa yang berlaku dan tindakan yang dilakukan di sekitar ketokohan dan alam persekitaran mereka. Orang luar dan peristiwa luar tidak begitu dipentingkan dan dianggap sebagai unsur sampingan yang berfungsi untuk mengukuhkan kedudukan dan keagungan seorang tokoh mahupun budaya tempatan. Orang Melayu Melaka digambarkan sebagai orang yang bijak, serba boleh, dan terkenal. Sebagai contoh, Sultan Alauddin Riayat Syah dianggap sebagai terlalu perkasa dan tiadaberbagai-bagai pada zaman itu. Penulis menggambarkan betapa orang Melayu Melaka tidak pernah kalah dalam apa juga bidang yang diceburi. Isi kandungan Sulalatus Salatin telah menampakkan sentrik Melaka dengan begitu jelas dan inti pati kandungannya menceritakan tentang sejarah kebangkitan dan perkembangan Empayar Melayu Melaka dari awal sehingga menjadi sebuah entiti tamadun yang masyhur dan terbilang. Kebangkitan dan perkembangna Melaka sebagai sebuah tamadun yang masyhur dan terbilang adalah peranan raja dan pembesar yang menerajui tampuk pemerintahan yang turut menjadi peristiwa penting yang digambarkan di dalam karya ini. Pada bahagian akhir diceritakan tentang kemasyhuran Melaka yang telah menarik minat kuasa asing iaitu Portugis yang  berminat untuk menawan pusat kegiatan politik, pentadbiran dan ekonomi perdagangan empayar Melaka. Dengan kata lain, apa yang digambarkan ialah tentang kemunculan, kegemilangan serta kebesaran Empayar Melayu Melaka sebagi sebuah pusat tamadun dunia, di mana raja serta pembesar memainkan peranan masing-masing sama ada usaha membangunkan empayar mahupun dalam mengekalkan keunggulan serta kesejahteraannya. 

KEKUATAN KEPENGARANGAN 
Sulalatus Salatin mengandungi ciri dan bentuk yang sama dengan beberapa buah karya persejarahan tradisi dalam peradaban lain. persamaan tersebut dilihat bukan hanya dengan adanya unsur kesusasteraan, tetapi juga dari tujuan penulisan dan juga kandungan peristiwa yang kerap berlegar di sekitar peperangan, pengembaraan dan kepahlawanan. Karya ini turut memuatkan mengenai semangat kewibawaan, keagungan serta kegemilangan tokoh dan peradaban yang berkenaan. Hasil persejarahan tradisi Melayu seperti Sulalatus Salatin ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Malah, karya ini merupakan satu karya yang unik, yang boleh dikatakan tidak terdapat dalam mana-mana karya yang lain. Perkara itu berhubung dengan unsur kesusasteraan yang berkaitan dengan fungsi dongeng dan mitos. Dalam persejarahan Melayu, unsur ini mempunyai fungsi kemasyarakatan dan sejarahnya yang tersendiri. Unsur tersebut dimuatkan dengan tujuan memberitahu masyarakat tentang sesuatu peristiwa dan fenomena yang tidak boleh disampaikan secara terus terang dan terbuka. Hal ini adalah kerana, nilai dan norma masyarakat Melayu pada ketika itu tidak membenarkan sesuatu yang biadab dan memalukan dipaparkan secara terang-terangan. Jika dilakukan juga, perbuatan itu akan menyebabkan seseorang itu dianggap biadab, tidak tahu adat, dan lebih teruk lagi dianggap sebagai derhaka. Dengan menyatakan sesuatu itu secara halus, pihak pengarang merasakan para pembaca atau pendengar dapat memahami mesej yang ingin disampaikan dengan lebih jelas lagi. Pihak yang disindir pula akan menerimanya dengan hati yang tenang kerana selaran itu dilakukan dengan cara yang bersopan-santun.

MOTIF PENGARANG
Motif penulisan Tun Seri Lanang adalah untuk ‘menyukakan duli hadrat baginda Sultan’ dan adalah supaya perihal yang berkenaan diketahui dan diingati oleh segala anank cucu kita yang kemudian daripada kita. Jelaslah bahawa, Tun Seri Lanang menulis Sulalatus Salatin adalah atas perintah Sultan dan agar karya sejarah ini dapat dijadikan ikhtibar dan ingatan kepada generasi akan datang. Motif seperti ini menggambarkan sifat subjektif karya dan pengarangnya sendiri, iaitu subjektif terhadap peradaban, raja-raja dan bangsanya. 
HIKAYAT ABDULLAH

KONSEP PENULISAN
Penulis Hikayat Abdullah tidak menyatakan sumber bagi sesuatu peristiwa atau tokoh yang dicatatkan kerana pengamalannya sendiri merupakan sumber yang terpenting. Beliau sering memulakan sesuatu ayat dengan beberapa ungkapan terutamanya apabila ingin memulakan sesuatu ayat ‘kata yang empunya cerita’, bermula apa yang ku dengar’. Beliau turut menggunakan perkataan ‘konon’ bagi menunjukkan rasa tidak pasti atau rasa sangsi terhadap sesuatu peristiwa yang dicatatkan. Dalam mencatatkan peristiwa mahupun perkara yang yang berkaitan dengan tokoh, Abdullah turut menyatakan sekali dengan tarikh yang berkaitan. Hikayat Abdullah masih menggunakan unsur-unsur kesusasteraan seperti dialog, syair, dan pantun tetapi hikayat ini tidak mengandungi unsur luar biasa dan khayalan seperti mitos dan lagenda. Unsur kesusasteraan yang digunakan mampu memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai sesuatu peristiwa serta lebih meyalinkan pembaca. 

KEKUATAN KEPENGARANGAN
Hikayat Abdullah mempunyai beberapa ciri persejarahan moden terutamanya jika ditinjau dari segi isi kandungan, sikap yang agak kritis, dan kesedaran dalam penggunaan tarikh yang konsisten. Hikayat Abdullah ini boleh dikatakan sebagai suatu bentuk karya persejarahan yang kritis, terutamanya terhadap catatan peristiwa. Suatu unsur penting yang terdapat di dalam Hikayat Abdullah adalah nasihat yang dikemukakan terutamanya pada akhir setiap bab. Kadang kala unsur nasihat dimuatkan selepas penerangan tentang sesuatu peristiwa yang berlaku. Melalui bahagian nasihat ini, Abdullah seolah-olah ingin menyedarkan pembacanya tentang kesilapan dan kekeliruan mereka selama ini. Hikayat ini juga masih lagi sebahagian daripada tradisi persejarahan Melayu-Islam. Abdullah sering menyelitkan sebutan tentang Allah dan Rasulnya dalam penceritaan beliau. Oleh itu, Hikayat Abdullah dapat digolongkan ke dalam kategori persejarahan tradisi Melayu-Islam yang memuatkan beberapa unsur persejarahan moden.


MOTIF PENGARANG
Tujuan tersurat yang utama mengapa beliau menulis karya ini adalah untuk memenuhi permintaan ‘seorang sahabatku, iaitu orang putih yang kukasihi akan dia, maka ialah meminta sangat-sangat padaku iaitu kehendak mengetahui asal-usulku, dan peri hikayat kehidupan diriku. Maka ia meminta karangkan satu kitab dalam bahasa Melayu.
TUHFAT AL-NAFIS

KONSEP PENULISAN
Raja Ali Haji bukan sekadar menyalin sahaja peristiwa daripada sumbernya tetapi beliau membuat perbandingan dan penafsiran semula sumber. Matlamatnya supaya kandungan yang ditulisnya berkualiti dam boleh dimanfaatkan oleh para pembaca. Fakta-fakta yang diverikan oleh beliau adalah sumber interpretasinya sendiri. Dalam penulisan bahagian kedua Tuhfat Al-Nafis, sumber yang dirujuk digabungkan dengan peristiwa dan perkembangan yang didengar atau disaksikan dan kemudian memberikan tafsiran dan pendapat dari sudut pandangannya sendiri. Beliau menceritakan sebuah peristiwa dengan terperinci dan diteliti disebabkan oleh ketajaman pemerhatiannnya. Ketepatan peristiwa yang diceritakannnya pula adalah tinggi kerana beliau menyaksikan sendiri peristiwa sejarah yang berlaku. Oleh sebab Raja Ali Haji menulis atas kehendak sendiri maka beliau boleh bersikap objektif dan kritikal dalam menilai setiap peristiwa yang dikaji. 

KEKUATAN KEPENGARANGAN
Raja Ali Haji sedar akan kepentingan sumber dalam penulisan sesebuah karya. Oleh itu, beliau menggunakan sumber rujukan dalam menghasilkan karyanya. Sumber yang digunakan oleh Raja Ali Haji adalah terdiri daripada sumber bertulis dan sumber lisan tetapi senarai sumber bertulis yang dirujuk tidak dimasukkan. Rujukan terhadap sumber bertulis dapat dilihat melalui frasa ‘tersebut di dalam siarah’, aku dapat dalam setengah kaul’ dan ‘aku terjumpa dengan sejarah’. Sumber lisan pula berupa pengumpulan ingatan atau hafalan yang berkemungkinan diperoleh daripada tokoh kerabat Di Raja Johor-Riau atau dari negeri Melayu yang lain. Sumber lisan biasanya ditandai dengan ungkapan ‘kata setengah kaul’, ‘kata kaul orang-orang tua’, dan ‘kata sahibul hikayat’. Jika sumber yang dirujuk diragukan kebenarannya, maka Raja Ali Haji akan menyatakan dengan perkataan ‘konon’ dan ‘wallahualam’. Dengan cara memaparkan sumber dalam penulisannya, Raja Ali Haji berharap beliau dapat memaparkan kebenaran sejarah dan tidak menimbulkan keraguan atau kekeliruan terhadap pembaca karya beliau.


MOTIF PENGARANG
Tujuan umum penulisan Raja Ali Haji adalah untuk memberikan penerangan kepada khalayak umum mengenai hubungan sosiopolitik antara puak Melayu dan Bugis serta peristiwa yang berkaitan dengannya. Raja Ali Haji menulis adalah dengan dorongan untuk menghasilkan sebuah ‘kitab yang sempurna’ dan bukanlah untuk memenuhi titah perintah orang yang berkuasa. 


Sumber diperoleh daripada http://karyaagung013.blogspot.com/2013/03/analisis-karya-agung.html




Tiada ulasan:

Catat Ulasan