Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081), perkataan
nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial
(Mohd Rashid Md Idris, 2011: 12), nilai (value) boleh didefinisikan ke dalam
tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat bagi menyatakan kepentingan atau
manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek
berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Pemupukan
nilai dalam masyarakat melayu membolehkan seseorang diterima sebagai sebahagian
daripada masyarakat. Masyarakat melayu lebih mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan
masyarakat dan nilai ang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh
dengan kesusilaan yang murni. Ilmu pula menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:
567), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan
lain-lain. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa ilmu dan maklumat itu saling
berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu akan menyebabkan kita menyebarkannya
kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Maklumat yang disebarkan
mengandung pelbagai fungsi. Antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah
untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandung
pelbagai kemusykilan dan lain-lain. Ilmu dan maklumat yang ingin dikaji
berdasarkan karya agung merupakan ilmu firasat, ilmu perdukunan, ilmu jampi,
ilmu pengasih, strata masyarakat Melayu, adat dan istiadat Melayu.
ILMU
FIRASAT
Menurut Kamus Dewan ( 2007: 412), ilmu firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlawan-pahlawan kerana dengan itu ia boleh membantu mereka menewaskan musuh. Umumnya ilmu firasat dapat dibahagikan kepada tiga iaitu firasat tilik nasib, firasat mimpi dan firasat terhadap binatang.
Menurut Kamus Dewan ( 2007: 412), ilmu firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlawan-pahlawan kerana dengan itu ia boleh membantu mereka menewaskan musuh. Umumnya ilmu firasat dapat dibahagikan kepada tiga iaitu firasat tilik nasib, firasat mimpi dan firasat terhadap binatang.
Firasat tilik nasib memaparkan
dengan jelas dalam Sejarah Melayu dalam episode serangan Melaak ke atas
Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan-pahlawannya mengejar
Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri.dalam usaha itu Seri Bija Diraja tidak
tergesa-gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya itu tidak akan
terlepas dari tangannya. Ini dapat dilihat daripada kata-kata beliau kepada
anak buahnya.
Di mana kamu semua orang muda-muda
tahu? kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku kira-kirakan namanya di bawah
namaku,dan harinya di bawah hariku dan ketikanya di bawah ketikaku, di mana ia
akan lepaskan daripada tanganku?”
(Sejarah Melayu: 74).
Berdasarkan kepada contoh
petikan di atas, ramalan Seri Bija Diraja itu memang tepat. Beliaulah yang
telah berjaya menangkap Maharaja Dewa Sura.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga
disebutkan tentang pengamalan ilmu firasat. Ilmu firasat tilik nasib oleh Hang
Tuah adalah beliau dapat mengetahui sekiranya melakukan perjalanan matahari
sedang naik akan mendatangkan sesuatu peristiwa yabg buruk. Ketika dalam
perjalanan ke Singapura, iaitu di Selat Melaka, baginda telah ternampak seekor
ikan emas yang sangat cantik. Kemudian baginda memandang ke bawah perahu
sehingga mahkotanya terjatuh ke dalam air. Lalu Hang Tuah terjun untuk
mendapatkannya. Ketika hampir sampai ke perahu, tiba-tiba seekor buaya putih
datang menyambar kerisnya, lalu Hang Tuah terkejiu dan menyebabkan mahkota
terjatuh kembali. Kemudian, Hang Tuah menarik ekor buaya tersebut sehingga
lemas dan akhirnya timbul kembali tanpa mahkota an keris. Setelah Hang Tuah
kehilangan keris dan baginda kehilangan mahkota, kedua-duanya menjadi sakit kepala
dan demam.
Syahadan maka Laksamana pun
menurunkan segala perahunya dan mengerahkan segala orangnya berlengkap. Setelah
sudah mustaid maka datanglah kepada tujuh harinya. Maka Bendahara dan Laksamana
pun masuk mengadap berdatang sembah, “Daulat Tuanku, patik dititahkan
berlengkap itu sudahlah patik lengkapi seperti titah Duli Yang Dipertuan itu. Maka
titah patik junjung, tetapi pada bicara patik, baiklah Duli Syah Alam berangkat
pada tengah naik matahari, alamat geroda alah oleh ular.”Maka baginda pun
berangkat masuk mendapatkan isterinya keduanya, seraya bertitah, “marilah
adinda kita turun, kerana harisudah tinggi.
(Hikayat Hang Tuah,
1997: 476)
Kepercayaan kepada ilmu
firasat mungkin boleh dikaitkan dengan konsep ‘memilih ketika’ dalam kalangan
masyarakat Melayu. Umpamanya dalam seminggu terdapat hari-hari tertentu yang
baik dan buruk serta sial. Begitu juga dengan bulan-bulan tertentu dalam masa
setahun. Oleh yang demikian, mereka yang memilih ketika yang baik untuk
memulakan sesuatu pekerjaan atau rancangan seperti mendirikan rumah,
mengerjakan sawah dan memulakan perjalanan untuk merantau. Bagi mereka,
‘memilih ketika’ itu penting untuk mengelakkan daripada bencana atau sebarang
keburukan.
Di Acheh, waktu Pencagah
atau Iskandar Muda Mahkota Alam dalam kandungan, ibunya bermimpi bersanggulkan
bulan yang dihiasi buang air kecil yang terlalu banyak sehingga menjadi laut.
Dalam mentafsir mimpi itu, Fakih Khoja Manassiah berpendapat :
Tuanku, adapun takbir mimpi sultan
itu Insya-Allah taala (tak dapat) tiadalah daripada zuriat sultan menjadi raja
yang maha kuasa lagi terlalu besar gahnya lagi mengempukkan segala raja-raja
daripada segala pihak Timur dan daripada segala pihak Barat. Dan paduka anakanda
itulah melimpahkan takhta adilnya dan ialah matahari yang betak (tetap) di bumi
musyrik ini.
(“De Hikajat Atjeh”
:115)
Dalam historiografi
Melayu tradisional lain, unsur mimpi turut memainkan peranan penting. Di dalam
Fasal 13, Bab II Bustan al-Salatin ini pun, unsur mimpi dikemukakan walaupun
dalam dua episod sahaja. Nuruddin menceritakan bahawa Sultan Iskandar Muda
telah bermimpi tentang air persiraman puterinya dan Iskandar Thani.
Sultan Iskandar Muda teah bermimpi pada malam Isnin, 12 Jamadilakhir, iaitu
turun sebuah mahligai daripada cahaya dengan perhiasannya berisi air mandi
dibawa oleh malaikat dari langit. Malaikatlah yang memandikan kedua-dua
pasangan muda itu. Esoknya Sultan Iskandar Muda menitahkan bahawa mereka tidak
perlu lagi dimandikan oleh Syeikh Syamsuddin dan Kadi Malik al-Adil. Petikannya:
Maka pada pagi-pagi hari sabda Raja
Iskandar Muda kepada nenda Raja Serba Bawa, “Katakan kepada bondakuku Syah
Alam, janganlah bersusah lagi memandikan anankku kedua! Sudahlah mandi keduanya
daripada air yang turun dari kudrat Allah Taa’la!
(Bustan Al-Salatin :18)
Mimpi yang kedua ialah
yang muncul dalam tidur seorang pembuat batu nisan. Setelah Sultan Iskandar
Thani mangkat, baginda digelar Marhum Dar al-Salam. Permaisurinya yang menjadi
sultan memerintahkan juru batu nisan mencipta satu batu nisan yang terbaik
untuk suaminya. Masa itulah Marhum Mahkota Alam muncul di dalam mimpi juru batu
supaya melebihkan perbuatan batu itu pada makam Marhum Dar al-Salam.
Petikannya adalah seperti berikut :
Syahadan adalah yang mengadap Raja
Nisyan itu orang berpedang suasa. Maka pada suatu malam ia bermimpi Paduka
Marhum Mahkota Alam bersabda kepadanya dengan kahar, Hai segala pandai, kamu
lebihkanlah perbuatan batu ini daripadaku.
(Bustan Al-Salatin : 45)
Ilmu firasat terhadap
binatang juga diamalkan dalam Sulalatus Salatin.
Hal ini dapat dijelaskan dalam peristiwa di mana anjing pemburuan Parameswara
telah ditendang jatuh ke dalam sungai oleh seekor pelanduk putih yang
menyebabkan Parameswara tertarik untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai
tempat dibangunkan kota, negeri dan kerajaan. Hal ini dapat dilihat dalam petikan
di bawah:
“…titah baginda “Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah pada pelanduk; jikalau orangnya betapa
lagi?” maka sembah segala Orang Besar-Besar,
“benarlah seperti titah Duli Tuanku itu.” Maka disuruh baginda tebas, diperbuat
negeri.
(Sulalatus
Salatin: 71)
ILMU PENDUKUNAN
Menurut Kamus Dewan
(2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit
atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah
dan sebagainya), bomoh dan pawang. Manakala pendukunan pula membawa
maksud yang berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang
berkaitan dengan ilmu dukun.
Kepercayaan masyarakat Melayu
pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan itu
mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan
dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok,
sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib itu tidak boleh
dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun, pawang atau bomoh diperlukan.
Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya.
Dukun atau bomoh juga
dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar
dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi.
Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh
ular, gajah dan sebagainya. Di Melaka, terdapat orang yang begitu arif tentang
gajah, bergelar Penghulu Gajah. Antaranya adalah Seri Wak Raja. Contoh petikan
berkaitan dengan ini :
Sekalian orang pun
melihat tahunya Seri Wak Raja; gajah penakut jadi beraninya.
(Sulalatus
Salatin : 209)
Berdasarkan Hikayat Hang
Tuah, Nala Sang Guna telah meminta Laksamana Hang Tuah membuat ubat beranak
untuk isterinya. Hang Tuah telah membuat suatu jenis ubat yang berupa seperti
candu. Setelah sebulan akhirnya isteri Nala Sang Guna telah melahirkan seorang
bayi lelaki. Kemudian, Hang Tuah telah diberikan ganjaran oleh Nala Sang Guna.
Maka kata Nala Sang Guna, “Anakku
tahukah berbuat ubat beranak, kerana ayahanda terlalu hasrat hendak beranak. Beberapa
pula ayahanda minta kepada segala orang yang tahu, tiada juga diberi Allah
Taala.”Maka kata Laksamana, “Insyaallah Taala, adapun yang kehendak ayahanda
bonda akan anak itu beroleh. Ada suatu ubat hamba tahu; akan ayahanda
dianugerahkan Allah Taala anak seperti kehendak bonda itu.”… “Maka Laksamana
pun berbuat suatu ubat, rupanya seperti madat. Setelah sudah maka ubat itu pun disuruh
oleh Laksamana hantarkan kepada Nala Sang Guna.”
(Hikayat Hang Tuah,
1997: 394-395)
ILMU JAMPI
Menurut Kamus Dewan
(2010), jampi membawa maksud kata-kata tertentu yang diucapkan untuk
mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Mana Sikana (1996)
berpendapat bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan
seperti puisi. Ia ada hubungannya dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi
dikatakan sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutamanya pada
perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan
disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural.
Kedudukan pawang dalam
hierarki kemasyarakatan adalah jelas. Jampi mantera yang diucapkan telah
mendapat tempat yang istimewa. Jampi mempunyai unsur-unsur pemujaan, perubatan,
kasih sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia. Biasanya
pawang, dukun, bomoh atau orang yang memakainya tidak begitu mudah memberikan
jampi serapahnya kepada orang lain. Mereka bimbang jampi serapah yang diketahui
itu tidak mujarab lagi, melainkan orang yang sudah menuntut dan orang lain
tidak boleh menggunakannya. Jika digunakan juga dia akan menerima padahnya.
Jampi menolak syaitan
digunakan untuk menghalau sekalian jenis jin. Jampi ini juga digunakan untuk
mengubat penyakit yang berkaitan dengan makhluk halus. Jampi menolak syaitan
ini boleh sahaja digunakan pada bila-bila masa yang dirasakan perlu. Contohnya,
jampi ini boleh digunakan ketika seseorang berjalan di tempat yang sunyi atau
apabila berasa takut dan boleh juga digunakan apabila dirasakan diri diganggu
oleh sesuatu. Cara menjampinya adalah seseorang itu perlu memandang tegak ke
hadapan. Selepas sekali dibaca, hendaklah ditiup ke kiri dan ke kanan sebanyak
tiga kali. Jampi ini perlu dibaca sebanyak tiga kali berturut-turut. Contoh
yang terdapat dalam karya agung ialah:
“Permulaan kata aku menyatakan
Hakikat jin seribu empat puluh dua
lagi
Aku tahu akan asal usul dirimu
Asal diri jadi di huruf Alif
… dengan berkat La ilaha illallah”
(Kitab Tib 1292)
Perkara-perkara yang
berkaitan dengan jampi juga ada sedikit sebanyak disebut dalam Hikayat
Abdullah, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Seri Kelantan dan lain-lain lagi.
Contohnya ialah:
“Pawang ini pandai sungguh, sebab
membaca-bacakannya, gajah itu pun takut akan dia”.
(Hikayat Abdullah: 55)
Ayat tersebut
membuktikan bahawa pengarang Hikayat Abdullah ada menceritakan tentang jampi
dan jampi itu bermaksud pawang yang diceritakan itu sungguh pandai kerana mampu
menjinakkan gajah dengan hanya menjampinya sahaja.
ILMU PENGASIH
Menurut Kamus Dewan (2010),
pengasih membawa maksud ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna untuk
mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih. Ilmu pengasih ini adalah untuk
mendapat pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain. Lazimnya,
ilmu pengasih digunakan oleh seseorang kerana mungkin orang yang disukai itu
tidak menyukainya atau orang itu terlalu jual mahal. Ilmu pengasih boleh
digunakan dengan banyak cara, namun cara yang popular adalah dengan cara
mencalitkan sesuatu minyak kepada seseorang yang berkenaan atau dengan cara
menjampi gambar dan sebagainya. Contoh penggunaan ilmu
pengasih dalam Sejarah Melayu:
Hang Nadim menggunakan
ubat guna-guna untuk memikat Tun Teja. Ubat guna-guna tersebut dalam bentuk
lulut (bedak) itu ternyata berkesan. Setelah ia disapu kepada badan Tun Teja
oleh si pelulut beliau dengan serta-merta menyukai Sultan Mahmud dan sanggup
menjadi isteri baginda.
(Sejarah
Melayu: 170)
Ilmu pengasih ini boleh
dilakukan dengan dua cara, iaitu dengan cara menyapu bedak yang telah dijampi
dengan ayat tersebut ke muka atau dengan cara mandi dengan air yang telah
dijampi. Sekiranya seseorang itu menggunakan jampi ini, dia tidak boleh lalu di
bawah ampaian dan tidak boleh mengerjakan maksiat seperti mencuri. Jika
dilakukan juga, jampi tersebut tidak akan mujarab. Pengamal jampi ini juga
tidak boleh melangkah tulang babi dan sebaik-baiknya dia mesti fokus kepada
matlamatnya. Selain untuk perkasihan, jampi ini juga boleh digunakan untuk bertemu
dengan orang yang tertentu untuk tujuan baik. Misalnya ketika hendak
berwawancara atau temu duga pekerjaan, meminta pertolongan atau sebagainya.
STRATA MASYARAKAT MELAYU
Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat (2010: 1525), perkataan strata membawa maksud tingkat
kedudukan, peringkat taraf (dalam susuna atau hierarki tertentu). Sulalatus Salatin
telah memaparkan gambaran tentang susun lapis masyarakat Melayu yang pada
umumnya dapat dikategorikan kepada beberapa peringkat.
Golongan raja dan
kerabat menduduki susun lapis yang teratas dalam strata sosial masyarakat
Melayu. Di Melaka dengan mengambil contoh semasa pemerintahan Sultan Muhammad
Syah, golongan raja terdiri daripada sultan dan keluarganya (Sulalat al-Salatin,
1997: 65). Kuasa pemerintahan adalah terletak di bawah baginda. Keluarga dan
kerabat merupakan golongan yang mempunyai
jurai keturunan raja yang memerintah sesebuah kerajaan. Mempunyai kedudukan
istimewa dan diberi jawatan penting contohnya, bendahara dan temenggung. Jumlahnya
agak ramai kerana amalan poligami. (Sulalatus Salatin;6)
Golongan bangsawan menduduki tangga yang kedua.
Golongan ini pula terdiri daripada pembesar dan pegawai tadbir seperti
Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari, Perdana Menteri, Temenggung, Bentara,
Syahbandar. Terdapat juga dalam kalangan pendatang yang tergolong dalam
golongan bangsawan ini. Antaranya ialah ulama Islam yang terdiri daripada
tuan-tuan sayid, makhdum, maulana, dan kadi. Hubungan mereka dengan raja sangat
erat. Seseorang tokoh ulama begitu disanjung dan dihormati oleh masyarakat
Melaka. Sultan Melaka sendiri terpaksa tunduk dan menghormati golongan ulama
ini. Hal ini terjadi apabila seorang guru bernama Kadi Yusof enggan membenarkan
Sultan Mahmud Syah mengadap dengan menaiki gajah (Sulalat al-Salatin, 1997:
161).
Golongan yang menduduki susun lapis yang ketiga ialah
golongan rakyat biasa yang merdeka. Golongan ini terdiri daripada
pedagang, tukang-tukang mahir, petani dan juga saudagar. Dalam hal ini,
terdapat juga dalam kalangan saudagar yang mempunyai hubungan erat dengan
golongan atasan seperti Raja Mendeliar, Nina Sura Dewana, Kitul sebagainya.
Kitul dapat dikatakan rapat dengan Raja Mendeliar kerana mempunyai hutang
dengan Raja Mendeliar, namun Kitul telah menyampaikan fitnah bahawa Nina Sura
Dewan pergi berjumpa dengan Benhara Seri Maharaja untuk merancang pembunuhan ke
atasnya. Secara tidak langsung, Raja Mendeliar menghapuskan hutang Kitul
terhadapnya (Sulalat al-Salatin, 1997: 204). Ketua kapal atau nakhoda juga
mempunyai keistimewaan kerana dianggap sebagai raja di atas kapal.
Maka kata Kitul, “Malam tadi Nina
Su{a}r{a} Dewana datang kepada bendahara, dipersembahkannya emas sebahara,
hendak membunuh tuan hamba. Akan sekarangbendahara se{bi}caraah dengan Nina Su{a}r{a}
Dewana, tuan hamba hendak dikerjakannya.” Demi Raja Mendeliar menengar kata
Kitul itu maka Raja Mendeliar mengambil surat utung Kitul, dicarik-cariknya.
(Sulalat al-Salatin, 1997: 204)
Orang kaya merupakan
golongan strata sosial yang berada di atas golongan peniaga. Golongan ini
membantu golongan peniaga melariskan jualan mereka. Kebanyakan orang kaya
terdiri daripada peniaga. Dalam Hikayat Abdullah, golongan ini tergolong dalam
strata sosial masyarakat pada zaman tersebut. Contoh petikan teks yang
memaparkan golongan ini terdapat pada zaman tersebut ialah:
Maka banyaklah mereka itu yang menjadi kaya sebab
berniaga dalam Melaka.
(Hikayat Abdullah, 2004:
27)
Peniaga merupakan salah
satu golongan yang termasuk dalam strata sosial dalam Hikayat Abdullah. Berdasarkan
Hikayat Abdullah, didapati bahawa golongan peniaga paling ramai wujud pada
zaman tersebut. Kewujudan para peniaga ini telah melahirkan ramai golongan
orang kaya. Contoh yang menunjukkan golongan peniaga dalam Hikayat Abdullah
ialah:
Hatta dengan beberapa lamanya ia di
sana pekerjaannya sambal berniaga sambal mengajar orang-orang hulu itu daripada
hal mengaji dan sembahyang dan sebagainya darihal perkara agama Islam.
(Hikayat Abdullah, 2004:7)
Golongan hamba menduduki
susun lapis masyarakat yang paling bawah dalam struktur atau susun lapis
masyarakat Melayu. Golongan hamba terdiri daripada hamba raja, hamba berhutang
dan hamba abdi. Sulalat al-Salatin jelas menunjukkan institusi ini wujud
sebelum tertubuhnya Kesultanan Melayu Melaka. Ini dapat dilihat pada Badang
yang telah diterima sebagai pahlawan Singapura yang sebelum ini ditugaskan oleh
tuannya untuk membersihkan hutan. Kekuatannya itu telah mengubah status
sosialnya daripada seorang hamba kepada rakyat biasa yang merdeka (Sulalat
al-Salatin, 1997: 37). Tun Mutahir dikata mempunyai bilangan hamba yang banyak
sehingga tidak dikenalinya (Sulalat al-Salatin, 1997: 203).
Hamba raja terdiri
daripada orang merdeka yang telah melakukan kesalahan jenayah dan ditangkap tetapi mendapat keampunan
daripada sultan dan berjanji ingin menjadi hamba turun temurun. Golongan ini terdiri
daripada tawanan perang dan banduan serta mempunyai kedudukan yang lebih tinggi
berbanding hamba lain. Hamba abdi pula terdiri daripada orang bangsa Afrika,
orang asli dan Batak yang bukan Islam. Peluang untuk bebas tipis kecuali
dibebaskan oleh tuannya. Tidak mendapat pengiktirafan dalam masyarakat. Hamba berhutang pula merupakan orang yang pernah
berhutang dan gagal membayarnya. Mereka ini mempunyai kedudukan yang lebih
tinggi daripada hamba abdi. Merdeka selepas melangsaikan hutang. Mereka masih diakui
sebagai anggota masyarakat yang sama dengan tuan mereka.
ADAT DAN ISTIADAT MELAYU
Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010: 8) adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan
turun-temurun iaitu sejak dahulu kala di dalam sesuatu masyarakat iaitu
sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Manakala istiadat
pula ialah bermaksud peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah
menjadi kebiasaan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa adat istiadat merupakan
peraturan yang harus dilakukan sama ada dalam urusan rasmi atau tidak. Adat
istiadat ini sering kali dikaitkan dengan istana. Dalam karya agung Sejarah
Melayu, terdapat beberapa peristiwa yang dapat menggambarkan tentang adat
istiadat raja pada ketika itu. Selain itu, Sejarah Melayu dianggap penting
kerana ia memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah
kerajaan Melayu. Antaranya adat istiadat yang terdapat dalam Sejarah Melayu
ialah:
i. Adat mengadap raja di balai rung.
ii. Adat menjunjung duli.
iii.
Adat menyambut kedatangan utusan kerajaan dari luar.
iv. Perlantikan
pengganti seorang raja
v. Adat penganugerahan gelaran
Dalam
adat mengadap raja di balairung, para pembesar akan disusun mengikut pangkat
kebesaran masing-masing. Pangkat tersebut di mulai dengan bendahara, penghulu bendahari
dan temenggung akan duduk di seri balai. Kemudian, anak-anak raja pula akan
duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Selepas itu, di ikuti
dengan sida-sida yang muda akan duduk berselang seli dengan bentara dan
hulubalang yang berdiri di ketapakan balai memikul pedang.
“
Adapun apabila raja dihadap orang di balairung, maka bendahara, dan penghulu
bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang besar-besar, segala
sida-sida duduk di seri balai”.
(Sulalatus Salatin, 1979 : 75)
Adat
ini merupakan perkara yang wajib dilakukan ketika mengadap Sultan. Malahan,
sehingga sekarang adat ini masih lagi diamalkan walaupun tidak semuanya mengikut
adat yang dahulu.
Dalam
Adat menjunjung duli ianya memerlukan empat atau lima orang kepala bentara yang
terdiri daripada sida-sida yang akan duduk di seri balai. Malahan, segala
perkakas diraja seperti ketur, kendi, kipas dan sebagainya akan di susun secara
berselang-seli kedudukannya. Sementara itu, puan dan pedang akan berada
dikelekan kiri dan kanan. Manakala, pedang kerajaan akan dipikul oleh laksama
atau Seri Bija Diraja.
“
Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang
sebagainya diselang selang duduknya; melainkan puan dan pedang di kelek-kelekan
kiri dan kanan: pedang kerajaan itu laksamana atau Seri Bija Diraja memikul
pedang itu”.
(Sejarah Melayu : 54)
Dalam
adat menjunjung duli ini, barang-barang kebesaran yang digunakan penting untuk
melambangkan sesebuah intitusi diraja. Manakala, biduanda-biduanda yang
ditugaskan untuk membawa alat-alat kebesaran tersebut haruslah sentiasa
mematuhi segala protokol dan memahami adat yang terdapat dalam istana tersebut.
Semasa
menyambut kedatangan utusan kerajaan dari luar terdapat juga adat yang perlu di
ikuti. Sambutan terhadap kedatangan utusan adalah berbeza mengikut tahap
kebesaran kerajaan tersebut. Apabila utusan dari kerajaan yang besar seperti
Pasai dan Haru, sambutannya akan menggunakan selengkap alat kerajaan seperti
gendang, serunai dan lain-lain. Jika utusan datang dari negeri yang kurang
kebesarannya, alat kelengkapan keraian untuk menyambutnya akan dikurangkan,
cukup sekadar gendang dan serunai sahaja atau berpayung kuning atau bergajah.
Walau bagaimanapun, sepersalinan tetap akan diberikan.
“
Jika surat dari Pasi atau dari Haru, dijemput dengan selengkapnya alat kerajaan,
gendang, serunai, nafiri Negara, paying putih dan perapit; melainkan medali
juga yang tiada pergi menjemput itu. …Telah datang ke balai, maka surat
disambut oleh hulubalang asal,yakni kepada bentara yang kiri menyampaikan
titah raja kepada utusan, kepada bentara yang di kanan menyampaikan sembah”.
(Sejarah Melayu : 57)
Dalam
adat ini, pihak yang lebih berkuasa akan dihormati. Dengan itu, untuk menyambut
utusannya akan di buat secara besar-besaran. Malahan, pihak tersebut juga
berkemungkinan mempunyai kekuasaan yang amat kuat dan terpengaruh di rantau
tersebut. Dengan itu, jika tidak menyambutnya dengan cara yang terhormat,
berkemungkinan akan memberi kesan kepada sesebuah kerajaan kelak.
Perlantikan
pengganti seorang raja dalam Sulalat al-Salatin kebanyakannya dilakukan oleh
raja itu sendiri melalui wasiatnya sebelum mangkat. Setelah itu barulah raja
yang baru akan dijunjung duli oleh pembesar dan rakyat jelata (Sulalat al-Salatin, 1997: 54).
Bagi
adat penganugerahan gelaran, adat ini akan dimulai dengan menjemput otang yang
bakal menerima gelaran ke istana. Jemputan bagi penganugerahan adalah berbeza
mengikut pangkat dan gelaran yang bakla diterima. Orang besar-besar akan
menjemputnya jika mendapat penganugerahan “Perserian”, manakala bagi anugerah “Persangan”
hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan dijemput orang yang bakal meneriman
anugerah. Orang
yang akan menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda.Mereka
akan diiringi dengan payung dan gendang serunai ke istana. Hal ini dapat
dilihat dalam petikan di bawah:
Ketika
tiba di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut
gelaran yang diberikan oleh raja. Sebagai contoh, anugerah bendahara akan
diberi lima ceper persalinan.
(Sulalatus
Salatin: 76-77)
Penutup
Kesimpulannya, terdapat
banyak nilai ilmu dan maklumat yang terkandung dalam sesebuah karya agung yang
dikaji. Melalui pembacaan karya agung, didapati terdapat banyak nilai ilmu dan
maklumat yang diselitkan oleh pengarang dalam sesebuah karya mereka. Antaranya ialah
ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu pengasih, ilmu pendukunan, maklumat berkaitan
strata sosial masyarakat, adat dan istiadat melayu. Oleh itu dapat disimpulkan
bahawa, setiap karya agung yang digarap mempunyai nilai ilmu dan maklumat yang
tersendirinya. Nilai ilmu dan maklumat tersebut boleh dijadikan amalan serta
pengajaran berguna kepada sesebuah masyarakat.
Sumber:
Abdullah
Munsyi (2004). Hikayat Abdullah.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
A.
Samad Ahmad (1979). Sulalatus
Salatin: Sejarah Melayu. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim
Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Rashid, Abd Rahman Napiah dan Seri Lanang (2014). Karya Agung Melayu BMS3022). Perak: Pusat Pendidikan Luar UPSI.
Mohd Rashid, Abd Rahman Napiah dan Seri Lanang (2014). Karya Agung Melayu BMS3022). Perak: Pusat Pendidikan Luar UPSI.
Siti Hawa Haji Salleh (1992).
Bustan al-Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tun
Seri Lanang (1997). Sulalat al-Salatin ya’ni pertuturan segala raja-raja
(Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.









Tiada ulasan:
Catat Ulasan