Menyediakan blog bagi memenuhi tuntutan tugasan kursus Karya Agung Melayu sekali gus berkongsi ilmu bermanfaat dengan para pencinta ilmu
Ahad, 30 November 2014
ULASAN ARTIKEL KARYA AGUNG
1. Ulasan artikel "Kembalikan Hang Tuah ke Tempatnya"
Pendahuluan
Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah karya besar jika ingin dibandingkan dengan karya-karya Melayu tradisional yang lain kerana di dalamnya tercakup pelbagai pesanan dan gagasan yang harus direnung oleh setiap pembacanya terutama bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah harus diterima dan dinilai sebagai sebuah karya sastera dan bukanlah sebuah sejarah. Ini jelas dilihat daripada namanya sendiri ‘hikayat’ yang bermaksud cerita. Kesusasteraan Melayu jenis inilah yang menjadi titik permulaan kepada bentuk novel atau roman Melayu.
Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang di dalamnya telah dimuatkan dengan cita-cita dan kebesaran bangsa Melayu. Hikayat ini telah mencatatkan riwayat hidup bangsa ini sejak mulanya melewati zaman pembangunan, lalu ke zaman kebesaran dan akhirnya ke zaman kehancurannya. Tokoh utamanya iaitu Hang Tuah telah mewakili bangsa itu sendiri mengenai cita-citanya, kebolehannya dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pembatasan ini penting kerana sudah tentu Hang Tuah tidak dapat mewakili peribadi Melayu sepanjang zaman kerana unsur-unsur keperibadian itu sendiri ditentukan oleh keadaan sejarah. Walau bagaimanapun, hikayat ini dan wiranya telah melahirkan suatu sikap hidup Melayu, iaitu sikap hidup yang berlaku sebelum datangnya peradaban moden dan yang sedang bergeser dengan sikap hidup baharu yang dibawa oleh barat.
Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah hikayat Melayu lama yang asli dan tiada tolok bandingnya dengan kesusasteraan Melayu lama yang lain. Cerita-cerita panji seperti Hikayat Cekel Waneng berasal daripada Jawa, Hikayat Seri Rama dan Hikayat Sang Boma disadur daripada epik Hindu, Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah pula diterjemahkan daripada sumber-sumber Islam dan hanya Hikayat Hang Tuah ini sahaja satu-satunya epik Melayu asli. Sebagai satu ciptaan sastera Melayu lama, hikayat ini mempunyai nilainya tersendiri kerana tiada satu pun karangan lama sebelumnya atau selepasnya yang memperlihatkan aliran realisme. Hikayat Hang Tuah mengisahkan manusia-manusia Melayu yang hidup meskipun manusia itu diberikan sifat yang luar biasa. Oleh itu, Hikayat Hnag Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang unggul yang memaparkan keintelektualan pengarang Melayu pada waktu itu.
Pada zaman tradisional Hang Jebat dianggap sebagai penderhaka dan dibenci oleh masyarakat tetapi dalam tahun 1960-70-an imej Hang Jebat telah berubah dan beliau telah menjadi wira dalam bangsa Melayu. Sehingga kini banyak tafsiran baru terhadap Hikayat Hang Tuah telah dibuat bagi memurnikan watak Hang Jebat. Tafsiran baru ini dapat dilihat dalam dua bentuk utama iaitu skrip drama dan penulisan ilmiah. Di dalam skrip drama yang ditulis oleh Ali Aziz, beliau telah meletakkan Hang Jebat sebagai wira bangsa yang memperjuangkan keadilan dan membela sahabat yang dizalimi oleh raja. Watak Hang Jebat dikatakan telah menderhaka kepada raja kerana ingin membela Hang Tuah dan ingin menegakkan keadilan. Hang Jebat juga dikatakan telah menjaga keluarga Hang Tuah dengan mengambil berat perihal anak dan isteri Hang Tuah. Selain Ali Aziz, Usman Awang juga merupakan salah seorang pemutar watak Hang Jebat untuk disesuaikan dengan perjuangan kemanusiaan sejagatnya. Beliau turut membina watak Hang Jebat sebagai seorang pejuang kebenaran dan menentang kezaliman. Pada bahagian akhir kata pengantar, Usman Awang cuba menarik perhatian khalayak dengan membakar semangat mereka supaya menyokong dan membenarkan perjuangan Hang Jebat dengan satu slogan perjuangan Hang Jebat iaitu ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’. Dalam penulisan ilmiah, sarjana terkenal yang melihat Hang Jebat dalam pendekatan moden ialah Kassim Ahmad. Sesuai dengan fahaman sosialisnya, beliau melihat pentingnya pertentangan kelas atau pertentangan masyarakatbawahan terhadap golongan atasan yang bersifat feudal demi melahirkan sebuah masyarakat yang adil tanpa penindasan. Mengikut fahaman ini, semua golongan yang bekerjasama atau menyokong golongan aristokrat tidak boleh diberi tempat sebagaimana yang dilakukan oleh Hang Tuah. Hnag Jebat yang telah mencabar raja dan menjadi penderhaka ditafsirkan sebagai seorang yang mempunyai unsur kepahlawanan, namun ia gagal dalam perjuangan menegakkan kebenaran kerana memilih untuk setia kepada seorang sahabat dan dianggap sebagai pemberontak. Antara sarjana lain yang sealiran dengan Kassim Ahmad ialah Solehah Ishak yang turut mengetengahkan mengenai falsafah hidup watak itu. Abdul Rahman Napiah turut meletakkan Hang Jebat sebagai pahlawan Melayu yang berani menentang Raja semata-mata demi persahabatan. Beliau menyifatkan Hang Jebat sebagai pemecah tradisi feudalisme dan percaya perkara yang dilakukannya adalah benar dan hak. Menurut Mohammad Haji Salleh pula, beliau mengatakan memiliki peribadi yang utuh dengan kesungguhan dalam segala reaksinya. Jebat dikatakan memberontak berasaskan akal pemikiran bukanlah kerana kemarahan emosi.
Perubahan pandangan masyarakat terhadap imej Hang Jebat sekali gus merubah juga pemikiran mereka terhadap Hang Tuah. Hang Tuah bukan sahaja tidak lagi disanjung malah diletakkan sebagai pengkhianat sahabat, tiada sikap bertimbang rasa, tidak menegakkan keadilan, dan ada juga yang menganggap Hang Tuah sebagai pejuang yang kolot. Kalau dilihat berdasrkan teks Hikayat Hang Tuah, hampir seluruhnya memperlihatkan ketokohan seorang wira Melayu yang bertanggungjawab menjaga dan mengagungkan raja serta negara kota Melaka. Abdul Rahman Napiah yang pernah meletakkan Hang Jebat sebagai wira bangsa turut meletakkan nilai-nilai yang baik dalam menilai watak Hang Tuah mengatasi sikap Hang Jebat. Menurutnya, Hang Tuah merupakan seorang yang cukup pintar, tajam fikiran, jauh pandangan dan mempunyai banyak muslihat. Sebagai seorang hulubalang, Hang Tuah dikatakan seorang wira yang serba sempurna baik dari segi jasmani, rohani, pemikiran, tindakan dan cara berbudaya. Pengarang Hikayat Hang Tuah dilihat ingin membina semula negara kota berdasarkan jatuh bangunnya kerajaan Melayu Melaka. Raja Melaka yang ramai termasuk Raja Iskandar Syah hingga Mahmud Syah disatukan diri Sang Maniaka. Pembesar dan Hulubalang yang baik pula disatukan pada watak Hang Tuah dan yang tidak baik digabungkan membentuk watak Hang Jebat. Mengikut sejarah, negara kota Melaka mencapai kegemilangan sewaktu pemerintahan Sultan Mansur dan Alauddin yang banyak dibantu oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah mengambil gelaran yang dipakai oleh Tun Perak sebagai nama Bendahara iaitu Paduka Raja. Sultan Mansor diambil sebagai model raja dalam karyanya yang bernama Sang Maniaka. Semua sifat baik pembesar dan hulubalang terutama Tun Perak diambil dan dimasukkan ke dalam satu watak iaitu Hang Tuah. Hang Tuah telah diberikan sifat yang baik sebagai lambang wira bangsa Melayu. Manakala sifat tamak, dengki, angkuh, seperti yang ada pada Bendahara Tun Mutahir, Raja Mendaliar dan Kitol di masukkan ke dalam watak Hang Jebat. Bagi pengarang Hikayat Hang Tuah, perbuatan atau tindakan yang tidak baik haruslah ditangani dengan bijak dan saksama, sebagaimana Hang Tuah menangani penderhakaan Hang Jebat.
Ulasan artikel
Artikel ini membincangkan mengenai kedudukan Hang Tuah dalam kalangan masyarakat Melayu kini. Artikel ini ditulis oleh Haron Daud dan diberi tajuk ‘Kembalikan Hnag Tuah ke tempatnya’. Penulisan dan perbincangan di dalam artikel ini adalah berlandaskan dua khazanah kesusasteraan Melayu tradisional iaitu Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan artikel ini, penulis cuba untuk mengetengahkan persoalan mengenai siapakah wira bangsa yang sebenarnya sama ada Hang Tuah atau Hang Jebat. Berdasarkan teks Hikayat Hang Tuah, penulisnya cuba untuk mengetengahkan watak Hang Tuah sebagai watak yang wajar dicontohi bagi masyarakat Melayu khususnya. Namun, penerimaan masyarakat terhadap Hang Tuah sebagai wira bangsa kian luntur dan Hang Jebat yang dianggap sebagai wira bangsa atas sebab dan alasan yang tertentu. Imej Hang Jebat dalam pemikiran dan penerimaan orang Melayu telah berubah mengikut zaman dan kehendak masyarakat.
Pandangan terhadap artikel
Pengarang Hikayat Hang Tuah cuba menampilkan suatu jalinan cerita mengenai seorang tokoh Melayu daripada cantuman bermacam-macam tradisi Melayu dengan strukturnya yang tersendiri. Hikayat Hang Tuah ini ditulis bukanlah untuk mempamerkan sejarah pemerintahan raja-raja Melayu, tetapi ingin menonjolkan jati diri Melayu yang unggul daripada manusia lain. Hikayat Hang Tuah dapat diangkat sebagai sebuah epik Melayu kerana memiliki ciri-cirinya sebuah epik seperti kedudukan wira yang begitu tinggi dalam sejarah bangsanya, penceritaan yang berlatarkan masa yang panjang dan latar yang meluas, keunggulan sifat yang ada pada wira, dan kesaktian wira yang sukar untuk dikalahkan. Tidak dapat dinafikan bahawa Hikayat Hang Tuah adalah cerita yang menyorot Hang Tuah sebagai wira Melayu, terutama dari segi pengabdiannya kepada raja dan negara kota Melaka. Pelbagai pendapat dan pandangan hasil kajian para sarjana yang cuba untuk melihat siapakah wira Melayu yang sebenar, sama ada Hang Tuah mahupun Hang Jebat. Segala pendapat yang dikemukakan mempunyai alasannya yang tersendiri dan dapat diterima namun kita perlu berbalik kepada teks asli Hikayat Hang Tuah dalam mencari wira sebenar yang cuba ditonjolkan. Mungkin terdapat beberapa kekurangan dalam watak Hang Tuah yang dianggap sebagai wira Melayu, namun kita perlu juga melihat zaman hikayat tersebut ditulis, dan membandingkan hasil tulisan tersebut selari dengan zamannya dan tidak membandingkannya dengan zaman sekarang yang sudah tidak lagi mengamalkan sistem feudal dan raja berkuasa mutlak. Berdasarkan teks asal Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah merupakan watak utama yang ingin ditonjolkan dan bukanlah watak Hang Jebat. Watak Hang Tuah digarap sebagai seorang yang amat taat kepada raja sesuai dengan zaman tersebut yang mempercayai raja itu berdaulat dan perlu dihormati dan ditaati walaupun terpaksa mengorbankan diri sendiri. Hal ini merupakan situasi yang berlaku pada zaman tersebut dan bagi orang yang tidak menghormati raja akan dianggap sebagai penderhaka seperti watak Hang Jebat yang pastinya tidak boleh dijadikan sebagai contoh yang baik pada zaman tersebut. Selain taat kepada raja, Hang Tuah juga digambarkan sebagai seorang yang memiliki keperibadian yang mulia,seorang yang berilmu dan mempunyai ciri-ciri seorang pahlawan yang tiada tandingannya. Semua sifat yang cuba ditonjolkan dalam watak Hang Tuah menjadikan watak tersebut sempurna tanpa sebarang cacat celanya sebagai seorang wira bangsa.
Pemberontakan Hang Jebat berlaku kerana dorongan kemanusiaan dalam dirinya untuk membela keadilan yang telah dicabul oleh raja. Raja bertindak zalim sedemikian kerana raja berkuasa mutlak, Fikiran salah beliau ini disahkan oleh masyarakat feudal pada waktu itu. Apabila pemberontakan ini gagal, kerana digagalkan oleh rakan karib, rakan seperjuangan dan orang yang dibelanya, perasaan kecewa yang amat dahsyat menyebabkan Jebat bertindak liar dan melepaskan geram terhadap orang Melaka yang mendukung prinsip feudal yang zalim itu. Perbuatan Hang Jebat ini tetap dianggap salah kerana sikap dan kepercayaan masyarakat pada zaman tersebut yang amat menghormati dan menyanjungi raja.
Kebahagiaan negeri Melaka sering dikaitkan dengan ketokohan Hang Tuah. Sewaktu Hang Tuah masih gagah, negeri Melaka berada di puncak kegemilangan tetapi pabila Hang Tuah telah kehilangan kerisnya,kegemilangan Melaka mulai suram. Secara tidak langsung pengarang Hikayat Hang Tuah cuba menunjukkan kewajaran dalam kejatuhan Melaka. Gambaran kejatuhan Melaka telah mula dibayangkan sejak mahkota Raja Melaka jatuh ke dalam laut di Selat Singapura. Begitu juga apabila mahkota Melaka disambar buaya putih , itu tanda bahawa Melaka akan jatuh ke tangan Portugis, golongan manusia berkulit putih. Hikayat Hang Tuah dicipta kembali oleh pengarangnya sebagai pralambang untuk menyorot kembali keagungan Melaka dan Hang Tuah sebagai wira yang membawa kebanggaan kepada negeri Melaka.
4.0 Kesimpulan
Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah hikayat yang mantap yang cuba dipaparkan oleh penulisnya sebagai satu wadah untuk menonjolkan jati diri Melayu. Jati diri Melayu cuba dipaparkan melalui tokoh Hang Tuah lima bersaudara dan Hang Tuah sebagai wiranya yang unggul. Kemantapan aspek fizikal, mental, dan rohani yang terdapat dalam watak Hang Tuah menjadikannya seorang tokoh yang berwibawa. Beliau telah memantapkan dirinya dengan pelbagai ilmu, dan dengan ilmu inilah menyebabkan seorang manusia itu dihormati. Aspek rasional dalam berfikir pula ditonjolkan melalui watak Hang Jebat yang menentang raja. Pengarang sebenarnya ingin memaparkan mengenai akan sampai waktunya rakyat akan menuntut hak sebagai rakyat dan akan tiba waktunya kedudukan sultan akan goyah. Bagi menjadikan kedudukan rakyat dan raja ini stabil, kedua-dua kelompok harus menyedari hak dan tanggungjawab masing-masing. Oleh itu, berdasarkan Hikayat Hang Tuah, dapatlah disimpulkan bahawa kita haruslah mempunyai jati diri yang unggul dan benar-benar murni seperti yang dilakukan oleh Hang Tuah. Rakyat pula hendaklah setia kepada pemerintah dan cintakan negara, manakala pemerintah pula perlulah adil dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang pemimpin.
Rujukan:
Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
(http://karyaagung013.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung.html)
Ulasan artikel berdasarkan artikel "Ilmu Ketatanegaraan Melayu Abad ke-19: Kajian Terhadap Karya Raja Ali Haji"
1.0 Ulasan artikel
Artikel ini mengetengahkan Raja Ali Haji (1808-1873) sebagai ilmuwan dalam bidang ilmu ketatanegaraan Melayu. Karya beliau Gurindam Dua Belas, Bustan al-Katibin dan Tuhfat al-Nafis telah mengangkat kesarjanaan beliau dalam bidang sastera dan sejarah. Dalam kajian ini penulis mendapati karya beliau Thamarat al-Muhimmah juga memiliki kehebatan yang tersendiri dan dapat dianggap sebagai karya besar dalam ilmu ketatanegaraan Melayu. Antara perkara penting yang beliau kemukakan dalam karyanya ialah kepentingan akidah, kepentingan ilmu, pelantikan raja dan pemakzulannya, hukum menerima hadiah dan rasuah, kedudukan ulama atau ilmuwan dalam pemerintahan, prinsip keadilan, hubungan agama dan negara, pertalian antara hukum syarak, hukum akal dan hukum adat, tugas penjawat awam, tugas raja atau penguasa, kepentingan pemeliharaan jiwa, raga, dan kehormatan dan sifat-sifat tercela yang mesti dijauhi oleh raja dan orang-orang besar demi kemakmuran bangsa dan negara.
S Semua permasalahan tersebut dijelaskan dengan padat dan ringkas, sehingga mudah difahami dan diamalkan oleh pembacanya. Karya Raja Ali Haji ini juga menggambarkan kuatnya pengaruh kerangka pemikiran Islam dalam pandangan dunia ilmuwan Melayu ketika itu sebelum merebaknya kerangka pemikiran yang sekular dan liberal. Oleh kerana karya ini bersandarkan kepada karya-karya besar yang ditulis oleh ulama -ulama besar dalam sejarah Islam yang panjang, Thamarat al-Muhimmah dapat dianggap sebagai karya kemuncak ilmu ketatanegaraan Melayu yang bersumberkan tradisi keilmuan Islam.
2.0 Pandangan terhadap artikel
Ilmu ketatanegaraan bermaksud ilmu yang berkaitan tentang pentadibiran dan pemerintahan dalam sesebuah negara. Raja Ali Haji telah menekankan beberapa perkara yang penting merujuk kepada ilmu ketatanegaraan. Beliau telah menekankan bahawa pemerintahan yang baik adalah pemerintahan berdasarkan ilmu. Oleh itu, pemimpin yang bijak perlu mementingkan prinsip keadilan, kedaulatan syariah dan melaksanakan pemerintahan dengan musyawarah. Penekanan yang dilakukan oleh Raja Ali Haji terhadap keutamaan ilmu menggambarkan kebijaksanaan beliau yang mendahului zaman.
Pa Pada hari ini, negara-negara maju memilih pemimpin dalam kalangan orang yang berilmu. Malah, rakyat dari negara maju akan berasa malu jika pemimpin yang muncul walaupun dipilih secara demokratik tidak dapat dibanggakan dari segi ilmunya. Oleh hal yang demikian, Raja Ali Haji telah meletakkan ilmu sebagai syarat perlantikan seorang raja atau pemimpin tertinggi sesebuah negara. Perlantikan pegawai-pegawai kerajaan, hakim dan qadi hendaklah dalam kalangan orang-orang yang berilmu. Setiap pertimbangan atau keputusan yang diambil perlu memenuhi kemaslahatan agama dan kemaslahatan duniawi.
Melalui karya-karyanya juga, Raja Ali Haji menerangkan peranan tasawuf dalam membimbing dan menyelamatkan seseorang daripada menjadi pemimpin yang jahat atau zalim. Beliau mengatakan bahawa seseorang itu tidak akan dapat menjadi pemimpin yang baik jika tidak mengetahui penyakit-penyakit hati atau sifat-sifat tercela seperti takbur, dengki dan sebagainya yang mesti dijauhi dan diubati kerana kesejahteraan luaran bergantung kepada kesejahteraan dalaman iaitu hati. Setiap sifat tercela ini dibahas dan diterangkan bahayanya kepada diri dan negara. Oleh itu, untuk melahirkan pemimpin dan penjawat awam yang berintegriti, tidak mengamalkan rasuah, amanah, jujur dan disiplin, kesejahteraan hati daripada penyakit atau sifat-sifat tercela itu perlu ditangani terlebih dahulu.
Raja Ali Haji juga menekankan konsep kerajaan atau pemerintahan yang adil. Seorang raja atau pemimpin sebenarnya memerintah sebagai khalifah yang menggantikan Rasulullah dan bukan kerana keturunan. Keturunan atau darah bagi Raja Ali Haji tidak menjamin hak seseorang memerintah orang lain. Bagi Raja Ali Haji, jika keadilan dan tanggungjawab moral yang digariskan oleh Islam diabaikan maka negara tersebut akan terancam. Raja Ali Haji menentang pemerintahan kuku besi yang mengabaikan kebajikan rakyat. Raja Ali Haji sangat menekankan pentingnya raja sebagai rujukan utama. Bagi Raja Ali Haji, para ilmuwan, wazir iaitu menteri dan pemimpin berhak untuk memikirkan dan menciptakan ilmu, kaedah dan cara baru yang beliau nyatakan sebagai ijtihad dalam persoalan keduniaan dan perlu bersesuaian dengan suruhan dan kemaslahatan agama.
Di samping itu, pemerintahan dengan musyawarah juga ditekankan oleh Raja Ali Haji dalam karya-karyanya. Musyawarah adalah konsep dan prinsip yang amat penting yang mencirikan sistem pemerintahan Islam kerana musyawarah merupakan lambang pemerintahan yang adil dan bijaksana. Tambahan lagi, musyawarah dapat memastikan sesebuah negara itu diperintah berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan dan bukan berdasarkan hawa nafsu. Musyawarah adalah prinsip dalam pemerintahan dan kepimpinan Islam dan bukan hanya satu birokrasi atau kebiasaan yang dibuat dalam setiap organisasi. Beliau juga menjelaskan bahawa musyawarah perlu dilakukan dengan orang yang berilmu bukan dengan orang yang jahil, sombong, dengki, penakut, bakhil dan bersekedudukan agar musyawarah yang dilaksanakan menghasilkan satu pertimbangan yang terbaik.
3.0 Kesimpulan
Thamarat al-Muhimmah merupakan karya terulung dan kemuncak dalam ilmuketatanegaraan Islam yang lahir di zaman keemasan tamadun Melayu. Banyak idea-idea yang dikemukakan oleh Raja Ali Haji masih relevan dan penting untuk dijadikan panduan kepada generasi umat Islam masa kini dalam menghadapi pelbagai cabaran yang datang silih berganti. Berdasarkan perbahasannya tentang aspek-aspek di atas dapat disimpulkan bahawa beliau juga memiliki ilmu tentang perubatan, astronomi dan pemakanan selain ilmu-ilmu yang telah dibahas iaitu ilmu tasawuf, ilmu politik dan ketatanegaraan, ilmu bahasa, ilmu falsafah, ilmu syariah dan lain-lain lagi.
Rujukan:
Sahlan Mohd Saman (1994). Pengarang dan Kepengarangan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hawa Haji Salleh (2009). Kelopak Pemikiran Sastera Melayu. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
UKM Journal Article Repository (2011). Dicapai 1 Mei 2013, daripada http://journalarticle.ukm.my/3310/
(http://karyaagung013.blogspot.com/2013/05/ulasan-karya-agung.html)
ANALISIS KARYA AGUNG
SULALATUS SALATIN
KONSEP
PENULISAN
Sulalatus
Salatin dianggap sebagai sebuah karya sejarah yang universal bagi masyarakat
Melayu tradisi khususnya yang berpusat pada Empayar Melayu Melaka. Di dalamnya
digambarkan mengenai alam masyarakat Melayu tradisi yang merangkumi bidang
politik, ekonomi, masyarakat dan juga agama. Dalam linkungan tersebut yang
terpenting adalah orang Melayu atau orang Melaka dengan raja-rajanya, peristiwa
yang berlaku dan tindakan yang dilakukan di sekitar ketokohan dan alam
persekitaran mereka. Orang luar dan peristiwa luar tidak begitu dipentingkan
dan dianggap sebagai unsur sampingan yang berfungsi untuk mengukuhkan kedudukan
dan keagungan seorang tokoh mahupun budaya tempatan. Orang Melayu Melaka
digambarkan sebagai orang yang bijak, serba boleh, dan terkenal. Sebagai contoh,
Sultan Alauddin Riayat Syah dianggap sebagai terlalu perkasa dan tiadaberbagai-bagai
pada zaman itu. Penulis menggambarkan betapa orang Melayu Melaka tidak pernah
kalah dalam apa juga bidang yang diceburi. Isi kandungan Sulalatus Salatin telah
menampakkan sentrik Melaka dengan begitu jelas dan inti pati kandungannya
menceritakan tentang sejarah kebangkitan dan perkembangan Empayar Melayu Melaka
dari awal sehingga menjadi sebuah entiti tamadun yang masyhur dan terbilang. Kebangkitan
dan perkembangna Melaka sebagai sebuah tamadun yang masyhur dan terbilang
adalah peranan raja dan pembesar yang menerajui tampuk pemerintahan yang turut
menjadi peristiwa penting yang digambarkan di dalam karya ini. Pada bahagian
akhir diceritakan tentang kemasyhuran Melaka yang telah menarik minat kuasa
asing iaitu Portugis yang berminat untuk
menawan pusat kegiatan politik, pentadbiran dan ekonomi perdagangan empayar
Melaka. Dengan kata lain, apa yang digambarkan ialah tentang kemunculan,
kegemilangan serta kebesaran Empayar Melayu Melaka sebagi sebuah pusat tamadun
dunia, di mana raja serta pembesar memainkan peranan masing-masing sama ada
usaha membangunkan empayar mahupun dalam mengekalkan keunggulan serta
kesejahteraannya.
KEKUATAN
KEPENGARANGAN
Sulalatus
Salatin mengandungi ciri dan bentuk yang sama dengan beberapa buah karya
persejarahan tradisi dalam peradaban lain. persamaan tersebut dilihat bukan
hanya dengan adanya unsur kesusasteraan, tetapi juga dari tujuan penulisan dan
juga kandungan peristiwa yang kerap berlegar di sekitar peperangan,
pengembaraan dan kepahlawanan. Karya ini turut memuatkan mengenai semangat kewibawaan,
keagungan serta kegemilangan tokoh dan peradaban yang berkenaan. Hasil persejarahan
tradisi Melayu seperti Sulalatus Salatin ini mempunyai keistimewaannya
tersendiri. Malah, karya ini merupakan satu karya yang unik, yang boleh
dikatakan tidak terdapat dalam mana-mana karya yang lain. Perkara itu berhubung
dengan unsur kesusasteraan yang berkaitan dengan fungsi dongeng dan mitos. Dalam
persejarahan Melayu, unsur ini mempunyai fungsi kemasyarakatan dan sejarahnya
yang tersendiri. Unsur tersebut dimuatkan dengan tujuan memberitahu masyarakat tentang
sesuatu peristiwa dan fenomena yang tidak boleh disampaikan secara terus terang
dan terbuka. Hal ini adalah kerana, nilai dan norma masyarakat Melayu pada
ketika itu tidak membenarkan sesuatu yang biadab dan memalukan dipaparkan
secara terang-terangan. Jika dilakukan juga, perbuatan itu akan menyebabkan
seseorang itu dianggap biadab, tidak tahu adat, dan lebih teruk lagi dianggap
sebagai derhaka. Dengan menyatakan sesuatu itu secara halus, pihak pengarang
merasakan para pembaca atau pendengar dapat memahami mesej yang ingin
disampaikan dengan lebih jelas lagi. Pihak yang disindir pula akan menerimanya
dengan hati yang tenang kerana selaran itu dilakukan dengan cara yang
bersopan-santun.
MOTIF
PENGARANG
Motif
penulisan Tun Seri Lanang adalah untuk ‘menyukakan duli hadrat baginda Sultan’
dan adalah supaya perihal yang berkenaan diketahui dan diingati oleh segala
anank cucu kita yang kemudian daripada kita. Jelaslah bahawa, Tun Seri Lanang
menulis Sulalatus Salatin adalah atas perintah Sultan dan agar karya sejarah
ini dapat dijadikan ikhtibar dan ingatan kepada generasi akan datang. Motif
seperti ini menggambarkan sifat subjektif karya dan pengarangnya sendiri, iaitu
subjektif terhadap peradaban, raja-raja dan bangsanya.
HIKAYAT ABDULLAH
KONSEP
PENULISAN
Penulis
Hikayat Abdullah tidak menyatakan sumber bagi sesuatu peristiwa atau tokoh yang
dicatatkan kerana pengamalannya sendiri merupakan sumber yang terpenting. Beliau
sering memulakan sesuatu ayat dengan beberapa ungkapan terutamanya apabila
ingin memulakan sesuatu ayat ‘kata yang empunya cerita’, bermula apa yang ku
dengar’. Beliau turut menggunakan perkataan ‘konon’ bagi menunjukkan rasa tidak
pasti atau rasa sangsi terhadap sesuatu peristiwa yang dicatatkan. Dalam mencatatkan
peristiwa mahupun perkara yang yang berkaitan dengan tokoh, Abdullah turut
menyatakan sekali dengan tarikh yang berkaitan. Hikayat Abdullah masih
menggunakan unsur-unsur kesusasteraan seperti dialog, syair, dan pantun tetapi
hikayat ini tidak mengandungi unsur luar biasa dan khayalan seperti mitos dan
lagenda. Unsur kesusasteraan yang digunakan mampu memberikan gambaran yang
lebih jelas mengenai sesuatu peristiwa serta lebih meyalinkan pembaca.
KEKUATAN KEPENGARANGAN
Hikayat
Abdullah mempunyai beberapa ciri persejarahan moden terutamanya jika ditinjau
dari segi isi kandungan, sikap yang agak kritis, dan kesedaran dalam penggunaan
tarikh yang konsisten. Hikayat Abdullah ini boleh dikatakan sebagai suatu
bentuk karya persejarahan yang kritis, terutamanya terhadap catatan peristiwa. Suatu
unsur penting yang terdapat di dalam Hikayat Abdullah adalah nasihat yang
dikemukakan terutamanya pada akhir setiap bab. Kadang kala unsur nasihat
dimuatkan selepas penerangan tentang sesuatu peristiwa yang berlaku. Melalui bahagian
nasihat ini, Abdullah seolah-olah ingin menyedarkan pembacanya tentang
kesilapan dan kekeliruan mereka selama ini. Hikayat ini juga masih lagi
sebahagian daripada tradisi persejarahan Melayu-Islam. Abdullah sering
menyelitkan sebutan tentang Allah dan Rasulnya dalam penceritaan beliau. Oleh itu,
Hikayat Abdullah dapat digolongkan ke dalam kategori persejarahan tradisi
Melayu-Islam yang memuatkan beberapa unsur persejarahan moden.
MOTIF PENGARANG
Tujuan
tersurat yang utama mengapa beliau menulis karya ini adalah untuk memenuhi
permintaan ‘seorang sahabatku, iaitu orang putih yang kukasihi akan dia, maka
ialah meminta sangat-sangat padaku iaitu kehendak mengetahui asal-usulku, dan
peri hikayat kehidupan diriku. Maka ia meminta karangkan satu kitab dalam
bahasa Melayu.
TUHFAT AL-NAFIS
KONSEP
PENULISAN
Raja Ali Haji bukan sekadar menyalin sahaja peristiwa daripada
sumbernya tetapi beliau membuat perbandingan dan penafsiran semula sumber. Matlamatnya
supaya kandungan yang ditulisnya berkualiti dam boleh dimanfaatkan oleh para
pembaca. Fakta-fakta yang diverikan oleh beliau adalah sumber interpretasinya
sendiri. Dalam penulisan bahagian kedua Tuhfat Al-Nafis, sumber yang dirujuk
digabungkan dengan peristiwa dan perkembangan yang didengar atau disaksikan dan
kemudian memberikan tafsiran dan pendapat dari sudut pandangannya sendiri. Beliau
menceritakan sebuah peristiwa dengan terperinci dan diteliti disebabkan oleh
ketajaman pemerhatiannnya. Ketepatan peristiwa yang diceritakannnya pula adalah
tinggi kerana beliau menyaksikan sendiri peristiwa sejarah yang berlaku. Oleh sebab
Raja Ali Haji menulis atas kehendak sendiri maka beliau boleh bersikap objektif
dan kritikal dalam menilai setiap peristiwa yang dikaji.
KEKUATAN KEPENGARANGAN
Raja
Ali Haji sedar akan kepentingan sumber dalam penulisan sesebuah karya. Oleh itu,
beliau menggunakan sumber rujukan dalam menghasilkan karyanya. Sumber yang
digunakan oleh Raja Ali Haji adalah terdiri daripada sumber bertulis dan sumber
lisan tetapi senarai sumber bertulis yang dirujuk tidak dimasukkan. Rujukan terhadap
sumber bertulis dapat dilihat melalui frasa ‘tersebut di dalam siarah’, aku
dapat dalam setengah kaul’ dan ‘aku terjumpa dengan sejarah’. Sumber lisan pula
berupa pengumpulan ingatan atau hafalan yang berkemungkinan diperoleh daripada
tokoh kerabat Di Raja Johor-Riau atau dari negeri Melayu yang lain. Sumber
lisan biasanya ditandai dengan ungkapan ‘kata setengah kaul’, ‘kata kaul
orang-orang tua’, dan ‘kata sahibul hikayat’. Jika sumber yang dirujuk
diragukan kebenarannya, maka Raja Ali Haji akan menyatakan dengan perkataan ‘konon’
dan ‘wallahualam’. Dengan cara memaparkan sumber dalam penulisannya, Raja Ali
Haji berharap beliau dapat memaparkan kebenaran sejarah dan tidak menimbulkan
keraguan atau kekeliruan terhadap pembaca karya beliau.
MOTIF PENGARANG
Tujuan
umum penulisan Raja Ali Haji adalah untuk memberikan penerangan kepada khalayak
umum mengenai hubungan sosiopolitik antara puak Melayu dan Bugis serta peristiwa
yang berkaitan dengannya. Raja Ali Haji menulis adalah dengan dorongan untuk
menghasilkan sebuah ‘kitab yang sempurna’ dan bukanlah untuk memenuhi titah
perintah orang yang berkuasa.
Sumber diperoleh
daripada http://karyaagung013.blogspot.com/2013/03/analisis-karya-agung.html
Sabtu, 29 November 2014
NILAI ILMU DAN MAKLUMAT
Pengenalan
(Sejarah Melayu: 74).
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081), perkataan
nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial
(Mohd Rashid Md Idris, 2011: 12), nilai (value) boleh didefinisikan ke dalam
tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat bagi menyatakan kepentingan atau
manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek
berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Pemupukan
nilai dalam masyarakat melayu membolehkan seseorang diterima sebagai sebahagian
daripada masyarakat. Masyarakat melayu lebih mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan
masyarakat dan nilai ang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh
dengan kesusilaan yang murni. Ilmu pula menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:
567), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan
lain-lain. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa ilmu dan maklumat itu saling
berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu akan menyebabkan kita menyebarkannya
kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Maklumat yang disebarkan
mengandung pelbagai fungsi. Antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah
untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandung
pelbagai kemusykilan dan lain-lain. Ilmu dan maklumat yang ingin dikaji
berdasarkan karya agung merupakan ilmu firasat, ilmu perdukunan, ilmu jampi,
ilmu pengasih, strata masyarakat Melayu, adat dan istiadat Melayu.
ILMU
FIRASAT
Menurut Kamus Dewan ( 2007: 412), ilmu firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlawan-pahlawan kerana dengan itu ia boleh membantu mereka menewaskan musuh. Umumnya ilmu firasat dapat dibahagikan kepada tiga iaitu firasat tilik nasib, firasat mimpi dan firasat terhadap binatang.
Menurut Kamus Dewan ( 2007: 412), ilmu firasat ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlawan-pahlawan kerana dengan itu ia boleh membantu mereka menewaskan musuh. Umumnya ilmu firasat dapat dibahagikan kepada tiga iaitu firasat tilik nasib, firasat mimpi dan firasat terhadap binatang.
Firasat tilik nasib memaparkan
dengan jelas dalam Sejarah Melayu dalam episode serangan Melaak ke atas
Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan-pahlawannya mengejar
Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri.dalam usaha itu Seri Bija Diraja tidak
tergesa-gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya itu tidak akan
terlepas dari tangannya. Ini dapat dilihat daripada kata-kata beliau kepada
anak buahnya.
Di mana kamu semua orang muda-muda
tahu? kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku kira-kirakan namanya di bawah
namaku,dan harinya di bawah hariku dan ketikanya di bawah ketikaku, di mana ia
akan lepaskan daripada tanganku?”
(Sejarah Melayu: 74).
Berdasarkan kepada contoh
petikan di atas, ramalan Seri Bija Diraja itu memang tepat. Beliaulah yang
telah berjaya menangkap Maharaja Dewa Sura.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga
disebutkan tentang pengamalan ilmu firasat. Ilmu firasat tilik nasib oleh Hang
Tuah adalah beliau dapat mengetahui sekiranya melakukan perjalanan matahari
sedang naik akan mendatangkan sesuatu peristiwa yabg buruk. Ketika dalam
perjalanan ke Singapura, iaitu di Selat Melaka, baginda telah ternampak seekor
ikan emas yang sangat cantik. Kemudian baginda memandang ke bawah perahu
sehingga mahkotanya terjatuh ke dalam air. Lalu Hang Tuah terjun untuk
mendapatkannya. Ketika hampir sampai ke perahu, tiba-tiba seekor buaya putih
datang menyambar kerisnya, lalu Hang Tuah terkejiu dan menyebabkan mahkota
terjatuh kembali. Kemudian, Hang Tuah menarik ekor buaya tersebut sehingga
lemas dan akhirnya timbul kembali tanpa mahkota an keris. Setelah Hang Tuah
kehilangan keris dan baginda kehilangan mahkota, kedua-duanya menjadi sakit kepala
dan demam.
Syahadan maka Laksamana pun
menurunkan segala perahunya dan mengerahkan segala orangnya berlengkap. Setelah
sudah mustaid maka datanglah kepada tujuh harinya. Maka Bendahara dan Laksamana
pun masuk mengadap berdatang sembah, “Daulat Tuanku, patik dititahkan
berlengkap itu sudahlah patik lengkapi seperti titah Duli Yang Dipertuan itu. Maka
titah patik junjung, tetapi pada bicara patik, baiklah Duli Syah Alam berangkat
pada tengah naik matahari, alamat geroda alah oleh ular.”Maka baginda pun
berangkat masuk mendapatkan isterinya keduanya, seraya bertitah, “marilah
adinda kita turun, kerana harisudah tinggi.
(Hikayat Hang Tuah,
1997: 476)
Kepercayaan kepada ilmu
firasat mungkin boleh dikaitkan dengan konsep ‘memilih ketika’ dalam kalangan
masyarakat Melayu. Umpamanya dalam seminggu terdapat hari-hari tertentu yang
baik dan buruk serta sial. Begitu juga dengan bulan-bulan tertentu dalam masa
setahun. Oleh yang demikian, mereka yang memilih ketika yang baik untuk
memulakan sesuatu pekerjaan atau rancangan seperti mendirikan rumah,
mengerjakan sawah dan memulakan perjalanan untuk merantau. Bagi mereka,
‘memilih ketika’ itu penting untuk mengelakkan daripada bencana atau sebarang
keburukan.
Di Acheh, waktu Pencagah
atau Iskandar Muda Mahkota Alam dalam kandungan, ibunya bermimpi bersanggulkan
bulan yang dihiasi buang air kecil yang terlalu banyak sehingga menjadi laut.
Dalam mentafsir mimpi itu, Fakih Khoja Manassiah berpendapat :
Tuanku, adapun takbir mimpi sultan
itu Insya-Allah taala (tak dapat) tiadalah daripada zuriat sultan menjadi raja
yang maha kuasa lagi terlalu besar gahnya lagi mengempukkan segala raja-raja
daripada segala pihak Timur dan daripada segala pihak Barat. Dan paduka anakanda
itulah melimpahkan takhta adilnya dan ialah matahari yang betak (tetap) di bumi
musyrik ini.
(“De Hikajat Atjeh”
:115)
Dalam historiografi
Melayu tradisional lain, unsur mimpi turut memainkan peranan penting. Di dalam
Fasal 13, Bab II Bustan al-Salatin ini pun, unsur mimpi dikemukakan walaupun
dalam dua episod sahaja. Nuruddin menceritakan bahawa Sultan Iskandar Muda
telah bermimpi tentang air persiraman puterinya dan Iskandar Thani.
Sultan Iskandar Muda teah bermimpi pada malam Isnin, 12 Jamadilakhir, iaitu
turun sebuah mahligai daripada cahaya dengan perhiasannya berisi air mandi
dibawa oleh malaikat dari langit. Malaikatlah yang memandikan kedua-dua
pasangan muda itu. Esoknya Sultan Iskandar Muda menitahkan bahawa mereka tidak
perlu lagi dimandikan oleh Syeikh Syamsuddin dan Kadi Malik al-Adil. Petikannya:
Maka pada pagi-pagi hari sabda Raja
Iskandar Muda kepada nenda Raja Serba Bawa, “Katakan kepada bondakuku Syah
Alam, janganlah bersusah lagi memandikan anankku kedua! Sudahlah mandi keduanya
daripada air yang turun dari kudrat Allah Taa’la!
(Bustan Al-Salatin :18)
Mimpi yang kedua ialah
yang muncul dalam tidur seorang pembuat batu nisan. Setelah Sultan Iskandar
Thani mangkat, baginda digelar Marhum Dar al-Salam. Permaisurinya yang menjadi
sultan memerintahkan juru batu nisan mencipta satu batu nisan yang terbaik
untuk suaminya. Masa itulah Marhum Mahkota Alam muncul di dalam mimpi juru batu
supaya melebihkan perbuatan batu itu pada makam Marhum Dar al-Salam.
Petikannya adalah seperti berikut :
Syahadan adalah yang mengadap Raja
Nisyan itu orang berpedang suasa. Maka pada suatu malam ia bermimpi Paduka
Marhum Mahkota Alam bersabda kepadanya dengan kahar, Hai segala pandai, kamu
lebihkanlah perbuatan batu ini daripadaku.
(Bustan Al-Salatin : 45)
Ilmu firasat terhadap
binatang juga diamalkan dalam Sulalatus Salatin.
Hal ini dapat dijelaskan dalam peristiwa di mana anjing pemburuan Parameswara
telah ditendang jatuh ke dalam sungai oleh seekor pelanduk putih yang
menyebabkan Parameswara tertarik untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai
tempat dibangunkan kota, negeri dan kerajaan. Hal ini dapat dilihat dalam petikan
di bawah:
“…titah baginda “Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah pada pelanduk; jikalau orangnya betapa
lagi?” maka sembah segala Orang Besar-Besar,
“benarlah seperti titah Duli Tuanku itu.” Maka disuruh baginda tebas, diperbuat
negeri.
(Sulalatus
Salatin: 71)
ILMU PENDUKUNAN
Menurut Kamus Dewan
(2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit
atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah
dan sebagainya), bomoh dan pawang. Manakala pendukunan pula membawa
maksud yang berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang
berkaitan dengan ilmu dukun.
Kepercayaan masyarakat Melayu
pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan itu
mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan
dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok,
sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib itu tidak boleh
dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun, pawang atau bomoh diperlukan.
Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya.
Dukun atau bomoh juga
dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar
dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi.
Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh
ular, gajah dan sebagainya. Di Melaka, terdapat orang yang begitu arif tentang
gajah, bergelar Penghulu Gajah. Antaranya adalah Seri Wak Raja. Contoh petikan
berkaitan dengan ini :
Sekalian orang pun
melihat tahunya Seri Wak Raja; gajah penakut jadi beraninya.
(Sulalatus
Salatin : 209)
Berdasarkan Hikayat Hang
Tuah, Nala Sang Guna telah meminta Laksamana Hang Tuah membuat ubat beranak
untuk isterinya. Hang Tuah telah membuat suatu jenis ubat yang berupa seperti
candu. Setelah sebulan akhirnya isteri Nala Sang Guna telah melahirkan seorang
bayi lelaki. Kemudian, Hang Tuah telah diberikan ganjaran oleh Nala Sang Guna.
Maka kata Nala Sang Guna, “Anakku
tahukah berbuat ubat beranak, kerana ayahanda terlalu hasrat hendak beranak. Beberapa
pula ayahanda minta kepada segala orang yang tahu, tiada juga diberi Allah
Taala.”Maka kata Laksamana, “Insyaallah Taala, adapun yang kehendak ayahanda
bonda akan anak itu beroleh. Ada suatu ubat hamba tahu; akan ayahanda
dianugerahkan Allah Taala anak seperti kehendak bonda itu.”… “Maka Laksamana
pun berbuat suatu ubat, rupanya seperti madat. Setelah sudah maka ubat itu pun disuruh
oleh Laksamana hantarkan kepada Nala Sang Guna.”
(Hikayat Hang Tuah,
1997: 394-395)
ILMU JAMPI
Menurut Kamus Dewan
(2010), jampi membawa maksud kata-kata tertentu yang diucapkan untuk
mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Mana Sikana (1996)
berpendapat bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan
seperti puisi. Ia ada hubungannya dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi
dikatakan sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutamanya pada
perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan
disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural.
Kedudukan pawang dalam
hierarki kemasyarakatan adalah jelas. Jampi mantera yang diucapkan telah
mendapat tempat yang istimewa. Jampi mempunyai unsur-unsur pemujaan, perubatan,
kasih sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia. Biasanya
pawang, dukun, bomoh atau orang yang memakainya tidak begitu mudah memberikan
jampi serapahnya kepada orang lain. Mereka bimbang jampi serapah yang diketahui
itu tidak mujarab lagi, melainkan orang yang sudah menuntut dan orang lain
tidak boleh menggunakannya. Jika digunakan juga dia akan menerima padahnya.
Jampi menolak syaitan
digunakan untuk menghalau sekalian jenis jin. Jampi ini juga digunakan untuk
mengubat penyakit yang berkaitan dengan makhluk halus. Jampi menolak syaitan
ini boleh sahaja digunakan pada bila-bila masa yang dirasakan perlu. Contohnya,
jampi ini boleh digunakan ketika seseorang berjalan di tempat yang sunyi atau
apabila berasa takut dan boleh juga digunakan apabila dirasakan diri diganggu
oleh sesuatu. Cara menjampinya adalah seseorang itu perlu memandang tegak ke
hadapan. Selepas sekali dibaca, hendaklah ditiup ke kiri dan ke kanan sebanyak
tiga kali. Jampi ini perlu dibaca sebanyak tiga kali berturut-turut. Contoh
yang terdapat dalam karya agung ialah:
“Permulaan kata aku menyatakan
Hakikat jin seribu empat puluh dua
lagi
Aku tahu akan asal usul dirimu
Asal diri jadi di huruf Alif
… dengan berkat La ilaha illallah”
(Kitab Tib 1292)
Perkara-perkara yang
berkaitan dengan jampi juga ada sedikit sebanyak disebut dalam Hikayat
Abdullah, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Seri Kelantan dan lain-lain lagi.
Contohnya ialah:
“Pawang ini pandai sungguh, sebab
membaca-bacakannya, gajah itu pun takut akan dia”.
(Hikayat Abdullah: 55)
Ayat tersebut
membuktikan bahawa pengarang Hikayat Abdullah ada menceritakan tentang jampi
dan jampi itu bermaksud pawang yang diceritakan itu sungguh pandai kerana mampu
menjinakkan gajah dengan hanya menjampinya sahaja.
ILMU PENGASIH
Menurut Kamus Dewan (2010),
pengasih membawa maksud ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna untuk
mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih. Ilmu pengasih ini adalah untuk
mendapat pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain. Lazimnya,
ilmu pengasih digunakan oleh seseorang kerana mungkin orang yang disukai itu
tidak menyukainya atau orang itu terlalu jual mahal. Ilmu pengasih boleh
digunakan dengan banyak cara, namun cara yang popular adalah dengan cara
mencalitkan sesuatu minyak kepada seseorang yang berkenaan atau dengan cara
menjampi gambar dan sebagainya. Contoh penggunaan ilmu
pengasih dalam Sejarah Melayu:
Hang Nadim menggunakan
ubat guna-guna untuk memikat Tun Teja. Ubat guna-guna tersebut dalam bentuk
lulut (bedak) itu ternyata berkesan. Setelah ia disapu kepada badan Tun Teja
oleh si pelulut beliau dengan serta-merta menyukai Sultan Mahmud dan sanggup
menjadi isteri baginda.
(Sejarah
Melayu: 170)
Ilmu pengasih ini boleh
dilakukan dengan dua cara, iaitu dengan cara menyapu bedak yang telah dijampi
dengan ayat tersebut ke muka atau dengan cara mandi dengan air yang telah
dijampi. Sekiranya seseorang itu menggunakan jampi ini, dia tidak boleh lalu di
bawah ampaian dan tidak boleh mengerjakan maksiat seperti mencuri. Jika
dilakukan juga, jampi tersebut tidak akan mujarab. Pengamal jampi ini juga
tidak boleh melangkah tulang babi dan sebaik-baiknya dia mesti fokus kepada
matlamatnya. Selain untuk perkasihan, jampi ini juga boleh digunakan untuk bertemu
dengan orang yang tertentu untuk tujuan baik. Misalnya ketika hendak
berwawancara atau temu duga pekerjaan, meminta pertolongan atau sebagainya.
STRATA MASYARAKAT MELAYU
Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat (2010: 1525), perkataan strata membawa maksud tingkat
kedudukan, peringkat taraf (dalam susuna atau hierarki tertentu). Sulalatus Salatin
telah memaparkan gambaran tentang susun lapis masyarakat Melayu yang pada
umumnya dapat dikategorikan kepada beberapa peringkat.
Golongan raja dan
kerabat menduduki susun lapis yang teratas dalam strata sosial masyarakat
Melayu. Di Melaka dengan mengambil contoh semasa pemerintahan Sultan Muhammad
Syah, golongan raja terdiri daripada sultan dan keluarganya (Sulalat al-Salatin,
1997: 65). Kuasa pemerintahan adalah terletak di bawah baginda. Keluarga dan
kerabat merupakan golongan yang mempunyai
jurai keturunan raja yang memerintah sesebuah kerajaan. Mempunyai kedudukan
istimewa dan diberi jawatan penting contohnya, bendahara dan temenggung. Jumlahnya
agak ramai kerana amalan poligami. (Sulalatus Salatin;6)
Golongan bangsawan menduduki tangga yang kedua.
Golongan ini pula terdiri daripada pembesar dan pegawai tadbir seperti
Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari, Perdana Menteri, Temenggung, Bentara,
Syahbandar. Terdapat juga dalam kalangan pendatang yang tergolong dalam
golongan bangsawan ini. Antaranya ialah ulama Islam yang terdiri daripada
tuan-tuan sayid, makhdum, maulana, dan kadi. Hubungan mereka dengan raja sangat
erat. Seseorang tokoh ulama begitu disanjung dan dihormati oleh masyarakat
Melaka. Sultan Melaka sendiri terpaksa tunduk dan menghormati golongan ulama
ini. Hal ini terjadi apabila seorang guru bernama Kadi Yusof enggan membenarkan
Sultan Mahmud Syah mengadap dengan menaiki gajah (Sulalat al-Salatin, 1997:
161).
Golongan yang menduduki susun lapis yang ketiga ialah
golongan rakyat biasa yang merdeka. Golongan ini terdiri daripada
pedagang, tukang-tukang mahir, petani dan juga saudagar. Dalam hal ini,
terdapat juga dalam kalangan saudagar yang mempunyai hubungan erat dengan
golongan atasan seperti Raja Mendeliar, Nina Sura Dewana, Kitul sebagainya.
Kitul dapat dikatakan rapat dengan Raja Mendeliar kerana mempunyai hutang
dengan Raja Mendeliar, namun Kitul telah menyampaikan fitnah bahawa Nina Sura
Dewan pergi berjumpa dengan Benhara Seri Maharaja untuk merancang pembunuhan ke
atasnya. Secara tidak langsung, Raja Mendeliar menghapuskan hutang Kitul
terhadapnya (Sulalat al-Salatin, 1997: 204). Ketua kapal atau nakhoda juga
mempunyai keistimewaan kerana dianggap sebagai raja di atas kapal.
Maka kata Kitul, “Malam tadi Nina
Su{a}r{a} Dewana datang kepada bendahara, dipersembahkannya emas sebahara,
hendak membunuh tuan hamba. Akan sekarangbendahara se{bi}caraah dengan Nina Su{a}r{a}
Dewana, tuan hamba hendak dikerjakannya.” Demi Raja Mendeliar menengar kata
Kitul itu maka Raja Mendeliar mengambil surat utung Kitul, dicarik-cariknya.
(Sulalat al-Salatin, 1997: 204)
Orang kaya merupakan
golongan strata sosial yang berada di atas golongan peniaga. Golongan ini
membantu golongan peniaga melariskan jualan mereka. Kebanyakan orang kaya
terdiri daripada peniaga. Dalam Hikayat Abdullah, golongan ini tergolong dalam
strata sosial masyarakat pada zaman tersebut. Contoh petikan teks yang
memaparkan golongan ini terdapat pada zaman tersebut ialah:
Maka banyaklah mereka itu yang menjadi kaya sebab
berniaga dalam Melaka.
(Hikayat Abdullah, 2004:
27)
Peniaga merupakan salah
satu golongan yang termasuk dalam strata sosial dalam Hikayat Abdullah. Berdasarkan
Hikayat Abdullah, didapati bahawa golongan peniaga paling ramai wujud pada
zaman tersebut. Kewujudan para peniaga ini telah melahirkan ramai golongan
orang kaya. Contoh yang menunjukkan golongan peniaga dalam Hikayat Abdullah
ialah:
Hatta dengan beberapa lamanya ia di
sana pekerjaannya sambal berniaga sambal mengajar orang-orang hulu itu daripada
hal mengaji dan sembahyang dan sebagainya darihal perkara agama Islam.
(Hikayat Abdullah, 2004:7)
Golongan hamba menduduki
susun lapis masyarakat yang paling bawah dalam struktur atau susun lapis
masyarakat Melayu. Golongan hamba terdiri daripada hamba raja, hamba berhutang
dan hamba abdi. Sulalat al-Salatin jelas menunjukkan institusi ini wujud
sebelum tertubuhnya Kesultanan Melayu Melaka. Ini dapat dilihat pada Badang
yang telah diterima sebagai pahlawan Singapura yang sebelum ini ditugaskan oleh
tuannya untuk membersihkan hutan. Kekuatannya itu telah mengubah status
sosialnya daripada seorang hamba kepada rakyat biasa yang merdeka (Sulalat
al-Salatin, 1997: 37). Tun Mutahir dikata mempunyai bilangan hamba yang banyak
sehingga tidak dikenalinya (Sulalat al-Salatin, 1997: 203).
Hamba raja terdiri
daripada orang merdeka yang telah melakukan kesalahan jenayah dan ditangkap tetapi mendapat keampunan
daripada sultan dan berjanji ingin menjadi hamba turun temurun. Golongan ini terdiri
daripada tawanan perang dan banduan serta mempunyai kedudukan yang lebih tinggi
berbanding hamba lain. Hamba abdi pula terdiri daripada orang bangsa Afrika,
orang asli dan Batak yang bukan Islam. Peluang untuk bebas tipis kecuali
dibebaskan oleh tuannya. Tidak mendapat pengiktirafan dalam masyarakat. Hamba berhutang pula merupakan orang yang pernah
berhutang dan gagal membayarnya. Mereka ini mempunyai kedudukan yang lebih
tinggi daripada hamba abdi. Merdeka selepas melangsaikan hutang. Mereka masih diakui
sebagai anggota masyarakat yang sama dengan tuan mereka.
ADAT DAN ISTIADAT MELAYU
Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010: 8) adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan
turun-temurun iaitu sejak dahulu kala di dalam sesuatu masyarakat iaitu
sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Manakala istiadat
pula ialah bermaksud peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah
menjadi kebiasaan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa adat istiadat merupakan
peraturan yang harus dilakukan sama ada dalam urusan rasmi atau tidak. Adat
istiadat ini sering kali dikaitkan dengan istana. Dalam karya agung Sejarah
Melayu, terdapat beberapa peristiwa yang dapat menggambarkan tentang adat
istiadat raja pada ketika itu. Selain itu, Sejarah Melayu dianggap penting
kerana ia memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah
kerajaan Melayu. Antaranya adat istiadat yang terdapat dalam Sejarah Melayu
ialah:
i. Adat mengadap raja di balai rung.
ii. Adat menjunjung duli.
iii.
Adat menyambut kedatangan utusan kerajaan dari luar.
iv. Perlantikan
pengganti seorang raja
v. Adat penganugerahan gelaran
Dalam
adat mengadap raja di balairung, para pembesar akan disusun mengikut pangkat
kebesaran masing-masing. Pangkat tersebut di mulai dengan bendahara, penghulu bendahari
dan temenggung akan duduk di seri balai. Kemudian, anak-anak raja pula akan
duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Selepas itu, di ikuti
dengan sida-sida yang muda akan duduk berselang seli dengan bentara dan
hulubalang yang berdiri di ketapakan balai memikul pedang.
“
Adapun apabila raja dihadap orang di balairung, maka bendahara, dan penghulu
bendahari dan temenggung dan segala menteri dan orang besar-besar, segala
sida-sida duduk di seri balai”.
(Sulalatus Salatin, 1979 : 75)
Adat
ini merupakan perkara yang wajib dilakukan ketika mengadap Sultan. Malahan,
sehingga sekarang adat ini masih lagi diamalkan walaupun tidak semuanya mengikut
adat yang dahulu.
Dalam
Adat menjunjung duli ianya memerlukan empat atau lima orang kepala bentara yang
terdiri daripada sida-sida yang akan duduk di seri balai. Malahan, segala
perkakas diraja seperti ketur, kendi, kipas dan sebagainya akan di susun secara
berselang-seli kedudukannya. Sementara itu, puan dan pedang akan berada
dikelekan kiri dan kanan. Manakala, pedang kerajaan akan dipikul oleh laksama
atau Seri Bija Diraja.
“
Adapun segala perkakas raja, seperti ketur dan kendi, kipas dan barang
sebagainya diselang selang duduknya; melainkan puan dan pedang di kelek-kelekan
kiri dan kanan: pedang kerajaan itu laksamana atau Seri Bija Diraja memikul
pedang itu”.
(Sejarah Melayu : 54)
Dalam
adat menjunjung duli ini, barang-barang kebesaran yang digunakan penting untuk
melambangkan sesebuah intitusi diraja. Manakala, biduanda-biduanda yang
ditugaskan untuk membawa alat-alat kebesaran tersebut haruslah sentiasa
mematuhi segala protokol dan memahami adat yang terdapat dalam istana tersebut.
Semasa
menyambut kedatangan utusan kerajaan dari luar terdapat juga adat yang perlu di
ikuti. Sambutan terhadap kedatangan utusan adalah berbeza mengikut tahap
kebesaran kerajaan tersebut. Apabila utusan dari kerajaan yang besar seperti
Pasai dan Haru, sambutannya akan menggunakan selengkap alat kerajaan seperti
gendang, serunai dan lain-lain. Jika utusan datang dari negeri yang kurang
kebesarannya, alat kelengkapan keraian untuk menyambutnya akan dikurangkan,
cukup sekadar gendang dan serunai sahaja atau berpayung kuning atau bergajah.
Walau bagaimanapun, sepersalinan tetap akan diberikan.
“
Jika surat dari Pasi atau dari Haru, dijemput dengan selengkapnya alat kerajaan,
gendang, serunai, nafiri Negara, paying putih dan perapit; melainkan medali
juga yang tiada pergi menjemput itu. …Telah datang ke balai, maka surat
disambut oleh hulubalang asal,yakni kepada bentara yang kiri menyampaikan
titah raja kepada utusan, kepada bentara yang di kanan menyampaikan sembah”.
(Sejarah Melayu : 57)
Dalam
adat ini, pihak yang lebih berkuasa akan dihormati. Dengan itu, untuk menyambut
utusannya akan di buat secara besar-besaran. Malahan, pihak tersebut juga
berkemungkinan mempunyai kekuasaan yang amat kuat dan terpengaruh di rantau
tersebut. Dengan itu, jika tidak menyambutnya dengan cara yang terhormat,
berkemungkinan akan memberi kesan kepada sesebuah kerajaan kelak.
Perlantikan
pengganti seorang raja dalam Sulalat al-Salatin kebanyakannya dilakukan oleh
raja itu sendiri melalui wasiatnya sebelum mangkat. Setelah itu barulah raja
yang baru akan dijunjung duli oleh pembesar dan rakyat jelata (Sulalat al-Salatin, 1997: 54).
Bagi
adat penganugerahan gelaran, adat ini akan dimulai dengan menjemput otang yang
bakal menerima gelaran ke istana. Jemputan bagi penganugerahan adalah berbeza
mengikut pangkat dan gelaran yang bakla diterima. Orang besar-besar akan
menjemputnya jika mendapat penganugerahan “Perserian”, manakala bagi anugerah “Persangan”
hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan dijemput orang yang bakal meneriman
anugerah. Orang
yang akan menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda.Mereka
akan diiringi dengan payung dan gendang serunai ke istana. Hal ini dapat
dilihat dalam petikan di bawah:
Ketika
tiba di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut
gelaran yang diberikan oleh raja. Sebagai contoh, anugerah bendahara akan
diberi lima ceper persalinan.
(Sulalatus
Salatin: 76-77)
Penutup
Kesimpulannya, terdapat
banyak nilai ilmu dan maklumat yang terkandung dalam sesebuah karya agung yang
dikaji. Melalui pembacaan karya agung, didapati terdapat banyak nilai ilmu dan
maklumat yang diselitkan oleh pengarang dalam sesebuah karya mereka. Antaranya ialah
ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu pengasih, ilmu pendukunan, maklumat berkaitan
strata sosial masyarakat, adat dan istiadat melayu. Oleh itu dapat disimpulkan
bahawa, setiap karya agung yang digarap mempunyai nilai ilmu dan maklumat yang
tersendirinya. Nilai ilmu dan maklumat tersebut boleh dijadikan amalan serta
pengajaran berguna kepada sesebuah masyarakat.
Sumber:
Abdullah
Munsyi (2004). Hikayat Abdullah.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
A.
Samad Ahmad (1979). Sulalatus
Salatin: Sejarah Melayu. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim
Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Rashid, Abd Rahman Napiah dan Seri Lanang (2014). Karya Agung Melayu BMS3022). Perak: Pusat Pendidikan Luar UPSI.
Mohd Rashid, Abd Rahman Napiah dan Seri Lanang (2014). Karya Agung Melayu BMS3022). Perak: Pusat Pendidikan Luar UPSI.
Siti Hawa Haji Salleh (1992).
Bustan al-Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tun
Seri Lanang (1997). Sulalat al-Salatin ya’ni pertuturan segala raja-raja
(Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Langgan:
Catatan (Atom)








