Selasa, 2 Disember 2014

IDEALISME DAN FALSAFAH MELAYU

IDEALISME & FALSAFAH MELAYU

Falsafah Melayu dalam Karya Agung
Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani atau Greek Purba. Perkataan falsafah merupakan gabungan dua perkataan iaitu philo yang bermaksud cinta dan sophia yang bermaksud “kebijaksanaan”. Oleh itu, falsafah boleh diertikan sebagai “cinta akan kebijaksanaan”. Menurut  Kamus Dewan Edisi keempat, falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu ilmu yang lain. Falsafah juga didefinisikan sebagai kebijaksanaan atau hikmah menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki.

Menurut Hashim Hj. Musa (1994). Falsafah merupakan kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Berdasarkan pendapat pendapat yang diberikan, dapatlah dirumuskan bahawa ilmu falsafah ialah ilmu yang mengkaji dan meneliti objek yang abstrak dan logikal yang merupakan hakikat benda benda kejadian di alam semesta.

Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang dapat dihuraikan melalui tiga sudut pandangan iaitu sudut pandangan bahasa, sudut pandangan pemerhatian praktis dan sudut pandangan perbezaannya daripada ilmu-ilmu yang lain. falsafah juga merupakan satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa arab yang juga berasal daripada perkataan yang disebut sebagai philosophia.

Falsafah Melayu
Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Masyarakat Melayu sangat mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan. Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebahagian daripada masyarakat.  Nilai sememangnya menjadi sesuatu yang dekat dengan masyarakat Melayu. Nilai dan etika yang dipegang menjadi cerminan kepada masyarakat Melayu dan membentuk jati diri mereka dalam interaksi dan kehidupan bermasyarakat. Sebagai contoh, interaksi yang beradab, sopan, menghormati orang lain merupakan norma- norma yang erat dengan kehidupan masyarakat Melayu. Nilai yang diamalkan akan menghasilkan komunikasi dan tingkah laku yang penuh tatatertib yang beradab dan penggunaan bahasa yang penuh dengan kesantunan .

Falsafah Bahasa dari Sudut Nahu dalam Sulalatus Salatin
Semua bahasa yang terdapat di dunia mempunyai nahu atau tatabahasa yang tersendiri, terutamanya bahasa Melayu. Nahu atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Penggunaan nahu yang sempurna bermaksud penggunaan kata atau perkataan dan ayat yang betul dalam proses berbahasa. Nyanyian dalam karya sulalatus salatin memperlihatkan penggunaan bahasa yang sangat halus untuk menggambar sesuatu perkaran. Perkara ini dapat dilihat melalui nyanyian Kapitan Melaka.

Dihela-hela diretak sehasta
Kandis dipenggalkan
Alangkah gila Raja Kecil
Menggusta manis ditinggalkan
Melihat buah hartal masuk.
                                                                                         (Muhammad Haji Salleh, 1997: 217)

Nilai berbudi dan berbahasa dianggap sebagai suatu nilai yang tinggi dalam masyarakat Melayu dan disanjung tinggi sebagai ukuran ketinggian keperibadiannya. Dalam karya Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Muhammad Haji Salleh menunjukkan ketinggian ilmu orang Melayu dalam berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang indah seperti pantun dan syair.

Falsafah Alam
Hubungkait antara manusia dan alam sekitarnya iaitu “bagaimana manusia menggunakan kebijaksanaan untuk berinteraksi dengan alam. Dalam pemikiran Hamka, alam membantu masyarakat untuk terus berpegang bahawa segala yang ada di seluruh alam ini telah terancang oleh Pencipta. Menurut ahli falsafah agama seperti Klaus Klostermaier, kepentingan memahami alam sebagai unsur yang mempunyai nilai ketuhanan  bukanlah sebagai jalan terakhir, tetapi sebagai jalan yang sebenar dalam memastikan alam sekitar dihargai. Menurut agama Hindhu dan Kristian juga, kedudukan alam wajib dihargai.

Konsep Falsafah Islam
Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan persekitarannya. Falsafah islam  tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber berautoriti iaitu al-quran dan as-sunnah.

Falsafah Keadilan dalam Sulalatus Salatin
Falsafah keadilan dapat dilihat melalui tindakan Sultan Muzaffar Syah mewujudkan undang-undang untuk mengelakkan menteri melakukan kesilapan. ganjaran terhadap kesilapan yang dilakukan ialah hukuman. Dalam karya ini tidak banyak menonjolkan sikap raja yang adil, tetapi perkara yang banyak ditonjolkan adalah berkaitan sikap raja yang tidak adil. Beliau memang patut dipuji kerana tidak hanya menceritakan kebaikan sahaja, malah turut menceritakan kezaliman yang telah dilakukan oleh raja. Beliau patut dipuji kerana tidak menyembunyikan kezaliman raja terhadap rakyat dan juga pembesar. Terdapat banyak peristiwa yang mempamerkan ketidakadilan raja. Sebagai contoh, kezaliman yang dilakukan oleh Sulatan Mahmud Syah ke atas keluarga Tun Fatimah kerana berdendam. Sultan Mahmud Syah telah membunuh Tun Mutahir, Tun Ali, dan keluarga Tun Fatimah.
Setelah Sultan Mahmud Syah melihat rupa Tun Fatimah maka baginda pun terlalu khairan. Maka teringinlah rasa Sultan Mahmud Syah akan Tun Fatimah. Maka baginda berkata dalam hatinya, “Jahatnya Pa’ Mutahir ini, demikian baik anaknya tiada ditunjukkannya kepada kita.”
Maka Sultan Mahmud Syah pun berdendamlah rasanaya akan Bendahara Seri Maharaja.
                                                        (Muhamad Haji Salleh, 1997 : 201)

Falsafah Melayu Berkaitan dengan Adat
Adat merupakan peraturan yang diamalkan sejak turun temurun. Adat yang diwujudkan perlu dipatuhi oleh masyarakat. Dalam Sulalatus Salatin, terdapat banyak adat Melayu yang diamalkan oleh golongan raja dan golongan rakyat. Adat yang digunakan pada masa dahulu juga masih ada yang digunakan pada masa sekaranag sesuai dengan peredaran masa.

Adat Penganugerahan Gelaran
Adat ini dimulakan dengan menjemput orang yang bakal menerima gelaran ke istana. Jemputan pula penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang bakal diterima. Orang besar-besar akan menjemputnya jika mendapat penganugerahan ‘Perserian’. Bagi anugerah ‘Persangan’ hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan menjemput orang yang bakal menerima anugerah. Orang yang akan menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda.

Mereka akan diiringi dengan payung dan gendang serunai ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh raja. Sebagai contoh, anugerah Bendahara akan diberi lima ceper persalinan.

Jika baginda menggelar orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang beradat. Maka dijemput orang itu: jika "Perserian ", Orang Besar-besar menjemput dia; jika "Persangan", orang kecil menjemput dia; jika "Pertuanan" orang sedang menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah; yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan gendang serunai, tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan sebesar-besamya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan orang besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan ben tara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang orang bergelar juga.
                              (A. Samad Ahmad, 1979: 76)

Adat Mengadap Raja di Balairung
Semasa mengadap raja terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung. Pembesar-pembesar akan di susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti bendahara, penghulu bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak- anak raja akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida- sida yang muda akan duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan aturan mengadap raja di balairung.  Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.  
   
Kemudian daripada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang baginda segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.
        (A.  Samad Ahmad, 1979: 5)

Falsafah Kekuasaan
Falsafah lain yang boleh dilihat dalam karya agung Melayu ialah tentang falsafah kekuasaan. Kitab Salalatus Salatin banyak menceritakan tentang kekuasaan raja. Raja sangat berpengaruh dari sudut pemerintahan. Hal ini demikian kerana, raja berkuasa menitahkan semua [erkara kepada rakyat dan rakyat wajib menunaikannya jika tidak mahu dihukum. Kuasa raja yang ditonjolkan juga dilihat sebagai satu tindakan yang menindas golongan rakyat. Raja pada zaman dahulu terlalu berkuasa dan bertindak zalim di luat batas kemanusiaan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika rakyat terlalu patuh kepada raja biarpun diperlakukan dengan buruk. Sebagai contoh, Sultan Mahmud Syah sanggup membunuh keluarga Tun Fatimah kerana terlalu tergoda dengan kecantikkan dan sanggup merampasnya daripada Tun Ali. Perkara ini boleh dilihat melalui petikan teks dibawah:

Maka Sultan Mahmud Syah menitahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara membunuh Bendahara Seri Maharaja. Maka segala anak buah Bendahara Seri Maharaja dan kaum keluarganya berkampunglah kepada Bendahara Seri Maharaja sekaliannya dengan segala senjatanya.
Maka dibunuhlah Bendehara Seri Maharaja dan Seri Nara al- Diraja dan segala anak bauhnya yang mau mati sama-sama dengan dia. Setelah itu maka Sang Sura datang berlari-lari dari dalam membawa titah pada Sang Sura, “Titah Yang Dipertuan jangan semuanya dibunuh,tinggalkan akan benih.”
          (Muhamad Haji Salleh, 1997 : 205)

Falsafah Waad
Falsafah ini merupakan satu falsafah yang berkaitan dengan perjanjian yang dikenali dengan Waad. Waad merupakan kontrak sosial yang dilakukan di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Jika waad ini dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti menghidapi penyakit kedal iaitu sejenis penyakit kulit. Waad ini dilihat sebagai satu kontrak atau perjanjian di antara golongan pemerintah dan golongan rakyat. Perjanjian ini mengandungi perjanjian timbal balik. Sebagai contoh, rakyat tidak boleh mendehaka kepada raja dan raja juga tidak boleh menzalimi rakyat. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat patuh kepada pemerintah dan raja tidak akan bertindak zalim terhadap golongan rakyat.

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba. Syahadan jikalau ia berdosya besyar-besyar | dosyanya sekalipun jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosyanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hokum syar’i.
Maka titah baginda, “Kabullah hamba akan janji bapa hamba Demang Lebar Daun( tetapi hamba hendak minta satu janji pada bapa hamba.)”
Maka Sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, tuanku?”
Maka titah Seri Teri Buana, “Hendaklah pada akhir Zaman kelak anak cucu bapa jangan durhaka, dan anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat, pekertinya sekalipun.
Maka titah Seri Buana, “Baiklah, kabullah hamba akan wa’ad itu.”
                                                        (Muhamad Haji Salleh, 1997 : 23-24)

Sumber dipetik daripada:
Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat Al-Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

A.Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.


http://karyaagung2013.blogspot.com/2013/05/idealisme-falsafah-melayu.html

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

DEFINISI ESTETIK

Menurut Kamus Dewan (2007), estetik bermaksud bukan keindahan atau penghargaan terhadap keindahan (terutamanya dalam bidang seni), manakala estetika pula bermaksud cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain.  Estetik menurut Agus Sachari (2002: 2), adalah suatu ilmu filsafat yang telah menempatkannya pada suatu titik antara realiti dan abstrak, serta antara keindahan dan makna. Perkataan estetik dalam bahasa Yunani ialah ‘aisthesi’ yang membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi ialah ‘kepekaan’. Estetik juga boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception). Ahli Filsafah Jerman bernama Alexander Baumgarten (1714-1716) adalah orang pertama yang telah memperkenalkan perkataan ‘aisthetika’. Namun demikian, Cottfried Leibniz (1646-1716) telah meneruskan pendapatnya mengenai estetik dan memberikan penekanan kepada pengalaman seni sebagai suatu bentuk ilmu.

Pandangan-pandangan mengenai estetik di atas, setiap waktu mengalami pergeseran, sejalan dengan pergeseran konsep estetik setiap zaman. Pandangan bahawa estetik hanya mengkaji segala sesuatu yang indah (cantik dan gaya seni), telah lama berubah kerana terdapatnya kecenderungan karya-karya seni moden yang tidak lagi menawarkan kecantikan seperti zaman Klasik, tetapi lebih kepada makna dan aksi mental.

MAKNA LUARAN DAN DALAMAN
Sesebuah karya lazimnya mempunyai konsep keindahan dari aspek makna luaran dan juga makna dalaman seperti berikut:

Makna Luaran
Menurut V. I. Braginsky (1994), keindahan luaran merupakan keindahan yang dicerap melalui pancaindera. Justeru, keindahan itulah yang mesti disampaikan kepada pembaca oleh karya sastera zaman klasik dengan cara-cara tersendiri, iaitu melalui keindahan luaran sebagai bentuk, isyarat dan petunjuk.

Makna Dalaman
Menurut V. I. Braginsky (1994), keindahan dalaman merupakan keindahan yang tersirat, iaitu tidak dinyatakan dan tidak dapat dirasakan tetapi yang dicerap akal. Keindahan dalaman itu memberi landasan pada keindahan didaktik.

MAKNA LUARAN DAN DALAMAN DALAM KARYA KESUSASTERAAN
Golongan karangan yang termasuk dalam sfera keindahan (luaran) merupakan peringkat pertama (paling rendah) dalam sistem kesusasteraan Melayu klasik. Golongan berkenaan merangkumi karya-karya yang bertujuan menanam harmoni dalam hati manusia dan dengan demikian mencipta syarat bagi mendidik budi bahasa pembaca. Karya-karya tersebut merupakan sejenis continuum. Hal ini disebabkan antara karya-karya itu, terdapat karangan bertulis yang sekali gus wujud dalam bentuk lisan (kalau dibacakan serta karya-karya teatrikal (untuk dipentaskan sebagai lakon wayang). Golongan berkenaan menampung hikayat yangmengakar dalam epos Sanskrit dan purana. Hikayat tersebut sampai ke dunia Melayu menerusi perantaraan Jawa (Hikayat Seri Rama, Hikayat Pendawa Jaya, Hikayat Sang Boma dan lain-lain). Cerita-cerita panji yang berasal daripada kesusasteraan Jawa mesti juga digolong dalam kumpulan karya peringkat pertama.

Sfera faedah (keindahan dalaman) yang merupakan peringkat kedua tertinggi dalam sistem kesusasteraan Melayu klasik terdiri daripada dua kumpulan genre pelbagai ‘cermin’ dan pelbagai ‘sejarah’. Menurut tradisi Islam, manusia ialah makhluk berakal sejak kelahirannya. Tetapi akalnya itu masih dalam potensi sahaja. Akal bagaikan lilin yang belum diberi rua. Pengetahuan yang meninggalkan bekas-bekasnya pada ‘lilin’ itu boleh membentuk manusia dalam dua cara. Manusia boleh dididik dan didewasakan sebagai makhluk sosial dengan perasaan dan fikiran halus, iaitu sebagai makhluk beradab atau sebagai peribadi yang dahagakan pengetahuan sistematik tentang pelbagai bidang alam semesta seperti ilmu ketuhanan.

Manusia yang beradab itu dididik oleh karangan yang merupakan cermin didaktik. Dalam kesusasteraan Melayu klasik, karangan yang merangkumi cermin-cermin itu sendiri merupakan sejenis buku pelajaran etika, kebijaksanaan hidup serta pengurusan negara (Taj as-Salatin, Bustan as-Salatin, nasihat-nasihat ringkas buat raja-raja yang biasanya ditulis dalam bentuk prosa dan kadang-kadang puisi). Di samping itu, genre cermin juga meliputi hikayat-hikayat berbingkai (Kalilah dan Daminah, Hikayat Bakhtiar dan Hikayat Bayan Budiman), antologi besar dan kecil yang bersifat didaktik serta syair-syair yang membincangkan soal etika, kadangkala dalam bentuk alegori.

Dalam sistem kesusasteraan Melayu klasik, sfera fungsional yang menduduki peringkat ketiga (yang tertinggi) bermatlamat untuk menyempurnakan rohani pembaca. Sfera penyempurnan rohani ini terdiri daripada karya agama dan tasawuf yang sering berhubung dengan konsep keindahan dalaman atau makna dalaman. Berlainan daripada karangan sfera keindahan luaran dan sfera faedah, karya-karya itu menunaikan tugasnya secara tidak langsung. Hanya rahmat Allah yang dilimpah kepada mereka yang dipilih-Nya dapat membuka hati nurani manusia dan menjadikan hati mampu memandang atau bermeditasi (memusyahada) haq terala. Dalam pada itu, hati nurani mesti sentiasa bersedia menerima kurnia itu. Oleh itu, kesusasteraan agama dan tasawuf mengukuhkan imam sambil menjelaskan kepadanya hukum syariat, usuluddin dan metafizika Islam, menggambarkan tahap-tahap pengenalan diri, memberi amaran tentang cara mengatasi bahaya tersebut.

Makna Luaran dan Dalaman dalam Hikayat Sejarah Melayu
Terdapat sepuluh makna luaran dan dalaman yang dijumpai dalam buku Hikayat Sejarah Melayu Abdul Rahman Haji Ismail (1998). Antaranya ialah:

“Maka ada seorang raja terlalu amat besar kerajaannya, setengah negeri Hindi dalam tangannya, Raja Kida Hindi namanya.”
(Sejarah Melayu, 1998: 67)

Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan mengenai adanya seorang raja yang mempunyai sebuah kerajaan yang amat besar dan setengah daripada negeri Hindi berada di dalam tangannya. Beliau bernama Raja Kida Hindi. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang ingin menyampaikan kepada pembaca bahawa Raja Kida Hindi mempunyai sebuah kerajaan yang amat besar dan luas. Separuh daripada negeri Hindi adalah berada di bawah kekuasaan dan taklukannya. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang menggambarkan bahawa kekuasaan Raja Kida Hindi adalah kuat dan kerajaan Hindi diibaratkan berada dalam genggaman tangannya.

Kita dapat melihat kebenaran hakiki dari aspek sfera fungsional apabila teks ini kita kaji melalui logik cerminan dan sejarah tamadun sesebuah masyarakat manusia. Melalui teks di atas, secara fungsionalnya masyarakat memerlukan pemerintah untuk mentadbir dan memerintah sesebuah kerajaan. Penguasaan seseorang pemerintah lazimnya bergantung kepada kecerdikan akalnya dan sokongan yang diberikan oleh rakyatnya. Sokongan daripada rakyat akan menyebabkan seseorang pemerintah itu menjadi semakin kuat. Lumrah kehidupan dalam sekelompok manusia memerlukan seseorang ketua atau pemimpin. Begitu juga sebaliknya, pemimpin memerlukan sokongan daripada orang bawahannya. Hal ini demikian dapat diibaratkan seperti perjalanan sebuah kapal di lautan yang memerlukan seorang nakhoda untuk mengemudi kapal tersebut supaya tidak tenggelam dan tersalah haluannya. Sesungguhnya, dalam perkara kecil sekalipun Islam ada menyuruh kita untuk memilih pemimpin. Rasulullah S.A.W ada bersabda:

“Apabila kamu keluar bermusafir tiga orang hendaklah kamu memilih seorang untuk menjadi ketua.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Seterusnya, makna dalaman dan luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sejarah Melayu (1998) pada halaman 67.

“Adapun akan Raja Kida Hindi itu ada beranak seorang perempuan, yakni seorang itu bariwati terlalu amat baik parasnya, tiada ada berbagai pada masa itu, cahaya mukanya gilang gemilang seperti cahaya matahari, dan terlalu amat bijaksana budinya puterinya, Syahrul Bariyah namanya.”
(Sejarah Melayu, 1998: 67)

Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan Raja Kida Hindi telah melahirkan seorang anak perempuan yang cantik, tiada tandingan dan bijaksana budi pekertinya yang bernama Syahrul Bariyah. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang ingin memberitahu pembaca bahawa Raja Kida Hindi mempunyai seorang anak perempuan yang cantik tiada bandingan dan bijaksana budi pekertinya yang bernama Syahrul Bariyah. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang menggambarkan kecantikan dan kebijaksanaan anak perempuan Raja Kida Hindi yang tiada tandingannya pada ketika itu.

Melalui teks di atas, secara fungsional atau kebenaran hakikinya, seseorang lelaki tidak mungkin melahirkan zuriat keturunan. Hak melahirkan adalah terletak pada wanita. Hak ini telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Namun demikian, benih seseorang lelaki adalah diperlukan untuk wanita mengandung dan melahirkan seseorang zuriat keturunan. Oleh hal yang demikian manusia telah diciptakan oleh Allah S.W.T untuk hidup berpasang-pasangan seperti firman Allah S.W.T dalam surah Adz-Dzariyaat, ayat 49 yang bermaksud:

“Dan segala sesuatu kami jadikan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingat kebesaran Allah.”
(Surah Adz-Dzariyaat: 49)
Makna luaran dan dalaman dalam Hikayat Sejarah Melayu (1998) juga boleh dilihat pada halaman 71, iaitu:
Maka Tuan Puteri Syahrul Bariyah pun memberi tahu ayahnya Raja Kida Hindi, katanya, “Ketahuilah oleh ayahanda, bahawa hamba dua bulanlah sekarang tiada haid”.
(Sejarah Melayu, 1998:71)

Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan Tuan Puteri Syahrul Bariyah hanya sekadar memberitahu ayahandanya bahawa dia tidak datang bulan atau haid selama dua bulan. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang menceritakan bahawa Tuan Puteri Syahrul Bariah ingin memberitahu ayahandanya bahawa dia sudah mengandung dua bulan. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang menggambarkan usia kandungan Puteri Syahrul Bariah dengan tempohnya tidak datang bulan. Unsur bahasa yang sopan dan lembut telah digunakan oleh pengarang.

Melalui teks di atas, secara fungsional atau kebenaran hakikinya, seseorang wanita atau perempuan diberikan hak keistimewaan oleh Allah S.W.T untuk mengandung dan melahirkan zuriat. Keistimewaan ini tidak terdapat pada seorang lelaki. Seseorang wanita akan melahirkan zuriat atau keturunan seseorang lelaki. Oleh hal yang demikian, bagi menjamin zuriat keturunan yang baik, seseorang lelaki haruslah memilih pasangan yang baik akhlaknya, keturunannya serta agamanya. Hal ini demikian bertepatan dengan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang menyatakan “wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana garis keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya”. Namun demikian, tanggungjawab membesarkan anak-anak adalah terletak pada tangan kedua-dua belah pihak.

Seterusnya, makna dalaman dan luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sejarah Melayu (1998) pada halaman 71 hingga 72.

Maka cucunda baginda Raja Arisytun Syah kerajaan dalam negeri Hindi, menggantikan kerajaan nenenda baginda; umur baginda di atas kerajaan tiga ratus lima puluh lima tahun, maka Raja Arisytun Syah pun berpindahlah dari negeri yang fana ke negeri yang baqa.
(Sejarah Melayu, 1998: 71-72)

Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan Raja Arisytun Syah berpindah dari satu negeri (negeri fana) ke negeri yang lain (negeri baqa) setelah 355 tahun memerintah kerajaan dalam negeri Hindi. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang memaksudkan bahawa Raja Arisytun Syah telah meninggal dunia (beralih dari dunia kehidupan ke dunia kematian) setelah 355 tahun memerintah kerajaan dalam negeri Hindi. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang menggambarkan pemergian atau kematian Raja Arisytun Syah secara berkias.

Sfera fungsional atau kebenaran hakiki teks di atas dapat kita lihat melalui hakikat kehidupan seseorang manusia yang pada akhirnya akan kembali kepada pencipta-Nya. Lumrah kejadian manusia setiap yang hidup pasti akan mati telah ditentukan oleh Allah S.W.T sejak azali lagi. Hal ini demikian bertepatan dengan surah an-Nisa’:

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sudah sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.”
(Surah an-Nisa’: 78)

Seterusnya, makna dalaman dan luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sejarah Melayu (1998) pada halaman 72.

Kamudian daripada itu, maka Raja Ardasirbikan, anak Raja Kudraz Kuhan pula naik raja, maka baginda beristerikan anak Raja Nusyirwan ‘Adil, raja masyrik maghrib.
(Sejarah Melayu, 1998: 72)

Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran pengarang menceritakan bahawa Raja Ardasirbikan, iaitu anak kepada Raja Kudraz Kuhan telah naik ke atas raja dan memperisterikan anak Raja Nusyirwan ‘Adil. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang ingin memberitahu pembaca bahawa Raja Ardasirbikan, iaitu anak kepada Raja Kudraz Kuhan telah ditabalkan menaiki takhta raja dan telah memperisterikan anak Raja Nusyirwan’ Adil. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang menceritakan mengenai kenaikan pangkat Raja Ardasirbikan sebagai Raja.

Secara fungsional atau kebenaran hakikinya, dalam sistem pemerintahan beraja di Tanah Melayu pada zaman dahulu kala sering menggunakan sistem pewarisan dalam menggantikan takhta seseorang raja. Anak raja yang sulung akan dilantik menggantikan takhta ayahandanya mengikut jurai keturunan masing-masing. Namun demikian, bagi anak raja yang berstatus bukan anak gahara (bukan anak yang betul-betul daripada raja dan permaisurinya) adalah tidak layak menggantikan atau mewarisi takhta ayahandanya walaupun beliau merupakan anak sulung dalam jurai keturunan tersebut.

Makna luaran dan dalaman dalam Hikayat Sejarah Melayu juga boleh dilihat pada halaman 100 hingga 101, iaitu:

Maka baginda Seri Rana Wikrama pun keluar diadap orang, maka pahlawan Keling itu pun mengadap. Maka disuruh raja bermainlah dengan Badang, maka barang mainnya tewas juga pahlawan Keling itu oleh Badang.
(Sejarah Melayu, 1998: 100-101
)
Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran pengarang menceritakan bahawa baginda Seri Rana Wikrama menyuruh Keling bermain dengan Badang. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang ingin memberitahu pembaca bahawa baginda Seri Rana Wikrama menitahkan Keling berlawan dengan Badang dan pahlawan Keling telah tewas dalam pertarungan tersebut. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang sebenarnya menceritakan mengenai pertarungan antara Keling dan Badang.

Berdasarkan teks di atas, secara fungsional atau kebenaran hakikinya, seseorang pahlawan sering dikaitkan dengan gelanggang atau perlawanan. Pada zaman dahulu, pahlawan lazimnya akan beradu tenaga dalam sesebuah gelanggang di hadapan Sultan atau Raja untuk menunjukkan keberanian, kegagahan dan kekuatan serta kehebatan masing-masing. Lumrah kehidupan masyarakat, terutamanya masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala yang akan memandang tinggi terhadap pahlawan yang perkasa dan gagah berani di gelanggang pertempuran.


RETORIK DAN GAYA BAHASA MELAYU KLASIK

KONSEP RETORIK MELAYU KLASIK

Perkataan "retorik" menjadi popular dan mula diguna pakai secara meluas semasa berlakunya polemik antara Munsyi dengan seorang tokoh bicara suatu ketika dahulu. Kecelaruan dan salah faham mentafsir makna kata ini telah mendorong Munsyi untuk menulis tentang kata ini dengan harapan semua pihak jelas dan benar-benar faham maksudnya. Dalam hal ini, bagi sesetengah pihak "retorik" seolah-olah membawa konotasi negatif negatif. Ada pendapat yang menyatakan individu yang beretorik ketika berkomunikasi turut dianggap berwibawa serta pandai memanipulasi minda orang lain dengan menggunakan bahasa retorik. Tanggapan salah tentang fungsi retorik dalam kalangan pengguna bahasa seharusnya diperbetulkan. Hal ini demikian kerana retorik mempunyai fungsi yang penting sebagai salah satu bentuk strategi komunikasi berbahasa.

Menurut Kamus Dewan (2005:1326), retorik ialah kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Retorik juga ialah seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar. Awang Sariyan (2006:8) menyatakan retorik sebagai satu bentuk strategi komunikasi berbahasa yang menekankan aspek keberkesanan dalam perhubungan. Retorik juga melibatkan soal keterampilan atau kemahiran seseorang mengajukan buah fikiran, idea, atau gagasan. Menurut beliau lagi, dari segi sejarah awal wujudnya, retorik memang dikaitkan dengan kemampuan atau keterampilan seseorang itu menyampaikan pemikiran dalam bentuk hujah atau pidato. Hudson seorang ahli retorik pernah menimbulkan isu ini apabila beliau menyatakan bahawa retorik pada waktu tertentu telah kehilangan konotasi positif kerana salah faham sesetengah orang. Menurut beliau lagi, salah faham ini disebabkan orang tidak faham akan asal usul timbulnya retorik dan fungsi retorik dalam komunikasi.

Terdapat beberapa pemimpin dunia seperti Adolf Hitler, Benitto Musolini, J.F Kennedy, Abraham Lincorn, Sukarno, dan beberapa orang pemimpin Islam yang dikategorikan sebagai pemidato yang dapat menyampaikan idea, visi atau transformasi kepada rakyat dengan berkesan. Misalnya, Abraham Lincorn dengan kata-katanya "Of the people, by the people, and by the people" sudah sebati dengan kita. Atau kata-kata hikmat Saidina Abu Bakar ketika lantik menjadi pemimpin umat Islam selepas kemangkatan Nabi Muhammad SAW seperti yang berikut : "Saudara-saudara, aku diangkat menjadi pemimpin bukanlah kerana aku yang terbaik antara kamu semua. Untukl itu jika aku berbuat salah, luruskan aku. Sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan penipuan itu adalah pengkhiatan." Perdana Menteri kita juga semasa mula- mula dilantik menjadi kita ada juga menyuarakan kata-kata hikmatnya, iaitu "Bekerja bukan untuk saya tetapi bekerjalah bersama-sama saya.: Ungkapan-ungkapan tersebut mudah sahaja tetapi dianggap keramat kerana setiap kali diperdengarkan orang akan terpesona dengannya.

Penulis teks atau pengucap yang baik selalunya bijak memilih diksi atau kata-kata. Hal ini  bermaksud kata-kata yang dapat mengungkap kenyataan, memperhalus, memperbesar, bahkan menyembunyikan realiti. Dalam retorik, bahasa yang digunakan hendaklah jelas, tepat, mudah, indah, dan menarik. Pemidato perlu sentiasa berusaha untuk menggunakan kata-kata yang khusus supaya dapat mendukung maksud sebenarnya.Pemidato sering dinasihati agar menggunakan kata-kata yang sederhana dan mengelakkan penggunaan kata-kata yang bombastik. Kata-kata tersebut dimaksudkan sebagai kata yang berdegar-degar dan lebih besar daripada idea yang cuba disampaikan. Dalam hal yang perlu difahami oleh pemidato adalah lebih baik menggunakan fakta dan hujah yang mudah ditafsir dan difahami daripada menggunakan kata-kata yang bombastik ini. Lantas, penggunaan kata-kata yang tepat, jelas, dan menarik lebih menimbulkan kesan yang mendalam dan kuat terhadap pendengar. Perkataan tersebut dapat menggambarkan sikap, perasaan atau keadaan yang dilukiskan oleh pemidato.

Oleh itu, Munsyi berpendapat sesuatu ucapan atau pidato yang berkesan dan dapat mencapai tujuannya perlulah disampaikan dengan pelbagai teknik dan digabungkan dengan unsur retorik. Hal ini demikian kerana ucapan atau pidato yang dapat memanipulasikan segala unsur retorik yang sesuai tentu kedengaran lebih hebat dan dapat melonjakkan citra penyampainya, selain mampu meninggalkan kesan yang dapat diibaratkan sebagai "halwa telinga dan santapan rohani" para pendengar. Selain itu, kehebatan menyampaikan ucapann atau pidato memperlihatkan kewibawaan dan keterampilan seseorang perucap atau pemidato itu. Jelaslah di sini, retorik perlu dilihat dari perspektif positif kerana tanpanya sesuatu ucapan atau pidato itu boleh diibaratkan sebagai lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan seperti yang dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

KONSEP GAYA BAHASA

Gaya bahasa ialah cara pemakaian bahasa oleh pengarang. (Lim Swee Tim, 2003: 56). Tambah beliau, gaya bahasa menjadi pemangkin untuk memudahkan hal-hal yang sukar dan abstrak disampaikan dengan lebih mudah. Selain itu, penggunaan gaya bahasa akan menghasilkan kesan estetika iaitu kesan keindahan dalam karya. Definisi ini sejajar dengan pendapat yang dikemukakan oleh Sulaiman Masri, Abdullah Yusuf dan Mohd Ra’in Shaari (2006:446) bahawa gaya bahasa ialah susunan perkataan yang digunakan oleh pengarang untuk menyampaikan idea dan perasaan serta fikiran dan maksud dalam penulisannya. Hal ini bermaksud, segala kerja memilih perkataan dengan menggunakan kosa kata yang betul, mudah, tepat, ringkas, sopan dan penggunaan bahasa asing yang tidak keterlaluan sehingga mampu menengelamkan bentuk dan gaya bahasa Melayu dilaksakan oleh pengarang.

FRASA
Frasa secara umumnya merupakan  kumpulan kata yang membentuk unit sintaksis sesuatu klausa. Manakala menurut ahli bahasa tradisional pula frasa merupakan rangkai kata satu atau lebih perkataan yang di gabungkan. Manakala menurut ahli bahasa moden pula, frasa merupakan rangkai kata satu atau lebih perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan. Lazimnya, dalam ayat frasa berfungsi sebagai unsur pengisi kepada subjek, predikat, objek dan keterangan.

Antara ciri-ciri frasa ialah, frasa boleh diperluaskan iaitu dengan menambah perkataan lain. Selain itu frasa juga boleh disisipkan dengan unsur lain misalnya menambah perkataan, perkataan lain di tengah-tengah frasa. Malah, frasa juga merupakan konstituen yang longgar kerana boleh digugurkan mengikut konteks ayat. Bahkan frasa juga bersifat produktif kerana frasa boleh diperkembangkan lagi dengan frasa yang lain. Di samping itu, bentuk frasa juga lazimnya dalam bentuk yang umum dan mempunyai kebolehgantian yang tinggi dengan frasa yang lain. Sungguhpun demikian, frasa merupakan bukan leksikal ataupun bukan perkataan. Frasa terdiri daripada empat jenis frasa iaitu Frasa Nama, Frasa Kerja, Frasa Adjektif dan Frasa Sendi Nama.

Frasa kerja merupakan binaan yang boleh berdiri daripada satu perkataan atau lebih dan kata intinya   kata kerja. Lazimnya, kata kerja boleh terdiri daripada kata kerja transitif ataupun kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif boleh hadir bersendirian atau diikuti oleh satu atau sederetan perkataan, manakala kata kerja transitif mesti diikuti oleh objek serta unsur-unsur lain.

Frasa Adjektif merupakan susunan perkataan yang terdiri daripada satu perkataan atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif atau kata sifat sebagai kata intinya. Kata inti merupakan bahagian utama dalam susunan frasa tersebut. Frasa adjektif yang dibincangkan berfungsi sebagai predikat dan unsur keterangan dalam predikat. Secara umumnya frasa Adjektif terdiri daripada sembilan jenis iaitu, Frasa Adjektif Sifatan Atau Keadaan, Frasa Adjektif Warna, Frasa Adjektif Ukuran, Frasa Adjektif Bentuk, Frasa Adjektif Waktu, Frasa Adjektif Jarak, Frasa Adjektif Cara, Frasa Adjektif Perasaan, dan Frasa Adjektif Pancaindera.

Frasa sendi nama merupakan satu binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu sendi nama dan satu frasa nama yang menjadi pelengkap kepada kata sendi tersebut. Lazimnya frasa sendi nama terletak di hadapan frasa nama.  Sungguhpun demikian frasa sendi nama juga boleh didahului oleh kata bantu.  Antara frasa sendi nama yang lazimnya terdapat dalam bahasa Melayu ialah di, ke, dari, daripada, pada, kepada, untuk, akan, bagi, hingga,oleh dengan, sampai, tentang dan sebagainya.

KLAUSA
Klausa merupakan deretan perkataan yang mengandungi subjek dan predikat yang terdiri daripada dua jenis iaitu klausa bebas dan klausa tidak bebas. Klausa bebas merupakan klausa yang boleh berdiri sendiri tanpa memerlukan klausa lain. Manakala klausa tidak bebas merupakan klausa yang memerlukan klausa lain untuk melengkapkan struktur ayat. Lazimnya klausa tidak bebas hadir dalam ayat majmuk.

PENGARUH BAHASA ASING
Pengaruh bahasa Sanskrit
Pengaruh bahasa Arab


HALAMAN UTAMA

Tugasan ini menghendaki kami sekumpulan menyediakan sebuah blog yang memuatkan pelbagai jenis maklumat berkaitan koleksi karya agung yang dipilih. Subjek Karya Agung bahasa Melayu (BMS 3022) yang dikelolakan oleh pensyarah kami Dr Hj Mohd Rashid Hj Md Idris. Jutaan terima kasih kepada beliau kerana sudi memberi lautan ilmu kepada kami selama ini sehinga kami mampu menyiapkan tugasan yang diberikan. Walaupun matlamatnya ialah bagi menyempurnakan tugasan yang diberi, tetapi jauh di sudut hati kami ialah ingin berkongsi dengan pengunjung blog yang dahagakan ilmu.

Kemumu di tengah pekan,         
    Dihembus angin jatuh ke bawah,
Ilmu yang tidak diamalkan, 
   Bagai pohon tidak berbuah.

  

Ramai orang menggali perigi,
    Ambil buluh lalu diikat,
Ilmu dicari tak akan rugi,
    Buat bekalan dunia akhirat.


Pinang muda dibelah dua,          
    Anak burung mati diranggah,
 Dari muda sampai ke tua,           
    Ajaran baik jangan diubah.

 
Terang bulan di malam sepi,  
     Cahya memancar kepangkal kelapa
 Hidup di dunia buatlah bakti,       
     Kepada ibu dan juga bapa. 


 Air melurut ke tepian mandi,
    Kembang berseri bunga senduduk,
Elok diturut resmi padi,                   
   Semakin berisi semakin tunduk.