Selasa, 2 Disember 2014

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

DEFINISI ESTETIK

Menurut Kamus Dewan (2007), estetik bermaksud bukan keindahan atau penghargaan terhadap keindahan (terutamanya dalam bidang seni), manakala estetika pula bermaksud cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain.  Estetik menurut Agus Sachari (2002: 2), adalah suatu ilmu filsafat yang telah menempatkannya pada suatu titik antara realiti dan abstrak, serta antara keindahan dan makna. Perkataan estetik dalam bahasa Yunani ialah ‘aisthesi’ yang membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi ialah ‘kepekaan’. Estetik juga boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception). Ahli Filsafah Jerman bernama Alexander Baumgarten (1714-1716) adalah orang pertama yang telah memperkenalkan perkataan ‘aisthetika’. Namun demikian, Cottfried Leibniz (1646-1716) telah meneruskan pendapatnya mengenai estetik dan memberikan penekanan kepada pengalaman seni sebagai suatu bentuk ilmu.

Pandangan-pandangan mengenai estetik di atas, setiap waktu mengalami pergeseran, sejalan dengan pergeseran konsep estetik setiap zaman. Pandangan bahawa estetik hanya mengkaji segala sesuatu yang indah (cantik dan gaya seni), telah lama berubah kerana terdapatnya kecenderungan karya-karya seni moden yang tidak lagi menawarkan kecantikan seperti zaman Klasik, tetapi lebih kepada makna dan aksi mental.

MAKNA LUARAN DAN DALAMAN
Sesebuah karya lazimnya mempunyai konsep keindahan dari aspek makna luaran dan juga makna dalaman seperti berikut:

Makna Luaran
Menurut V. I. Braginsky (1994), keindahan luaran merupakan keindahan yang dicerap melalui pancaindera. Justeru, keindahan itulah yang mesti disampaikan kepada pembaca oleh karya sastera zaman klasik dengan cara-cara tersendiri, iaitu melalui keindahan luaran sebagai bentuk, isyarat dan petunjuk.

Makna Dalaman
Menurut V. I. Braginsky (1994), keindahan dalaman merupakan keindahan yang tersirat, iaitu tidak dinyatakan dan tidak dapat dirasakan tetapi yang dicerap akal. Keindahan dalaman itu memberi landasan pada keindahan didaktik.

MAKNA LUARAN DAN DALAMAN DALAM KARYA KESUSASTERAAN
Golongan karangan yang termasuk dalam sfera keindahan (luaran) merupakan peringkat pertama (paling rendah) dalam sistem kesusasteraan Melayu klasik. Golongan berkenaan merangkumi karya-karya yang bertujuan menanam harmoni dalam hati manusia dan dengan demikian mencipta syarat bagi mendidik budi bahasa pembaca. Karya-karya tersebut merupakan sejenis continuum. Hal ini disebabkan antara karya-karya itu, terdapat karangan bertulis yang sekali gus wujud dalam bentuk lisan (kalau dibacakan serta karya-karya teatrikal (untuk dipentaskan sebagai lakon wayang). Golongan berkenaan menampung hikayat yangmengakar dalam epos Sanskrit dan purana. Hikayat tersebut sampai ke dunia Melayu menerusi perantaraan Jawa (Hikayat Seri Rama, Hikayat Pendawa Jaya, Hikayat Sang Boma dan lain-lain). Cerita-cerita panji yang berasal daripada kesusasteraan Jawa mesti juga digolong dalam kumpulan karya peringkat pertama.

Sfera faedah (keindahan dalaman) yang merupakan peringkat kedua tertinggi dalam sistem kesusasteraan Melayu klasik terdiri daripada dua kumpulan genre pelbagai ‘cermin’ dan pelbagai ‘sejarah’. Menurut tradisi Islam, manusia ialah makhluk berakal sejak kelahirannya. Tetapi akalnya itu masih dalam potensi sahaja. Akal bagaikan lilin yang belum diberi rua. Pengetahuan yang meninggalkan bekas-bekasnya pada ‘lilin’ itu boleh membentuk manusia dalam dua cara. Manusia boleh dididik dan didewasakan sebagai makhluk sosial dengan perasaan dan fikiran halus, iaitu sebagai makhluk beradab atau sebagai peribadi yang dahagakan pengetahuan sistematik tentang pelbagai bidang alam semesta seperti ilmu ketuhanan.

Manusia yang beradab itu dididik oleh karangan yang merupakan cermin didaktik. Dalam kesusasteraan Melayu klasik, karangan yang merangkumi cermin-cermin itu sendiri merupakan sejenis buku pelajaran etika, kebijaksanaan hidup serta pengurusan negara (Taj as-Salatin, Bustan as-Salatin, nasihat-nasihat ringkas buat raja-raja yang biasanya ditulis dalam bentuk prosa dan kadang-kadang puisi). Di samping itu, genre cermin juga meliputi hikayat-hikayat berbingkai (Kalilah dan Daminah, Hikayat Bakhtiar dan Hikayat Bayan Budiman), antologi besar dan kecil yang bersifat didaktik serta syair-syair yang membincangkan soal etika, kadangkala dalam bentuk alegori.

Dalam sistem kesusasteraan Melayu klasik, sfera fungsional yang menduduki peringkat ketiga (yang tertinggi) bermatlamat untuk menyempurnakan rohani pembaca. Sfera penyempurnan rohani ini terdiri daripada karya agama dan tasawuf yang sering berhubung dengan konsep keindahan dalaman atau makna dalaman. Berlainan daripada karangan sfera keindahan luaran dan sfera faedah, karya-karya itu menunaikan tugasnya secara tidak langsung. Hanya rahmat Allah yang dilimpah kepada mereka yang dipilih-Nya dapat membuka hati nurani manusia dan menjadikan hati mampu memandang atau bermeditasi (memusyahada) haq terala. Dalam pada itu, hati nurani mesti sentiasa bersedia menerima kurnia itu. Oleh itu, kesusasteraan agama dan tasawuf mengukuhkan imam sambil menjelaskan kepadanya hukum syariat, usuluddin dan metafizika Islam, menggambarkan tahap-tahap pengenalan diri, memberi amaran tentang cara mengatasi bahaya tersebut.

Makna Luaran dan Dalaman dalam Hikayat Sejarah Melayu
Terdapat sepuluh makna luaran dan dalaman yang dijumpai dalam buku Hikayat Sejarah Melayu Abdul Rahman Haji Ismail (1998). Antaranya ialah:

“Maka ada seorang raja terlalu amat besar kerajaannya, setengah negeri Hindi dalam tangannya, Raja Kida Hindi namanya.”
(Sejarah Melayu, 1998: 67)

Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan mengenai adanya seorang raja yang mempunyai sebuah kerajaan yang amat besar dan setengah daripada negeri Hindi berada di dalam tangannya. Beliau bernama Raja Kida Hindi. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang ingin menyampaikan kepada pembaca bahawa Raja Kida Hindi mempunyai sebuah kerajaan yang amat besar dan luas. Separuh daripada negeri Hindi adalah berada di bawah kekuasaan dan taklukannya. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang menggambarkan bahawa kekuasaan Raja Kida Hindi adalah kuat dan kerajaan Hindi diibaratkan berada dalam genggaman tangannya.

Kita dapat melihat kebenaran hakiki dari aspek sfera fungsional apabila teks ini kita kaji melalui logik cerminan dan sejarah tamadun sesebuah masyarakat manusia. Melalui teks di atas, secara fungsionalnya masyarakat memerlukan pemerintah untuk mentadbir dan memerintah sesebuah kerajaan. Penguasaan seseorang pemerintah lazimnya bergantung kepada kecerdikan akalnya dan sokongan yang diberikan oleh rakyatnya. Sokongan daripada rakyat akan menyebabkan seseorang pemerintah itu menjadi semakin kuat. Lumrah kehidupan dalam sekelompok manusia memerlukan seseorang ketua atau pemimpin. Begitu juga sebaliknya, pemimpin memerlukan sokongan daripada orang bawahannya. Hal ini demikian dapat diibaratkan seperti perjalanan sebuah kapal di lautan yang memerlukan seorang nakhoda untuk mengemudi kapal tersebut supaya tidak tenggelam dan tersalah haluannya. Sesungguhnya, dalam perkara kecil sekalipun Islam ada menyuruh kita untuk memilih pemimpin. Rasulullah S.A.W ada bersabda:

“Apabila kamu keluar bermusafir tiga orang hendaklah kamu memilih seorang untuk menjadi ketua.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Seterusnya, makna dalaman dan luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sejarah Melayu (1998) pada halaman 67.

“Adapun akan Raja Kida Hindi itu ada beranak seorang perempuan, yakni seorang itu bariwati terlalu amat baik parasnya, tiada ada berbagai pada masa itu, cahaya mukanya gilang gemilang seperti cahaya matahari, dan terlalu amat bijaksana budinya puterinya, Syahrul Bariyah namanya.”
(Sejarah Melayu, 1998: 67)

Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan Raja Kida Hindi telah melahirkan seorang anak perempuan yang cantik, tiada tandingan dan bijaksana budi pekertinya yang bernama Syahrul Bariyah. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang ingin memberitahu pembaca bahawa Raja Kida Hindi mempunyai seorang anak perempuan yang cantik tiada bandingan dan bijaksana budi pekertinya yang bernama Syahrul Bariyah. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang menggambarkan kecantikan dan kebijaksanaan anak perempuan Raja Kida Hindi yang tiada tandingannya pada ketika itu.

Melalui teks di atas, secara fungsional atau kebenaran hakikinya, seseorang lelaki tidak mungkin melahirkan zuriat keturunan. Hak melahirkan adalah terletak pada wanita. Hak ini telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Namun demikian, benih seseorang lelaki adalah diperlukan untuk wanita mengandung dan melahirkan seseorang zuriat keturunan. Oleh hal yang demikian manusia telah diciptakan oleh Allah S.W.T untuk hidup berpasang-pasangan seperti firman Allah S.W.T dalam surah Adz-Dzariyaat, ayat 49 yang bermaksud:

“Dan segala sesuatu kami jadikan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingat kebesaran Allah.”
(Surah Adz-Dzariyaat: 49)
Makna luaran dan dalaman dalam Hikayat Sejarah Melayu (1998) juga boleh dilihat pada halaman 71, iaitu:
Maka Tuan Puteri Syahrul Bariyah pun memberi tahu ayahnya Raja Kida Hindi, katanya, “Ketahuilah oleh ayahanda, bahawa hamba dua bulanlah sekarang tiada haid”.
(Sejarah Melayu, 1998:71)

Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan Tuan Puteri Syahrul Bariyah hanya sekadar memberitahu ayahandanya bahawa dia tidak datang bulan atau haid selama dua bulan. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang menceritakan bahawa Tuan Puteri Syahrul Bariah ingin memberitahu ayahandanya bahawa dia sudah mengandung dua bulan. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang menggambarkan usia kandungan Puteri Syahrul Bariah dengan tempohnya tidak datang bulan. Unsur bahasa yang sopan dan lembut telah digunakan oleh pengarang.

Melalui teks di atas, secara fungsional atau kebenaran hakikinya, seseorang wanita atau perempuan diberikan hak keistimewaan oleh Allah S.W.T untuk mengandung dan melahirkan zuriat. Keistimewaan ini tidak terdapat pada seorang lelaki. Seseorang wanita akan melahirkan zuriat atau keturunan seseorang lelaki. Oleh hal yang demikian, bagi menjamin zuriat keturunan yang baik, seseorang lelaki haruslah memilih pasangan yang baik akhlaknya, keturunannya serta agamanya. Hal ini demikian bertepatan dengan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang menyatakan “wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana garis keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya”. Namun demikian, tanggungjawab membesarkan anak-anak adalah terletak pada tangan kedua-dua belah pihak.

Seterusnya, makna dalaman dan luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sejarah Melayu (1998) pada halaman 71 hingga 72.

Maka cucunda baginda Raja Arisytun Syah kerajaan dalam negeri Hindi, menggantikan kerajaan nenenda baginda; umur baginda di atas kerajaan tiga ratus lima puluh lima tahun, maka Raja Arisytun Syah pun berpindahlah dari negeri yang fana ke negeri yang baqa.
(Sejarah Melayu, 1998: 71-72)

Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran bahawa pengarang menceritakan Raja Arisytun Syah berpindah dari satu negeri (negeri fana) ke negeri yang lain (negeri baqa) setelah 355 tahun memerintah kerajaan dalam negeri Hindi. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang memaksudkan bahawa Raja Arisytun Syah telah meninggal dunia (beralih dari dunia kehidupan ke dunia kematian) setelah 355 tahun memerintah kerajaan dalam negeri Hindi. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang menggambarkan pemergian atau kematian Raja Arisytun Syah secara berkias.

Sfera fungsional atau kebenaran hakiki teks di atas dapat kita lihat melalui hakikat kehidupan seseorang manusia yang pada akhirnya akan kembali kepada pencipta-Nya. Lumrah kejadian manusia setiap yang hidup pasti akan mati telah ditentukan oleh Allah S.W.T sejak azali lagi. Hal ini demikian bertepatan dengan surah an-Nisa’:

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sudah sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.”
(Surah an-Nisa’: 78)

Seterusnya, makna dalaman dan luaran ini juga boleh dilihat dalam Hikayat Sejarah Melayu (1998) pada halaman 72.

Kamudian daripada itu, maka Raja Ardasirbikan, anak Raja Kudraz Kuhan pula naik raja, maka baginda beristerikan anak Raja Nusyirwan ‘Adil, raja masyrik maghrib.
(Sejarah Melayu, 1998: 72)

Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran pengarang menceritakan bahawa Raja Ardasirbikan, iaitu anak kepada Raja Kudraz Kuhan telah naik ke atas raja dan memperisterikan anak Raja Nusyirwan ‘Adil. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang ingin memberitahu pembaca bahawa Raja Ardasirbikan, iaitu anak kepada Raja Kudraz Kuhan telah ditabalkan menaiki takhta raja dan telah memperisterikan anak Raja Nusyirwan’ Adil. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang menceritakan mengenai kenaikan pangkat Raja Ardasirbikan sebagai Raja.

Secara fungsional atau kebenaran hakikinya, dalam sistem pemerintahan beraja di Tanah Melayu pada zaman dahulu kala sering menggunakan sistem pewarisan dalam menggantikan takhta seseorang raja. Anak raja yang sulung akan dilantik menggantikan takhta ayahandanya mengikut jurai keturunan masing-masing. Namun demikian, bagi anak raja yang berstatus bukan anak gahara (bukan anak yang betul-betul daripada raja dan permaisurinya) adalah tidak layak menggantikan atau mewarisi takhta ayahandanya walaupun beliau merupakan anak sulung dalam jurai keturunan tersebut.

Makna luaran dan dalaman dalam Hikayat Sejarah Melayu juga boleh dilihat pada halaman 100 hingga 101, iaitu:

Maka baginda Seri Rana Wikrama pun keluar diadap orang, maka pahlawan Keling itu pun mengadap. Maka disuruh raja bermainlah dengan Badang, maka barang mainnya tewas juga pahlawan Keling itu oleh Badang.
(Sejarah Melayu, 1998: 100-101
)
Dalam ayat di atas, kita dapat lihat secara luaran pengarang menceritakan bahawa baginda Seri Rana Wikrama menyuruh Keling bermain dengan Badang. Namun demikian, secara dalamannya, pengarang ingin memberitahu pembaca bahawa baginda Seri Rana Wikrama menitahkan Keling berlawan dengan Badang dan pahlawan Keling telah tewas dalam pertarungan tersebut. Jadi, jelaslah di sini bahawa secara tersirat atau dalamannya, pengarang sebenarnya menceritakan mengenai pertarungan antara Keling dan Badang.

Berdasarkan teks di atas, secara fungsional atau kebenaran hakikinya, seseorang pahlawan sering dikaitkan dengan gelanggang atau perlawanan. Pada zaman dahulu, pahlawan lazimnya akan beradu tenaga dalam sesebuah gelanggang di hadapan Sultan atau Raja untuk menunjukkan keberanian, kegagahan dan kekuatan serta kehebatan masing-masing. Lumrah kehidupan masyarakat, terutamanya masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala yang akan memandang tinggi terhadap pahlawan yang perkasa dan gagah berani di gelanggang pertempuran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan