KARYA
AGUNG ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran,
pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu
bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan
tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta
bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita
mengenal tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui
karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman
dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang
besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau
dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan
warisan bangsa hingga ke zaman ini.
KARYA
AGUNG MELAYU ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman,
penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme,
nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan
masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga
kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif
bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan
diwataki oleh tradisi sastera ini.
Karya
Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan
(pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak
mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada
orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang
Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya
itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di
manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk
dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan,
falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun.
KARYA
AGUNG DUNIA MELAYU dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang
terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang
lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam
bangsa berkenaan sebagai karya agung, antaranyaNagarakertagama atau Serat
Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang
ditulis dalam bahasa Bugis. Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan
takrif Yayasan, boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan
ke dalam rancangan Yayasaan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam
bahasa Melayu melalui terjemahan.
Karya-karya
ini melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan
identitinya yang tersendiri. Karya agung dapat membuatkan kita mengenali dan
mengetahui sejarah dan kehebatan tamadun-tamadun dunia seperti
tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain.
Melalui penghasilan karya seni, pemikiran, falsafah, sastera yang dicetuskan
oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka mampu
meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman. Hasil kepengarangan
ini dipelajari, dijadikan panduan, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan
berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman
ini.
Karya
–karya agung sudah pasti merupakan karya yang berpengaruh yang
sekurang-kurangnya membuat orang berhenti dan berfikir tentang diri mereka,
tentang lingkungannya dan alam kehidupan keseluruhannya. Karya-karya agung
ialah karya yang mengusik ketenangan dan menyedarkan kita. Lebih penting lagi,
karya agung mengajak kita untuk mengenal dan memahami tradisi atau tamadun
bangsa yang dipancarkan melalui karya agung itu. Dalam semua tradisi bangsa dan
agama, karya agung merupakan “representatif” pada kehebatan sesuatu tradisi.
Dalam tradisi Islam misalnya, ada Ihya’ Ulumuddin , tradisi Hindu dengan
Bhagavaddita, dan tradisi Kristian dengan Summa Teologica. Dalam tradisi bangsa
pula, bangsa Farsi memiliki Shahnameh, bangsa Eropah pula dengan Divine Comedy
dan karya-karya William Shakespeare.
Dalam
karya agung, terkandung pelbagai rencah kehidupan yang berkait dengan hidup
manusia. Penceritaan dalam karya agung melibatkan unsur emosi, penderitaan,
tangisan, kesengsaraan, pengajaran, maklumat dan sebagainya. Pembaca dapat
menyelusuri segala aspek ini apabila membaca karya agung. Penulis juga membawa
kita mengalami pengalaman orang lain di dalam sesuatu karya agung.
Karya
agung Melayu ialah karya yang dapat melambangkan keunggulan daya cipta seniman,
penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealism,
nilai, pandangan hidup, adat, budi, dan kesedaran moral dan visi bangsa dan
masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga
kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif
bangsa Melayu. Pelbagai persoalan kehidupan dan masyarakat terangkum indah
dalam sesuatu karya.
Karya
agung Melayu juga bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau
dilisankan dalam bentuk pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain dalam bahasa
Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu
ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu,d atau orang Melayu
Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang
menghasilkan karya itu. Persoalan sempadan geografi dan etnik tidak timbul,
tidak kira di manakah daerah asalnya di dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan
dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan
kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun menurun.
Buku
Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan (2000) yang
mengutarakan perbahasan dan pengertian tentang karya agung Melayu telah
mentakrifkan karya agung sebagai karya yang berjaya meninggalkan kesan seni,
budaya dan pemikiran yang luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa.
Karya itu dianggap sebagai warisan bangsa dalam erti kata ia mewakili minda dan
pengalaman bersama (kolektif) bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang
dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi atau konsep ilmu,
adat, bahasa, seni dan pekerti, budaya dan sosial yang membentuk citra atau
identiti ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya agung
Melayu.
Malah
terdapat karya agung Melayu tradisional yang dijadikan penetapan penentuan
karya agung Melayu yang dianggap sebagai hasil kreativiti seni persuratan dan
penceritaan, dan sebagai pembentuk tradisi atau tamadun bangsa sehingga
kesannya kekal dalam kesedaran kebangsaan bangsa Melayu sepanjang zaman. Untuk
itu, beberapa karya kesusasteraan Melayu tradisional diterbitkan dalam edisi
mewah yang menepati ciri-ciri karya agung seperti Sulalat-al-Salatin, Hikayat
Merong Mahawangsa, Tuhfat-al-Nafis dan Hikayat Hang Tuah. Ciri-ciri yang
dimaksudkan adalah lambang atau pesanan yang disampaikan oleh karya itu iaitu
nilai seni budaya dan falsafah atau pandangan hidup bangsa, nilai ilmu iaitu
teknik kepengarangan dan seni bahasa. Semua karya ini memperlihatkan tahap keunggulan
kreativiti, seni persuratan dan nilai budaya tinggi.
Konsep
Karya Agung ini dapat dilihat melalui karya Hikayat Hang Tuah. Hikayat
Hang Tuah merupakan salah satu karya agung Melayu yang amat berpengaruh.Hikayat
ini merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita, kebolehan, dan
sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui
hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan
bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan
budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta
pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka
pada abad ke-15. Laksamana Hang Tuah ialah seorang yang berhati waja, berani, gagah,
taat dan bijaksana. Walaupun berbeza-beza corak penceritaan, kepahlawanan Hang
Tuah tetap ada dan sering menjadi simbol kekuatan masyarakat Melayu.
Dari
sudut falsafah pula, Hang Tuah diibaratkan sebagai nadi kekuatan yang menjadi
pujaan masyarakat terutamanya Melayu kerana keberanian dan budi pekerti yang
ditunjukkan. Sepertimana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, penonjolan Hang
Tuah sebagai seorang yang kuat, gagah serta berani merupakan satu makna
falsafah yang sengaja ditonjolkan oleh penulis sebagai salah satu lambang
kekuatan kepada masyarakat Melayu itu sendiri. Sebenarnya, dalam Hikayat Hang
Tuah, perlambangan Hang Tuah itu sendiri merupakan satu falsafah yang telah
digerakkan dengan pelbagai keistimewaan yang tersendiri dan memiliki pelbagai
kelebihan. Segala tindak tanduk Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah memiliki
makna yang tersendiri serta yang tersirat.
Selain
itu, Hikayat Hang Tuah banyak menceritakan kebudayaan dan sosial masyarakat
Melayu yang membawa satu pengertian yang luas merangkumi segala hal berkaitan
dengan masyarakat termasuk sistem sosial, struktur sosial, bentuk
kepercayaan, perhubungan antara anggota masyarakat dan strategi fikasi sosial,
kepercayaan dan agama juga merupakan dua aspek sosial yang menjadi pegangan
masyarakat. Masyarakat pada masa itu menganuti agama Islam dan mengamalkan dua
bentuk kepercayaan [bukan agama] iaitu berunsurkan animisme dan Hindu-Buddha.
Jelas, betapa pengarang hikayat ini mempunyai idealisme untuk
mengangkat martabat bangsa Melayu setinggi mungkin. Perkara inilah yang
dikatakan bahawa karya agung ini melambangkan keunggulan daya cipta seniman,
penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan
idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi,kesedaran moral dan visi bangsa
dan masyarakatnya.
SUMBER
SUMBER
http://karyaagungmelayukumpulanb.blogspot.com/2013/05/konsepkarya-agung-karyaagung-merupakan.html









Tiada ulasan:
Catat Ulasan