Isnin, 1 Disember 2014

CONTOH KARYA AGUNG



SULALATUS SALATIN  

    
           

Sulalatus Salatin merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zama Kesultanan Melayu Melaka. Sulalatus Salatin mengandungi lima belas bab iaitu bab pertama dan kedua menceritakan mengenai sejarah asal usul raja-raja Melayu, bab ketiga dan keempat, mengenai sejarah Singapura, bab empat sehingga bab empat belas membincangkan tentang sejarah kerajaan Melaka dan bab lima belas mengenai kerajaan Melayu di Johor dan menguasai semula Melaka. 
Sulalatus Salatin menceritakan mengenai asal usul raja Melayu serta menceritakan mengenai kerajaan Melayu sehingga kedatangan Portugis. Sulalatus Salatin ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertama lebih kepada unsur mitos dan dongeng dan menceritakan mengenai asal usul raja-raja Melayu yang dikatakan berasal daripada keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Ianya mengisahkan perkahwinan antara Raja Suran yang masuk ke dalam laut dan telah mengahwini Puteri daripada negeri Bahsam yang bernama Puteri Mahtabul. Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan tiga orang putera yang diberi nama Nila Utama, Nila Pahlawan dan Kerisyna Pandita. Ketiga-tiga putera ini telah turun di Bukit Siguntang dengan penuh gemilang apabila mereka turun si sebuah kawasan padi sawah yang dimiliki oleh Wan Malini dan Wan Empuk. Wan Malini dan Wan Empuk telah berkahwin dengan Nila Pahlawan dan Kerisyna Pandita. Manakala, Nilai Utama telah berkahwin dengan anak Demang Lebar Daun. 
Pembukaan negeri Singapura oleh Nilai Utama banyak berunsurkan mitos misalnya penemuan binatang yang lalu dihadapan Demang Lebar Daun yang sungguh tangkas dan menamakan binatang tersebut singa. Maka dari nama Temasik berubah kepada nama Singapura. Cara pemerintahan raja-raja Melayu turut diceritakan dalam Sulalatus Salatin iaitu mengenai kelima-lima pemerintah Singapura berdasarkan unsur-unsur lagenda yang berkait rapat dengan kegagahan dan kekuatan pemerintah tersebut. Raja Iskandar Syah telah diserang oleh orang Majapahit dan menyebabkan baginda terpaksa melarikan diri ke Melaka lalu membuka kerajaan Melaka.
Selain itu, pelbagai mitos mengenai pembukaan Samudera-Pasai yang berkaitan dengan penemuan seekor semut besar. Dalam penceritaan mengenai pembukaan negeri Samudera –Pasai juga dikaitkan dengan kedatangan Islam ke Alam Melayu apabila Merah Silu yang bermimpi berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W dan mengajar Merah Silu mengucapkan dua kalimah syahadat. Selepas daripada peristiwa tersebut, baginda telah menukarkan namanya kepada Sultan Malikul Salleh. 
Sulalatus Salatin juga mengisahkan zaman kegemilangan dan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis apabila angkatan Feringgi yang dianggotai oleh Alfonso d’albuquerque menyerang Melaka dan menyebabkan Sultan Mahmud yang memerintah Melaka pada ketika itu melarikan diri ke negeri Pahang. Disebabkan hal tersebut, perlantikan Tun Seri Lanang sebagai Bendahara Diraja oleh Sultan Abdullah Ma’ayah Syah untuk mencatat salasilah sultan-sultan atau peraturan segala raja-raja. 

HIKAYAT HANG TUAH

 

Hikayat Hang Tuah adalah sebuah epik yang sangat popular dan tersohor. Hikayat ini menceritakan satu-satunya wira Melayu yang tidak ada tolok bandingnya. Hikayat ini menceritakan zaman permulaan, zaman kegemilangan dan zaman kejatuhan yang ditempuhi oleh bangsa Melayu. Tokoh Hang Tuah mewakili bangsa Melayu. Hikayat Hang Tuah menggambarkan kegagahan perwira-perwira Melayu yang berjaya mengalahkan setiap musuhnya. 

            Bahagian awal dalam Hikayat Hang Tuah menceritakan kisah Hang Tuah yang dikaitkan dengan zaman awal kerajaan Melayu Melaka. Kisah ini dimulai dengan memperkenalkan asal usul raja Bentan yang dikatakan berasal daripada Palembang. Kisah Hang Tuah sewaktu kecil, mengenai keluarganya berpindah dari Sungai Duyung ke Bintan. Kisah-kisah Hang Tuah bersama lima orang sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Sejak berumur 10 tahun lagi Hang Tuah telah menunjukkan kelebihan dan keberanian beliau. Hang Tuah bersama-sama rakannya berjaya mengalahkan lanun, berusaha pergi berburu dan berjaya menyelamatkan seorang pembesar negeri daripada amukan orang mengamuk dengan menggunakan sebilah kapak. Bendahara yang diselamatkan oleh Hang Tuah amat tertarik dengan sifat-sifat keberanian yang ada pada Hang Tuah, lalu memberitahu Sultan. Hang Tuah telah diambil bertugas di istana. 

Dalam Hikayat Hang Tuah juga diceritakan bagaimana Hang Tuah turut melihat peristiwa ganjil sewaktu Raja Bentan berburu di mana anjing perburuan raja telah ditendang oleh seekor pelanduk putih. Tempat berlaku kejadian aneh itu telah dibuka dan dijadikan negeri yang diberi nama Melaka. Hang Tuah juga turut berada di sisi raja ketika berlakunya peristiwa itu. 

Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dikaitkan dengan ketokohan dan kepahlawanan Hang Tuah. Hang Tuah memiliki kedudukan penting dan istimewa di istana Melaka. Hang Tuah sebagai pahawan Melaka memberikan sepenuh taat setia dan patuh kepada segala perintah raja. Kegagahan Hang Tuah menyebabkan beliau begitu terkenal sebagai pahlawan Melaka yang terbilang. Banyak negeri telah ditakhluki dan menjadi tanah jajahan serta tunduk di bawah kekuasaan raja Melaka. Hang Tuah juga sebagai pengiring raja yang taat dan berani. Beliau juga pernah mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit. Hang Tuah berjaya mempertahankan martabat Raja Melaka, juga menambahkan kedaulatan negeri Melaka dimata negeri lain. 

Melaka berjaya mencapai puncak kebesaran dan kekuasaannya hasil daripada keberanian dan ketokohan Hang Tuah. Ramai musuh-musuh yang cuba menganiayainya namun mereka berjaya dibunuh oleh beliau. Hang Tuah telah mendapat gelaran Laksamana. Hang Tuah juga telah dilantik sebagai diplomat dan utusan Melaka ke luar negeri seperti utusan ke Siam, China, Benua Keling, Rome, Sailan dan juga ketua angkatan perang. Sifat-sifat Hnag Tuah yang sabar, bijaksana dan warak telah berjaya membawa kegemilangan kepada kerajaan Melaka. Sifat Hang Tuah yang tiada tolok bandingnya ialah kesetiaan dan ketaatan kepada rajanya. Hal ini dapat dilihat sungguhpun sultan telah berlaku ketidakadilan pada dirinya dengan menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa, disebabkan fitnah, (Hang Tuah berjaya diselamatkan oleh Bendahara) tetapi apabila ia dipanggil oleh sultan bagi menghapuskan perbuatan derhaka Hang Jebat, beliau bersedia berkhidmat kepada sultan tanpa menaruh perasaan dendam. Malah beliau  sanggup membunuh sahabat baiknya sendiri walaupun Hang Jebat menderhaka kepada sultan kerana menuntut bela di atas kematiannya. Bagi Hang Tuah Pantang Melayu menderhaka kepada rajanya. Hang Tuah juga bersedia menjalankan tugas membawa lari anak Bendahara Pahang iaitu Tun Teja bagi mempersembahkan kepada Sultan Melaka. Hang Tuah tidak mudah dikalahkan selagi ia memiliki keris Taming Sari. 

Kegemilangan dan kekuatan Hang Tuah semakin beransur pudar setelah Hang Tuah semakin tua. Hal ini juga dikaitkan dengan kemunduran kerajaan Melayu Melaka. Dalam Hikayat Hang Tuah, kemunduran Melaka kali pertamanya dikaitkan dengan kisah Sultan Melaka yang kehilangan Mahkotanya. Mahkota itu adalah tanda kebesaran kerajaan Melaka. Ketika peristiwa itu berlaku, baginda sedang bermain di laut Singapura, baginda menundukkan kepalanya apabila melihat seekor ikan emas yang dikatakan berada di bawah perahunya. Ketika itulah mahkota pusaka Bukit Siguntang telah terjatuh ke dalam laut. Hang Tuah turut menyelam dan berhasil mengambilnya, namun ketika hampir sampai di perahu, tiba-tiba datang seekor buaya putih menyambar keris daripada pinggang Hang Tuah menyebabkan mahkota raja pun terlepas dari tangannya. Keris Taming Sari yang dimiliki oleh Hang Tuah telah dirampas oleh buaya putih tersebut. Sejak itulah Hang Tuah telah hilang kekuatan dan kegagahannya. Selepas berlaku peristiwa itu, sultan amat sedih sekali. Beberapa lama kemudian, Feringgi datang menyerang Melaka. Sultan tetpaksa berundur dan Hang Tuah telah meninggalkan kehidupannya di dunia dengan hidup bertapa di gunung.

HIKAYAT ABDULLAH


Hikayat Abdullah merupakan suatu penceritaan yang menggambarkan kehidupan penduduk negeri Melaka. Keadaan ini berlaku dalam tahun 1800 sehingga tahun 1840-an. Hikayat Abdullah merupakan sebuah karya yang memperihalkan pengalaman serta kisah hidup sebenar Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi sejak beliau dilahirkan sehinggalah beliau meninggal dunia. Catatan mengenai peristiwa yang berlaku dalam hidup Abdullah Munsyi juga telah diabadikan di atas naskhah cap batu dan tulisan Jawi di Singapura pada Mac 1949. 
 
Beliau juga mencatatkan tentang pelayaran ke Singapura dalam Hikayat Abdullah serta mengkritik suasana sosial yang bersifat negatif pada ketika itu. Kritikan yang disampaikan oleh Abdullah turut mejurus kepada sikap pemerintah yang mementingkan diri sendiri dan mudah terperdaya dengan pujukan penjajah serta sikap orang Melayu itu sendiri yang tidak mahu mengubah cara kehidupan mereka supaya menjadi lebih baik. Kritikan tersebut menyebabkan Abdullah digelar sebagai Abdullah Paderi oleh orang Melayu. Gelaran tersebut juga timbul disebabkan Abdullah sering membantu orang putih. Sebagai contoh, beliau ditugaskan untuk menyalin semula dan membaikpulih terjemahan Kitab Injil ke dalam bahasa Melayu yang bertulisan Jawi. Abdullah juga turut mengkritik golongan penjajah dengan menyatakan bahawa golongan tersebut hanya tahu mengambil kesempatan di atas kelemahan orang Melayu.



TUHFAT AL-NAFIS


Tuhfat al- Nafis menceritakan sejarah kerajaan Riau-Lingga iaitu sebuah kerjaan Melayu yang paling kompleks dan canggih. Dari segi kronologi, latar peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-19.  Dari segi geografi, Tuhfat Al-Nafis meliputi peristiwa di kalangan semua kerajaan Melayu di Semenjung Melayu dan Kepulauan Riau-Lingga (termasuk Singapura), di Siak (Sumatera Timur), di Kalimantan Barat, di Sulawesi Selatan, dan

 di Betawi.
 

HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA



  
Hikayat Merong Mahawangsa tergolong dalam genre kesusasteraan sejarah Melayu tradisional dan tertulis dengan mematuhi struktur penulisan pensejarahan tradisional seperti yang dapat dikesan pada penulisan Hikayat Pasai, Hikayat Aceh, Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Banjar dan pelbagai hasil penulisan sejarah tradisional Melayu yang lain. 

            Hikayat ini mengambil judulnya daripada nama seorang raja yang berasal dari Rom yang dipercayai melahirkan dinasti Mahawangsa yang menjadi sumber keturunan raja-raja yang membuka sebuah negeri bernama Langkasuka yang kemudiannya lebih dikenali sebagai negeri Kedah Zamin Turan. 

            Penulisan hikayat ini menggembleng ketiga-tiga unsur tempatan, unsur Hindu dan Islam dan ternyata cerita asal usul negeri Kedah ini dikarang selepas negeri itu memeluk agama Islam. Pengarangnya, seorang pujangga istana Kedah, amat setia pada struktur pensejarahan tradisional Melayu kerana memulakan ceritanya dengan mengemukakan asal usul rajanya, peristiwa yang menyebabkan raja itu memulakan pelayarannya, pembuka negeri, jurai keturunan daripada raja yang pertama kepada yang terakhir (semasa penyalinan terakhir dilaksanakan), kisah pengislaman dan beberapa peristiwa yang ingin disampaikan oleh pengarang berkaitan sejarah negeri Kedah mengikut penilaian dan kaca mata masyarakat sezaman. 

            Bahagian awal cerita Hikayat Merong Mahawangsa mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berlandaskan mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai masyarakatnya sama ada bersifat tempatan, bersifa Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian inilah hikayat Merong Mahawangsa menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong Mahawangsa, iaitu seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom tetapi juga menjadi pembesar kepercayaannya. Dalam pelayaran menuju ke Negeri China, angkatan yang mengiringi Putera Raja Rom diserang dan dimusnahkan oleh geroda yang telah bersumpah di hadapan Nabi Allah Sulaiman bahawa ia akan menghalang Raja Rom daripada memperlihatkan kebesarannya dengan berbesan dengan Raja China. Sementara Putera Raja Rom dipertemukan dengan puteri China di Pulau Langkapuri melalui usaha geroda sendiri, Raja Merong Mahawangsa diterima sebagai Raja Langkasuka. Baginda hanya meninggalkan negeri itu kepada puteranya, Raja Merong Mahapudisat, setelah puteranya dewasa dan layak memerintah negeri. Raja Merong Mahapudisat memenuhi pesanan ayahandanya dengan mengarahkan putera sulungnya membuka negeri Siam; putera kedua membuka negeri Perak; anakandanya yang ketiga iaitu seorang puteri membuka negeri Patani sementara puteranya yang bongsu tinggal bersamanya di Kedah dan menggantikan ayahandanya setelah baginda mangkat dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. 

              Oleh: Dato' Profesor Dr. Siti Hawa Hj Salleh

Sumber: 

Abdullah Munsyi (2004). Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur: Dewan       Bahasa dan Pustaka.
A. Samad  Ahmad (1979). Sulalatus Salatin: Sejarah            Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
http://karyaagung3022.blogspot.com/2013/05/contoh-karya-agung.html
Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Raja Haji Ahmad & Raja Ali Haji (1982). Tuhfat Al-Nafis. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan