ABDULLAH MUNSYI
Latar
belakang
Nama
sebenar Munsyi Abdullah ialah Abdullah bin Abdul Kadir. Beliau dilahirkan pada
1796 di Kampung Masjid atau Kampung Masjid Keling yang juga dikenali sebagai
Kampung Pali pada waktu itu. Abdullah mempunyai empat orang adik-beradik tetapi
ketiga-tiga abangnya telah meninggal dunia ketika kecil berusia antara satu
hingga tiga tahun. Ibu Abdullah selalu menangis dan berasa susah hati
sehinggakan sampai ke pengetahuan seorang guru agama yang bernama Habib
Abdullah. Beliau menasihati ibu Abdullah supaya berhenti menangis dan jika
dikurniakan anak lelaki lagi, maka diberikan nama Abdullah bagi mengambil
berkat daripada nama beliau.
Abdullah
menyatakan asal usul keturunannya bermula daripada seorang pemuda Arab Yaman,
suku Uthmani yang bernama Syeikh Abdul Kadir. Syeikh Abdul Kadir telah
mengembara dari Tanah Arab ke Bandar Nagor di India. Beliau bekerja sebagai
guru agama dan bahasa. Beliau telah berkahwin dengan gadis tempatan dan menetap
di tanah asing itu. Mereka telah dikurniakan empat orang anak dan salah seorang
merupakan datuk Abdullah yang bernama Muhammad Ibrahim. Muhammad Ibrahim telah
mengembara sehingga ke Melaka apabila Syeikh Abdul Kadir meninggal
dunia. Beliau juga telah berkahwin di Melaka dengan gadis bernama
Peri Achi mungkin berketurunan India-Islam dan mendapat anak yang salah
seorangnya ialah ayah Abdullah, iaitu Abdul Kadir sempena nama ayah beliau.
Abdul
Kadir sangat tegas dengan anaknya terutama dalam pelajaran. Setiap malam bapa
Abdullah akan mendera beliau supaya menyambung pelajaran atau membuat kerja
rumah. Hasil didikan itu menyebabkan Abdullah menjadi pintar dan kreatif
berbanding kanak-kanak lain. Abdullah dikatakan cepat matang dan memiliki sikap
berdikari kerana pada usia yang masih kanak-kanak lagi, beliau sudah menjual
layang-layang, melukis, menulis surat, dan menyalin al-Quran untuk mendapatkan
wang. Abdullah juga sangat rajin menuntut ilmu. Dia tidak kisah belajar dengan
sesiapa asalkan dapat mempelajari ilmu baru. Bidang yang paling digemarinya
ialah bidang bahasa dengan meluaskan pengetahuan mengenai kata dari aspek
simpulan, ikatan, rangkai kata, kuasa, tujuan, dan ilmu bahasa. Beliau juga
turut mempelajari bahasa Tamil, Arab, dan Inggeris selain bahasa Melayu untuk
memudahkan proses berkomunikasi dengan bangsa lain.
Abdullah
menerima gelaran “munsyi” yang bermaksud guru ketika berumur 11 tahun kerana
kepintarannya dan mempunyai banyak ilmu. Beliau juga menjadi guru dan mengajar
pelajaran agama kepada askar Islam Melaka. Golongan askar tersebut atau
dikenali sebagai Supai atau ‘sepoy’ dalam bahasa Inggeris yang telah memberikan
gelaran “munsyi”. Mereka merupakan anggota tentera berbangsa India yang diambil
berkhidmat dengan tentera Inggeris di India. Panggilan “munsyi” digunakan oleh
Abdullah di hujung nama beliau dan gelaran tersebut menjadi sebahagiaan
daripada nama penuh beliau sehingga kini. Abdullah meninggal dunia pada tahun
1854 berusia 58 tahun ketika dalam perjalanan ke Mekkah. Ketika itu,
beliau ingin menunaikan fardhu haji pada 19 Januari 1854. Sepanjang perjalanan itu,
Abdullah mencatat pengalamannya tetapi terhenti apabila beliau meninggal dunia
semasa berada di Mekkah. Hasil tulisan Abdullah itu tetap dicetak walaupun
tidak dapat disiapkan dengan diberi tajuk “Kisah pelayaran Abdullah ke Jeddah”
yang diterbitkan oleh Balai Pustaka, Jakarta pada 1920.
Sumbangan
dan Peranan
Abdullah
seorang yang sangat berkebolehan dan bijak. Abdullah banyak memainkan peranan
dan memikul tanggungjawab seperti telah dilantik sebagai jurutulis dan
penterjemah ketika Stamford Raffles membuat lawatan ke Melaka kali ketiga.
Beliau bekerja di kediaman Raffles Bandar Hilir, Melaka. Tugas yang lakukan
sebagai jurutulis Raffles antaranya menyalin hikayat, menulis surat kiriman,
menulis tentang bahasa Melayu, syair, dan sebagainya. Sikap rajin dan dedikasi
yang ditunjukkan oleh Abdullah membuatkan Raffles menyenanginya dan berasa
hormat dalam kalangan Inggeris terhadap anak watan itu. Bagaimanapun,
persahabatan itu terputus apabila Raffles berpindah ke Betawi.
Ketika
usianya 27 tahun, Abdullah telah mengajar Bahasa Melayu kepada Paderi Milne
tetapi pada masa yang sama Paderi Milne bersetuju menerima Abdullah belajar
bahasa Inggeris. Selain menjadi seorang guru kepada orang Inggeris, Abdullah
turut mencetak buku dan risalah. Abdullah juga telah mengajar seorang lagi
Inggeris yang bernama C.H.Thomson ketika dia datang ke Melaka pada bulan
September 1815 selepas Abdullah mula belajar dan mengajar di rumah Paderi
Milne. Walaupun Paderi Thomson pernah belajar bahasa Melayu di Jawa, dia tetap
mahu menguasai lagi bidang nahu dan penulisan bahasa Melayu. Abdullah bersetuju
untuk mengajar Paderi Thomson bahasa Melayu setelah berbincang dengan Paderi
Milne dan memperuntukkan masa yang lebih berbanding Paderi Milne. Hal ini
demikian dapat dilihat bahawa orang Inggeris berminat untuk mempelajari bahasa
Melayu dan menunjukkan penyebaran penggunaan bahasa Melayu di seluruh dunia.
Kehebatan anak Melayu juga terserlah apabila mampu bekerjasama dengan orang
Inggeris.
Selain
itu, pada tahun 1815, peralatan percetakan telah digunakan di kediaman Paderi
Milne. Percetakan lebih giat dilakukan selepas peralatan percetakan seperti
pengecap buku dan surat, dan pembentuk huruf-huruf jawi di bawa masuk. Abdullah
telah menggunakan peralatan baru itu untuk membuat huruf-huruf, mengaturnya,
dan mencetak buku serta surat. Dengan bantuan Abdullah, Aglo-Chinese
College(ACC) telah mengeluarkan terjemahan buku matematik untuk anak-anak
Melayu. Buku-buku perbualan dalam bahasa Melayu untuk tujuan berkomunikasi dan
majalah turut diterbitkan. Berdasarkan rekod sejarah, majalah “Bustan Ariffin”
telah diterbitkan di dalam dwi-bahasa, Inggeris-Melayu tiga bulan sekali.
Bagaimanapun, penerbitan majalah tersebut hanya mampu bertahan selama dua tahun
sahaja .
Apabila
Singapura dibuka, Abdullah telah berpindah di sana dan menjadi jurutulis serta
jurubahasa Raffles. Di Singapura, beliau tetap meneruskan kerja-kerja utamanya
seperti di Anglo-Chinese College di Melaka, iaitu sebagai jurucetak, jurubahasa
dan mengajar bahasa Melayu kepada pedagang-pedagang yang berada di Singapura.
Beliau juga bertanggungjawab menulis undang-undang Singapura atas arahan
Raffles. Abdullah juga diberi tugas untuk mengumpul bahan sastera Melayu lama
seperti kitab, hikayat dan syair untuk Raffles membawa pulang bahan itu ke
England. Seorang Inggeris yang bernama Newbold telah mengarahkan Abdullah
mengkaji dan menulis adat Cina dan masyarakat Jakun dalam bahasa Inggeris
apabila Abdullah kembali ke Melaka. Tugas itu telah membawa Abdullah mengembara
ke Gunung Pancur bagi melihat dan mengkaji budaya hidup masyarakat Jakun di
sana.
Pemikiran Abdullah
Munsyi
Kebanyakkan
hasil penulisan yang ditulis oleh Abdullah ini ialah berdasarkan pengalaman
hidup yang pernah dilaluinya dan hal-hal realiti. Antara hasil karya yang telah
ditulis ialah Kisah Pelayaran Abdullah (1838 ketika beliau sedang
mengembara ke Pahang, Terengganu, dan Kelantan., karya Hikayat
Abdullah (1849) tentang perjalanan hidupnya, karya Kisah Pelayaran
Abdullah ke Jeddah (1920), karya Syair Singapura
Terbakar(1830), Dewa-ul-kulub (1883), dan sebagainya. Sarjana bahasa
bersepakat bahawa dari segi penggunaan bahasa Melayu, Abdullah Munsyi tidak
boleh dikategorikan sebagai tokoh bahasa yang terbaik. Abdullah menggunakan
bahasa Melayu yang tidak setaraf dengan bahasa Melayu yang terdapat dalam
karya-karya Melayu lama. Hal ini demkian kerana, Abdullah dilahirkan dalam
keluarga yang bertutur dalam bahasa Tamil dan pada peringkat awal, bahasa
Melayu diajar oleh bapanya sendiri. Walau bagaimanapun, dengan semangat yang
tinggi, Abdullah mempelajari bahasa Melayu secara formal, teratur, dan betul.
Abdullah
boleh dianggap sebagai wartawan yang merakamkan pengalaman hidup dan
kisah-kisah yang berlaku dalam masyarakatnya. Karya yang ditulis berdasarkan
hal-hal yang menarik dan mampu memberikan manfaat kepada para pembaca kerana
cerita yang dihasilkan bukanlah cerita dongeng atau khayalan. Bahan-bahan yang
ditulis Abdullah menjadikan suatu titik persimpangan besar yang membezakan
antara karya-karya Melayu lama dengan penulisan Melayu moden. Begitu juga
dengan hasil penulisan Abdullah yang tergolong ke dalam bentuk kesusasteraan
Melayu moden. Oleh itu, Abdullah Munsyi telah diberikan penghormatan oleh
golongan sasterawan Melayu sebagai “Bapa Kesusasteraan Melayu Moden”.
TUN SRI LANANG
Latar
belakang
Seorang
lagi tokoh pengarang karya agung dunia Melayu yang diiktiraf karyanya adalah
Tun Sri Lanang. Beliau merupakan salah seorang tokoh pengarang karya agung
dahulu yang amat berjasa kepada dunia Melayu sehingga kini atas sumbangannya
yang telah mencatatkan segala hal yang berlaku pada zamannya dan segala hal
yang didengar daripada orang tua-tua dahulu. Sebagai permulaan sebelum
diperturunkan segala sumbangan dan ulasan karya beliau, baik kiranya dilihat dahulu
serba sedikit latar belakang atau biodata tokoh pengarang ini yang pada awalnya
tercatat juga di dalam kitab terkenal karangannya. Nama sebenar Tun Sri Lanang
ialah Tun Muhammad bin Tun Ahmad. Beliau merupakan anak kepada Tun Ahmad Paduka
Raja. Tun sri Lanang telah dilahirkan pada tahun 1565 di Bukit Seluyut, Batu
Sawar, Johor.
Antara
tugas yang pernah ditugaskan kepada Tun Muhammad ini adalah Bendahara Mahkamah
Diraja Kesultanan Johor sekitar abad ke-16 dan ke-17 serta pernah berkhidmat di
bawah pemerintahan dua orang Sultan Johor, iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil
Shah II pada tahun 1570 hingga 1597 dan Sultan Alauddin Riayat Shah III pada
tahun 1597 sehingga 1615. Selain itu, dalam khidmatnya, Tun Sri Lanang pernah
menjadi penasihat kepada tiga orang Sultan Acheh iaitu Sultan Iskandar Muda
(1615-1636), Sultan Iskandar Thani (1636-1641) dan Sultan Tajul Alam
Safiatuddin Shah (1641-1675). Tun Sri Lanang dalam hayatnya juga telah
digelarkan sebagai Bendahara Johor, Bendahara Paduka Raja Tun Mohamad dan
setelah menetap di Acheh, beliau digelar sebagai Orang Kaya Dato’ Bendahara
Seri Paduka Tun
Seberang.
Sumbangan
dan Peranan
Antara
sumbangan terbesar Tun Sri Lanang adalah, Tun Sri Lanang telah menulis dan
menghasilkan sebuah karya yang menjadi rujukan dan peringatan buat bangsa
Melayu, iaitu Kitab Sejarah Melayu. Dari sudut sejarah penulisannya, pada
tahun 1612, Raja Abdullah telah menitahkan Tun Sri Lanang untuk
menulis Sejarah Melayu’untuk memastikan masyarakat pada zaman tersebut mengambil
manfaat daripada penulisan tersebut. Buktinya adalah melalui petikan yang
terdapat di dalam karya tersebut yang juga disebut sebagai Sulalatus
Salatin atau Pertuturan Segala Raja-raja yang bertulis
seperti berikut;
“Bahawa
hamba minta diperbuatkan hikayat […] pertuturan segala raja-raja Melayu dengan
istiadatnya, supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan
diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh fa’edahlah mereka itu
daripadanya.”
(Sulalat
al-Salatin, edisi Karya Agung, 1997: 3)
Maka
dituliskan Kitab ini sebagai tanda taat beliau terhadap sultan, dengan
jawapannya dicatatkan seperti di bawah;
“Maka
fakir karanglah hikayat ini […] dan fakir himpunkan daripada segala riwayat
orang tuha-tuha dahulu kala supaya akan menyukakan duli hadrat baginda.”
(Sulalat
al-Salatin, edisi Karya Agung, 1997: 4)
Kitab Sejarah
Melayu ini dikatakan ditulis oleh Tun Sri Lanang bermula Februari 1614 dan
telah disiapkan pada Januari 1615. Ini bermaksud bahawaSejarah
Melayu telah ditulis 103 tahun setelah Portugis menakluk Melaka. Pada masa
tersebut juga Tun Sri Lanang masih berada dalam tawanan Acheh dan meninggal di
Acheh. Inilah kitab yang dikatakan sebagai Sejarah Melayuyang menjadi
sumber pensejarahan Melayu dan dokumen kebudayaan Melayu yang sangat penting.
Antara
lainnya, Tun Sri Lanang dalam sumbangannya terhadap dunia Melayu pernah
terlibat secara langsung dalam perancangan menawan semula Melaka sekitar tahun
1586, 1587 dan 1606. Beliau juga pernah ditugaskan untuk menyusun pertahanan
Johor bagi menghadapi serangaan Portugis dan Acheh, menjdi utusan kerajaan
Johor ke Goa untuk berunding dengan Portugis pada tahun 1612 dan pernah juga
mengatur perjanjian bersama Admiral Matelief pada tarikh 23 September
1606 untuk mempertahankan Johor daripada serangan Acheh.
Pemikiran
Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin
Pada
asalnya, Sejarah Melayu ini dikarang di Melaka dan dibawa bersama
semasa Sultan Mahmud Shah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Seterusnya,
pada tahun 1528, naskhah asal Sejarah Melayu ini telah dibawa dari
Kampar ke Johor. Pada tahun 1536, Portugis dikatakan telah merampas naskhah ini
semasa menyerang Johor. Kemudian, ia telah dibawa kembali ke Johor oleh Orang
Kaya Suguh. Pada tahun 1612, Tun Sri Lanang kembali menyalin semula dan
memperbaiki naskhah Sejarah Melayu yang sedia ada. Kebenaran sama ada
Tun Sri Lanang merupakan penulis sebenar atau sekadar penyunting
karya Sejarah Melayu ini tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun,
menurut Syeikh Nuruddin Al-Raniri seorang ulama’ dan penasihat agama Sultan
Acheh, beliau telah memperakui bahawa Tun Sri Lanang adalah pengarang dan
penyusun Sulalatus Salatin yang sebenar berdasarkan bukti tertentu
dan atas dasar beliau juga adalah kenalan rapat kepada Tun Sri Lanang.
Karya Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu) ini terisi di dalamnya pelbagai sejarah
masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Ia adalah suatu karya yang
banyak menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara dan diperakui
kekayaan isi cerita di dalamnya. Pelbagai peristiwa yang kini dilabelkan
sebagai sejarah bangsa Melayu termuat di dalam hasil pengarangan ini
termasuklah yang berunsurkan salasilah raja-raja, kisah kepahlawanan, sejarah,
humor atau jenaka, kisah-kisah cinta dan kasih sayang, kisah yang berunsur
magis dan sebagainya. Kisah-kisah ini dirakamkan dan disampaikan mesejnya
kepada pembaca melalui gambaran dan imaginasi yang tinggi, daya fikiran yang
tajam serta melalui pelukisan yang tepat. Dapat juga dilihat melalui karya ini,
Tun Sri Lanang menggunakan pelbagai bahasa, misalnya bahasa Arab dan Jawa yang
menggambarkan kelebihan beliau sebagai individu yang menguasai lebih daripada
satu bahasa.
Penulisan
Tun Sri Lanang tentang Sejarah Melayu ini antara lainnya
menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala yang boleh
menjadi contoh dan tauladan buat masyarakat Melayu pada masa ini. Melalui
pengkaryaan ini juga dapat dilihat bukti keagungan masyarakat Melayu sedari
dulu yang kini menjadi warisan dan tinggalan buat masyarakat kini serta menjadi
bukti kukuh keagungan Melayu sejak dahulu. Hal ini terbukti apabila terciptanya
ratusan puisi, drama, filem, lukisan, dan karya sejarah yang tercetus hasil
daripada karya Sulalatus Salatin serta dapat juga dilihat banyak yang
diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Russia dan Jerman.
Antara petikan yang boleh dijadikn bukti kepelbagaian kisah yang terdapat dalam
Kitab Sejarah Melayu dapat dilihat seperti berikut;
Kisah
Perkahwinan Puteri Syahrul Bariah
“Bahawa
sudahlah hamba kahwinkan anak Raja Kida Hindi yang bernama Puteri
Syahrul-Bariah dengan Raja Iskandar. Adapun isi kahwinnya tiga ratus ribu dinar
emas, redakah tuan hamba? Maka disahutnyalah Raja Iskandar, ‘Redalah hamba’.’
(Sulalatus
Salatin, 2003: 6)
Melalui
petikan di atas, dapat dilihat cara perkahwinan Islam pada masa dahulu dengan
aturannya. Nabi Khidir menjalankan tugasnya menikahkan anak Raja Kida Hindi
dengan Raja Iskandar menurut syariat Nabi Ibrahim. Melalui petikan tersebut
juga dapat dilihat cara masyarakat dahulu disatukan antara lelaki dan
perempuan. Melalui perkahwinan inilah mereka dapat menimbulkan rasa kasih
sayang antara suami dan isteri serta kekal bahagia dalam hidup berpasangan.
Kisah
Badang Beroleh Gagah
“Maka
oleh Badang diambilnya prangg dn kapaknya, serta diberani-branikan dirinya,
lalu diteerpanya menangkap janggut hantu itu,…”
(Sulalatus
Salatin, 2003: 48)
Ini
pula kisah yang memperlihatkan keperkasaan dan magis yang dimiliki oleh
masyarakat dahulu kala yang kekuatannya sukar dijangkau oleh pemikiran orang
pada zaman ini. Ada lagi kisah-kisah yang menggambarkan kekuatan, keperkasaan
dan magik, misalnya Kisah Ketiganya Sama Gagah, Mia Ruzul dengan Kambing
Randuk, Nyaris Lembing diterbangkan ke Dada dan sebagainya. Terdapat juga
kisah-kisah yang menggambarkan perihal raja-raja, adat istiadat dan sebagainya.
Kesemuanya terdapat di dalam Kitab Sejarah Melayu yang ulung
dituliskan oleh Tun Sri Lanang Bendahara raja ini.
RAJA ALI HAJI
Latar belakang
Lahirnya sesuatu karya itu bukanlah daripada kekosongan. Tentu ada tangan yang menciptanya. Bentuk dan isi sesuatu karya itu berkait rapat dengan latar belakang pengarangnya. Oleh itu, dengan mengetahui latar belakang pengarang, dan masyarakatnya dapat memudahkan sesuatu karya itu untuk difahami. Raja Ali Haji dianggap sebagai pujangga Melayu. Pujangga Melayu ini mendapat tempat yang tersendiri dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Beliau seorang pujangga yang berbakat dalam berbagai bidang. Kepelbagaian bakat ini jarang ditandingi oleh pujangga-pujangga yang lain baik sebelum mahupun selepasnya (Abu Hassan Sham, 1994: 108).
Raja Ali Haji atau nama penuhnya, Raja Ali Haji bin Raja Ahmad telah melakukan anjakan paradigma ke atas karya manuskrip Melayu yang dikarang oleh beliau. Sebagai seorang pujangga yang dianggap terkemuka dalam zamannya, beliau mempunyai wawasan tersendiri dalam memperbaiki bangsanya. Beliau mahu bangsanya selamat di dunia dan di akhirat. Mereka hendaklah bermuafakat dan jangan mengamalkan fitnah memfitnah, dan hidup di dunia hendaklah berlandaskan hukum syariat. Hal ini demikian jelas dapat dilihat dalam kebanyakan karyanya .
Beliau merupakan pujangga daripada golongan bangsawan. Namun, beliau bukan hanya menulis karya sejarah semata-mata seperti bangsawan sebelumnya iaitu Tun Seri Lanang dan Raja Culan, tetapi beliau menulis karya ketatanegaraan dan syair yang bersifat agama. Jadi, bakat beliau ialah gabungan karya-karya untuk golongan pemerintah dan juga untuk semua golongan sebagaimana yang dicerminkan dalam syair-syairnya. Beliau bukan sahaja berasal daripada keluarga bangsawan, tetapi juga daripada keluarga penyair. Bapanya, Raja Ahmad ialah pengarang Syair Ungku Puteri dan adiknya Raja Saleha dan Raja Daud juga dikatakan pengarang. Anak-anaknya iaitu Raja Hassan merupakan pengarang Syair Burung, Raja Safiah ialah pengarang Syair Kumbang Mengindera dan Raja Kalthum ialah pengarang Syair Saudagar Bodoh. Cucunya pun terdiri daripada penyair juga.
Tarikh kelahiran beliau tidak dapat dipastikan oleh para pengkaji dan menurut Siti Hawa Haji Salleh, tarikh kelahiran beliau hanya dapat diteka daripada tarikh-tarikh yang disebutnya dalam kitab Tuhfat al-Naffis, iaitu pada tahun 1809. Manakala kemangkatan beliau pula hanya dapat dianggarkan pada tahun 1869 hingga 1875 juga didasarkan daripada kitab beliau tersebut.
Raja Ali Haji bin Raja Ahmad merupakan cucu kepada Raja Haji, marhum teluk Ketapang yang telah gugur sewaktu peperangan antara Bugis dan Belanda di Melaka pada tahun 1784. Keturunannya dikesan kepada Daing Celak, salah seorang pahlawan Bugis yang berkuasa di bahagian barat Alam Melayu semenjak abad ke-18 lagi (Siti Hawa Haji Salleh, 1997: 173). Pada waktu itu, keluarga Bugis ini telah berkuasa di Riau, Penyengat yang telah menjadi pusat kebudayaan Melayu dan pusat ilmu pengetahuan Islam di Kepulauan Melayu. Keluarganya juga turut memainkan peranan yang penting sewaktu berlaku pergolakan politik pada kurun ke-18 dan kurun ke-19 di Kepulauan Melayu.
Tidak seperti remaja-remaja yang lain, Raja Ali Haji telahpun memikul amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin sejak dari usia yang muda. Hal ini demikian kerana ketika beliau masih kecil lagi beliau telah dibawa oleh ayahandanya sebagai utusan Sultan Riau untuk berjumpa dengan Baron van Der Capellen, Gabenor Jenderal Hindia Belanda. Malah seawal usia 19 tahun lagi, beliau telah pergi untuk menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan fardu haji ke Makkah. Di kesempatan itulah, beliau telah menimba ilmu pengetahuan daripada ulama-ulama yang terkenal di tanah suci Makkah.
Dalam pada itu, beliau tidak hanya dikenali sebagai seorang tokoh pujangga Melayu malahan juga turut melibatkan diri sebagai seorang guru agama. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan beliau dalam hal ilmu pengetahuan yang mencakupi pelbagai bidang sememangnya tidak dapat dinafikan. Juga daripada karya-karyanya adalah mudah kita lihat bahawa beliau bukan sahaja mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama, bahkan pintar pula berbahasa Arab (Mohamad Daud Mohamad, 1987: 146). Antara karya yang telah dihasilkan oleh beliau adalah Bustan al-Katibin (1857), Kitab Pengetahuan Bahasa (1859),Salasilah Melayu dan Bugis, Tuhfat al-Naffis dan sebagainya.
Berdasarkan Tuhfat al-Naffis, dapat diketahui serba sedikit latar belakang keluarga dan kehidupan beliau. Ibunya ialah Puan Hamidah iaitu anak Panglima Perang Malik dari Selangor. Raja Salihah yang dikatakan pengarang Syair Abdul Muluk ialah saudara seibu sebapa dengan beliau. Raja Ali Haji mempunyai beberapa orang isteri. Isteri pertamanya ialah Sulung dan mereka mempunyai beberapa orang anak. Hasil perkahwinan dengan isteri kedua iaitu Raja Halimah, melahirkan Kalthum pengarang Syair Saudagar Bodoh dan Raja Hassan, pengarang Syair Burung. Raja Ali Haji turut berkahwin dengan Raja Safiah dan Daing Cahaya. Hasil perkahwinan ini juga menghasilkan beberapa orang anak (Abu Hassan Sham, 1994: 110).
Sumbangan dan peranan
Sumbangan terbesar tokoh pujangga Melayu ini adalah dengan melakukan evolusi terhadap karya-karya yang telah dikarang olehnya. Raja Ali Haji telah mencetuskan fenomena baharu dalam dunia penulisan manuskrip pada waktu itu. Antara pembaharuan yang dilakukan oleh tokoh ini adalah unsur pentarikhan, pengakuan menggunakan sumber-sumber lain yang terdahulu sebagai rujukan dan pengabsahan, dan pernyataan pengarang sendiri agar kesilapan yang terdapat dalam tulisannya diperbetulkan oleh anak cucu terkemudian (Siti Hawa Haji Salleh, 1997: 174). Pada era sebelum kemunculan Raja Ali Haji, unsur tarikh dalam karya yang ditulis oleh pengarang atau penyalin tidak dititikberatkan lantaran mereka masih lagi belum menyedari tentang kepentingan unsur ini dalam penulisan manuskrip yang diadun oleh mereka.
Selain itu, pembaharuan yang dicipta oleh Raja Ali Haji adalah ‘pembebasan’ terhadap pujangga Melayu yang lain bagi setiap adunan karya manuskrip mereka. Hal ini demikian kerana menurut Siti Hawa Haji Salleh, kira-kira pada tahun 1860 hingga 1872, tulisan itu telah diciptakan tidak dengan arahan raja atau untuk memenuhi keinginan raja menegakkan keabsahan asal usul mitos raja negeri yang berkenaan. Pembebasan yang dimaksudkan adalah para pujangga tidak lagi terikat dengan sultan tentang karya yang telah dihasilkan oleh mereka. Tidak seperti Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan lain-lain, hasil penulisan sejarah karangan Raja Ali Haji khususnya Tuhfat al-Naffis, telah diciptakan berdasarkan desakan hasrat hatinya sendiri:
… Dan berbangkitlah hatiku bahawa memperbuat kitab ini yang disimpan, dan di dalamnya menyatakan salasilah dan perjalanan dan tawarikh dan segala khabar-khabar.
(Sumber: Siti Hawa Haji Salleh, 1997: 174)
Petikan yang diambil daripada Tuhfat al-Naffis ini jelas mencerminkan kepada para pembaca tentang kebebasan yang dicipta oleh tokoh ini untuk mencanai sesebuah karya tanpa perlu terikat dengan keinginan pemerintah. Oleh yang demikian, keterbukaan minda oleh para pengarang untuk menghasilkan sebuah karya adalah amat diperlukan bagi menghasilkan sebuah karya yang lebih baik dan bermutu.
Jika ditelusuri dengan lebih terperinci lagi, Raja Ali Haji juga turut memainkan peranan dari aspek keilmuan dan keagamaan. Menurut Siti Hawa Haji Salleh, dari umur yang masih muda beliau sudah terkenal sebagai seorang ulama yang disegani dan ini menerangkan sebab beliau mengarang beberapa buah kitab agama. Hal ini demikian kerana sewaktu zaman kegemilangannya, Raja Ali Haji telah menjadi penasihat dan guru agama kepada Yang Dipertuan Muda Raja Abdul Rahman (1831-1844), Raja Ali (1844-1857), Raja Abdullah (1857-1858) dan Raja Muhammad Yusuf.
Raja Ali Haji juga banyak menghasilkan manuskrip yang membicarakan tentang aspek keagamaan dan peraturan dalam Islam. Antara karya beliau yang menyentuh aspek tersebut adalah Syair Siti Sianah yang membicarakan tentang hukum-hukum Islam seperti wuduk, mandi, sembahyang, puasa dan sebagai. Karya lainnya pula adalah seperti Syair Kitab al-Nikah, Syair Hukum Faraid, Gurindam Dua Belas dan sebagainya. Raja Ali Haji banyak menggunakan bahasa kiasan sewaktu mencerna karya-karya beliau. Misalnya dalam Syair Kitab al- Nikah yang mana beliau menyindir golongan ahli agama yang diwakili oleh lebai Guntur Haji Muda yang menggunakan perkahwinan cina buta sebagai jalan keluar untuk menyelesaikan masalah seorang suami yang gila talak. Namun, sindiran yang dibuat oleh tokoh terulung ini tidak dapat dilihat secara konkrit dalam setiap bait syair tersebut. Hal ini demikian kerana para pembaca perlu membuat pemerhatian yang lebih halus terhadap karya bagi melihat maksud yang hendak disampaikannya.
Dalam aspek yang lainnya pula, Raja Ali Haji juga turut berperanan terhadap perkembangan bahasa Melayu pada era ketokohan beliau. Pada waktu itu, beliau telah cuba menghasilkan sebuah manuskrip yang membincangkan tentang tatabahasa Melayu yang berjudul Kitab Pengetahuan Bahasa. Kitab ini mulai disusun pada tahun 1858 dan bukan merupakan kamus dalam erti yang sebenarnya, tetapi sejenis ensiklopedia yang mengandungi pengetahuan umum dan pendapat serta pandangan pengarang tentang kata-kata yang dimasukkan dalam buku ini (Mohamad Daud Mohamad, 1987: 135). Berdasarkan kitab tersebut, Raja Ali Haji membicarakan tentang sikap orang Melayu yang gemar merosakkan bahasa yang mana penggantian sesetengah perkataan yang sewajarnya dipertahankan sebagai pengguna asli bahasa Melayu. Misalnya, perkataan ‘bilang’ yang digunakan untuk menggantikan ‘kata’, ‘kasi’ untuk ‘beri’ dan sebagainya.
Jika dikupas dengan lebih terperinci lagi, Raja Ali Haji juga turut menebarkan sumbangannya dalam bidang pensejarahan. Hal ini dibuktikan dengan penemuan karya beliau yang berjudul Tuhfat al-Naffis (Hadiah Yang Bernilai) yang telah meriwayatkan tentang sejarah raja-raja Melayu dan Bugis. Dalam buku tersebut, beliau telah dapat meriwayatkan tentang sejarah hidupnya sendiri dengan tepat melalui penggunaan tarikh bagi mensahihkan lagi bukti yang diutarakan oleh beliau. Jika dilihat dari mata kasar, masyarakat dahulu tidak begitu mementingkan tarikh sewaktu mencanai idea dalam karya mereka namun idealis ini telah mengemukakan pembaharuan dalam dunia manuskrip pada waktu itu.
Dalam aspek pensejarahan, tarikh amat penting untuk membuktikan kebenaran tentang aspek yang yang hendak diceritakan oleh seseorang pengarang itu. Dengan adanya tarikh, tarikh kitab ini dapat diketahui oleh generasi kini, iaitu pada 1228H (1865M). Tujuan beliau menulis karya ini adalah untuk tatapan anak cucunya yang akan datang. Antara petikan yang dapat dipetik daripada manuskrip ini adalah :
Syahadan inilah kesudahan kitab Tuhfat al-nafis ini. Maka tamatlah riwayat kisah cerita-cerita antara raja-raja Melayu serta Bugis daripada anak cucu raja-raja Melayu yang keturunan daripada Marhum Abdul Jalil yang mangkat di Kuala Pahang serta Marhum Raja Kecil negeri Siak. Syahadan di belakang ini kelak siapa-siapa daripada anak cucuku hendak menghubungkannya siarah ini maka patutlah, akan tetapi dengan jalan yang patut dan dengan ibarat perkataan yang wadthu’a dan sah serta aturan yang patut serta benar supaya terpakai…
(Petikan diambil daripada buku Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik karya Mohamad Daud Mohamad, 1987,: 136)
Dalam petikan yang diambil, jelas menunjukkan bahawa beliau menghasilkan sesuatu karya untuk tatapan anak cucunya yang kemudian agar keturunan dan salasilah mereka dapat dikekalkan. Mungkin pada waktu itu, beliau telah menyedari tentang hari-hari yang akan datang mengenai salasilah keturunannya. Sikap beliau yang begitu kreatif terhadap dunia penulisan juga akhirnya menjadi contoh dan ikutan kepada pengkarya-pengkarya yang lain.
Dari aspek kebudayaan Melayu pula, Raja Ali Haji menggunakan hasil karyanya sebagai medium kawalan sosial terhadap masyarakat pada waktu itu. Kawalan sosial yang dimaksudkan adalah dari segi pergaulan, tatacara hidup masyarakat dan sebagainya. Raja Ali Haji telah menggunakan manuskrip beliau untuk mengkritik cara kehidupan masyarakat pada waktu itu yang telah terpengaruh dengan budaya Belanda yang telah datang menjajah Tanah Melayu.Seperti yang diketahui, budaya Barat dan Timur sememangnya ibarat minyak dan air yang tidak akan dapat digabungkan menjadi satu. Hal ini demikian kerana kepercayaan yang berbeza menyebabkan kedua-dua budaya ini tidak dapat diguna pakai oleh masyarakat Melayu. Oleh yang demikian, Raja Ali Haji telah mengkritik perlakuan-perlakuan mereka yang dirasakan oleh beliau tidak sejajar dengan budaya masyarakat Melayu.
Misalnya dalam Tuhfat al-Nafis, beliau telah melakukan kritikan halus terhadap gaya hidup orang istana sewaktu berjumpa dengan gabenor Jeneral Van Der Capellen. Antara petikan kritikan beliau adalah:
Syahadan pada suatu malam yang lain pula datang lagi panggilan Gabenor Jenaral pada suatu rumah tempat orang-orang bermain dan makan-makan. Di situlah segala Holanda yang muda-mudi menari bersama-sama perempuan nonanya berpeluk-peluk dengan muzik. Lepas selesai itu baharulah makan-makan hingga pukul satu.
Masing-masing pun baliklah ke rumahnya…
(Petikan
diambil daripada buku Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik karya Mohamad
Daud Mohamad, 1987,: 136)
Dalam
petikan tersebut, mencerminkan bahawa perlakuan para tetamu yang hadir yang
mana mereka berpelukkan merupakan satu perlakuan yang jauh tersasar daripada
kehendak syariat. Oleh yang demikian, sebagai salah seorang daripada orang
istana, tokoh pengarang ini tidak dapat menyatakan kritikannya secara terangan
lalu telah mengkritik sikap tersebut melalui karyanya. Penggunaan bahasa yang
tepat yang telah digunakan oleh beliau dapat menyampaikan maksud tersirat yang
ingin diperkatakan olehnya.
Kesimpulannya,
peranan dan sumbangan Raja Ali Haji sangat banyak sepanjang penglibatannya
dalam bidang kepengarangan. Walaupun terdapat pembaharuan yang dibuat oleh
tokoh ini namun beliau masih tetap dianggap sebagai pengarang yang klasik.
Beliau bijak memanipulasikan pembaharuan yang dibuat untuk disesuaikan dengan
arus zaman pada ketika itu tanpa meninggalkan adab resam serta budaya orang
Melayu yang mementingkan kesantunan dalam kehidupan seharian.
Pemikiran
Raja Ali Haji
Tuhfat
al-Naffis
Tuhfat
al-Naffis merupakan antara karya Raja Ali yang terulung pada era
kegemilangan beliau. Kitab ini tergolong dalam karya sejarah kerana
menceritakan tentang salasilah keturunan beliau. Namun demikian merujuk kepada
pendapat yang menyatakan bahawa beliau hanya mengolah semula karya ini kerana
pada asalnya karya ini telah ditulis oleh ayahandanya, iaitu Raja Haji Ahmad.
Untuk menyokong lagi teori bahawa Tuhfat ditulis bersama adalah
hakikat bahawa Raja Ali Haji diketahui telah mengerjakan semula
sekurang-kurangnya dua teks yang lain. Syair Sultan Abdul Muluktelah
diterbitkan di bawah namanya. Tetapi dikatakan sebagai karya saudara
perempuannya, dan Salasilah Melayu dan Bugis adalah berdasarkan
kepada kitab yang dipunyai oleh saudara Raja Ali, iaitu Sayyid al-Syarif Abdul
Rahman dari Pontianak (Virginia Matheson 1982: xx), (Harun Jaafar: 109). Oleh
yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa Tuhfat al-Naffismerupakan karya
bersama antara Raja Haji Ahmad dengan Raja Ali Haji. Namun begitu, tokoh
terulung ini juga turut memaparkan cerminan ideanya yang tersendiri tanpa
meminggirkan idea asal ayahnya.
Dalam
karya sejarah ini, beliau telah membahagikannya kepada dua bahagian, iaitu
bahagian pertama menceritakan tentang Raja-Raja Melayu Pertama dan bahagian dua
memaparkan tentang pelbagai aspek, iaitu catatan sejarah mengenai orang-orang
Bugis. Penceritaannya dalam karya ulung ini masih lagi memasukkan unsur mitos
dan lagenda. Namun demikian beliau telah meminimumkan unsur-unsur ini. Namun
hal yang demikian, karya ini telah menemukan tentang unsur intertekstualiti,
iaitu unsur-unsur lain yang mempengaruhi teks tersebut. Menurut Mana Sikana
(1996), intertekstualiti mengatakan bahawa sesebuah teks tidak hanya berdiri di
kaki sendiri melainkan dihuni oleh teks atau teks-teks yang lain.
Fenomena
yang mewujudkan unsur intertekstualiti ini adalah rentetan daripada pengaruh
karya-karya lain wujud secara terdahulu sebelum karya Tuhfat
al-Naffis. Misalnya dalam karya ini yang menceritakan tentang proses
pengislaman golongan bangsawan. Namun, proses pengislaman dalam Tuhfat
al-Naffis bagi golongan bangsawan diceritakan dalam bentuk mitos (Harun
Jaafar, 112). Beliau menyatakan bahawa pengislaman Raja Kecil Besar adalah
melalui mimpi yang mana Raja Kecil Besar telah diIslamkan oleh nabi Muhammad
sendiri. Hal ini telah diungkapkan oleh Shellabear melalui karya Tuhfat al-naffis pada
tahun 1961.
Dalam
pada itu, beliau turut memasukkan hal-hal peperangan yang terjadi pada zaman
tersebut. Fenomena ini menjurus kepada cerita tentang peperangan yang terjadi
antara Belanda dengan Bugis. Misalnya, isu percubaan untuk berdamai dengan pihak
berikat tersebut yang menemui jalan buntu. Beliau memilih untuk mencanai idea
tersebut agar dapat dijadikan tauladan oleh generasi yang akan datang.
Pemikiran beliau yang sangat optimis itu sangat membantu dalam aspek
pensejarahan keturunan Bugis amnya.
Di
samping itu, unsur intertekstualiti daripada pengaruh kekuasaan raja juga turut
diselitkan dalam karya tuhfat ini. Misalnya, Raja Ali Haji
yang menceritakan tentang adat dan larangan oleh kaum kerabat diraja pada waktu
itu yang diguna pakai sehingga hari ini walaupun ada antara adat tersebut
telahpun ‘dibersihkan’ mengikut peredaran zaman. Beliau menyatakan bahawa
Sultan Muhammad Syah merupakan individu pertama yang meletakkan adat-adat
Melayu seperti warna kuning yang tidak boleh dipakai oleh rakyat jelata dan
sebagainya untuk diaplikasikan oleh keturunan diraja yang lainnya (Raja Ali
Haji dalam Virginia Matheson,1982:5). Beliau mencanai idea tersebut melalui
adat-adat orang besar yang berlaku pada waktu itu untuk digarap sendiri dalam
karya tuhfattersebut.
Seterusnya
unsur lagenda juga turut diselitkan dalam Tuhfat al-Naffis sebagai
bahan olahannya dalam karya ini. Seperti yang diketahui, pada zaman tersebut
cerita-cerita lagenda amat popular sehinggakan menarik hati Raja Ali untuk
menggarap isu tersebut. Hal ini demikian kerana beliau yang terpengaruh
dengan Sulalatus Salatin yang juga turut menceritakan tentang hal
tersebut. Misalnya cerita lagenda yang dimasukkan oleh beliau adalah tentang
Badang yang menjadi kuat setelah memakan muntah hantu.
Kesimpulannya,
tokoh ini merupakan antara tokoh yang bijak dalam memanipulasikan idea dalam
setiap karya yang ditulis oleh beliau. Unsur intertekstualiti yang dimasukkan
oleh beliau dalam karya tersebut bukanlah bertujuan untuk ‘memplagiat’ namun
lebih kepada tujuan memperkuatkan hujah yang dinyatakan oleh beliau agar lebih
mantap dan berkesan terhadap pembaca.
Bustan
al- Katibin
Karya
ini merupakan hasil penulisan Raja Ali haji yang jauh berbeza dengan
karya-karyanya yang lain. Hal ini demikian kerana karya ini lebih melihat
kepada aspek bahasa atau nahu dan bukannya cerita-cerita sejarah
seperti Tuhfat al-Naffis. Terpadat pendapat mengatakan, sebenarnya karya
ini bukanlah sebuah hasil karya tentang nahu Melayu, namun sebenarnya
penggunaan bahasa Arab ke atas bahasa Melayu. Sukar untuk mengatakan bahawa
beliau telah cuba mengenakan nahu Arab ke dalam Bahasa Melayu ataupun
sebaliknya. Bahagian yang paling besar tentang karya ini terdiri daripada
Mukadimah diikuti oleh 31 Fasal atau perkara mauduk dan disimpulkan oleh tiga
pesan atau nasihat yang ingin disampaikan oleh beliau. Dalam bahagian besar
kitab ini, beliau bukan sahaja memperkatakan analisis ilmu bahasa tentang
bahasa tersebut, tetapi menekankan juga perkara-perkara seperti nilai ilmu
pengetahuan. Bahagian pengenalannya, sepertimana juga dengan kebanyakkan corak
karya-karya klasik lain, diselangi dengan ungkapan-ungkapan Arab yang
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian jelas merupakan bentuk
yang dianjurkan dan digunakan oleh beliau terutama sekali dalam menulis warkah
kiriman. Kemudian, dengan menggunakan bahasa Arab, disebutkan nama pengarang
dan tujuan beliau menulis sebuah buku tentang bahasa dengan terjemahan bahasa
Melayu seperti berikut :
“ini
lah suatu kitab yang simpan bagi orang yang berkehendak atas mengenal segala
huruf Melayu dan suratannya dan aku aturkan dia atas suatu mukadimah dan
beberapa fasal dan satu khatamah. Aku namai akan dia Bustanul Katibin yakni
perkebunan jurutulis bagi kanak-kanak yang hendak belajar.”
(Sumber:
Mohamad Daud Mohamad, 1987: 159)
Mukadimah
yang agak panjang diberikan oleh beliau antaranya mengandungi suatu
perbincangan tentang pentingnya ilmu pengetahuan, cara bagaimana ilmu
pengetahuan diperoleh, hubungan dengan guru dan lain-lain.
Kitab
atau karya ini mewakili suatu percubaan bagi menganalisis bahasa Melayu dengan
pelbagai peraturan ilmu bahasa dan nahu bahasa Arab yang telah digunakan bagi
mencapai matlamat ini. Hal ini demikian bukan sahaja disebabkan, beliau seorang
yang fasih berbahasa Arab, tetapi juga kerana bahasa Melayu itu sendiri
terutama dalam bentuk tulisannya telah banyak dipengaruhi oleh penggunaan
bahasa Arab. Orang-orang terpelajar dan intelektual pada masa itu merupakan
individu yang mahir dan mempunyai pengetahuan dalam bahasa Arab. Hal
ini demikian kerana, kegiatan intelektual yang paling unggul dalam zaman klasik
adalah pengajian agama.
Dari
segi sejarah dan kebudayaan, hal ini adalah penting kerana karya ini muncul
dalam masa pertengahan kedua abad yang ke-19, iaitu apabila tatanegara yang
bercorak klasik telah memberikan lorong buat suatu peraturan sosial bentuk baru
yang digariskan dalam pengembangan bangsa-bangsa Eropah ke alam Melayu. Pada
mulanya, seperti juga penggunaan istilah-istilah peribumi
seperti nama digunakan disamping istilah
Arab ismuatau perbuatan bahasa Arabnya fiil disamping
bahasa istilah Arab memang dapat dilihat walaupun separuh daripada
percubaan-percubaan itu agak janggal dan sukar difahami. Namun demikian,
masalah-masalah seperti ini bukan digunakan khusus oleh Raja Ali Haji sahaja,
bahkan Zaaba pun dalam Pelita Bahasa Melayu terpaksa menggunakan
istilah-istilah yang sama dan jarang digunakan.
Raja
Ali Haji dianggap sebagai pujangga bercorak klasik yang terakhir dan fakta ini
digambarkan dalam Bustan al-Khatibin. Beliau memperkenalkan suatu
unsur baru dalam dunia persuratan Melayu dengan mencuba menggunakan sistem
penggunaan nahu untuk bahasa ini serta mempertahankan gaya bahasa klasik. Dalam
Fasal yang terakhir melalui kitab ini, Raja Ali Haji menerangkan dengan jelas
model bagi menulis surat kiriman. Menurutnya :
Bermula
perkataan pada surat kiriman itu, maka hendaklah dimulai dengan
Bismillahir-Rahmanir-Rahim; kemudian dengan Alhamdulillah, yakni memuji-muji akan
Allah Taala, mana-mana yang munasabah, dan yang layak pada pekerjaan dan maksud
di surat kiriman itu. Kemudian, maka selawat akan nabi kita serta
keluarganya dan sahabatnya. Kemudian barulah dirinya dengan salam takzim dan
mana-mana yang layaknya dan yang munasabahnya. Kemudian barulah datangkan
perkaraan yang menceraikan perkataan puji-pujian dengan perkataan yang
dimaksud, iaitu waba’dah atau amma ba’du. Dan terlebih baik dan terlebih simpan
daripada menyebutkan daripada kalam almazkut dan terlebih fasihat lagi pula
daripada diberi akan makna..”
(Sumber:
Mohamad Daud Mohamad, 1987: 161)
Kesimpulannya,
Kitab Bustan al-Katibin masih lagi mewakili pandangan dunia yang
bercorak klasik berhubung penggunaan bahasa walaupun percubaan menyelesaikan
suatu nahu untuk bahasa Melayu itu sendiri merupakan suatu perubahan
baharu.
Kitab
Pengetahuan Bahasa
Karya
Raja Ali Haji yang berkait rapat dengan bahasa selain Bustan
al-Katibin dikenali sebagai Kitab Pengetahuan Bahasa. Kitab ini
ditulis dalam tahun 1958 tetapi diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1928
oleh Percetakan Al-Ahmadiah di Singapura. Melalui judul halaman, dapat
dikenalpasti ianya di Pulau Penyengat Riau dalam tahun 1275 Hijrah. Namun,
kitab ini tidak dihabiskan sebab kamusnya ditulis hingga ke huruf ca( چ).
Dapat dilihat juga bahawa judul halaman menunjukkan yang karya ini sebagai
penggal pertama dengan anggapan bahawa terdapat bahagian yang lain tentang
karya ini. Sebagai yang telah diterangkan dalam warkah yang dihantar kepada
Zaaba oleh penerbit pada 9 Januari 1930, karya yang diterbitkan itu merupakan
keseluruhan teks yang telah diperoleh.
Zaaba
berpendapat bahawa Kitab Pengetahuan Bahasa ini lebih bersifat kamus
dan merupakan satu petanda yang penting dalam sejarah kebudayaan orang-orang
Melayu. Walaupun ianya tidak diterbitkan zaman hidupnya penulis, ianya mewakili
suatu unsur baru dalam kegiatan persuratan yang bercorak klasik. Perkembangan
kerja-kerja perkamusan dalam kalangan peribumi Melayu dalam erti kata moden menampakkan
permulaanya dalam abad ke-19 dan percubaan Raja Ali Haji menyusun sebuah kamus
merupakan suatu yang perlu diberikan perhatian. Namun begitu, karya ini
bukanlah merupakan sebuah kamus dalam erti sepenuhnya. Dari aspek judulnya,
ianya merupakan sebuah buku tentang pengetahuan ilmu bahasa dimana ianya
dimulakan dengan suatu bab tentang nahu dengan menggunakan model bahasa Arab.
Mukadimah selepas ungkapan Arab yang biasa digunakan dalam pujian atas Nabi
menerangkan:
Yakni
ini satu pendahuluan: ketahui olehmu orang yang menuntut bahasa Melayu bahawa
sesungguhnya sekali-kali tiada boleh dapat kenyataan segala maksud bahasa
Melayu dengan sempurnanya melainkan hendaklah dengan ilmu yang tersebut yang
akan lagi datang di dalam kitab ini.
(Sumber: Mohamad Daud Mohamad, 1987: 164)
Raja
Ali Haji turut memperlihatkan pandangannya sendiri tentang perkara nahu
seperti:
Ketahui
olehmu, hai sekalian orang yang menuntut, banyaklah aku tinggalkan bicaranya
pada ilmu nahu ini, tiada aku sebutkan di sini, sebab tiada maksudku hendak
memanjangkan akan dia. Barangkali terlebih amat sukar bagi orang yang baharu
belajar mamahamkan akan dia pada ilmu Arab, akan tetapi apatah dayaku daripada
sangat loba aku hendak memperbuatkan kaedah ini yang dipegang oleh orang yang
berkehendak akan membetulkan perkataannya dan suratannya, jika aku bukanlah
ahlinya itu sekalipun pada yang demikian itu.
(Sumber: Mohd. Taib Osman,
1987: 164)
Terdapat
sesutau yang menarik dimana pengetahuan tentang ilmu bahasa atau nahu dipanggil
sebagai ‘ilmu Arab’, dan pernyataan tentang nahu dalam kitab tersebut tidak
dapat diragukan lagi ialah bahasa Arab yang dipadankan kepada bahasa Melayu.
Sebagaimana dalam Bustan al- Katibin, contoh-contohnya terdiri daripada bunyi
Arab daripada bunyi Melayu. Dalam beberapa ilustrasi tertentu, seperti dalam
hal gelaran, sebahagian yang dibincangkan ditemui dalam hidup orang-orang
Melayu di zamannya seperti sultan, raja, menteri, baginda, yang dipertuan
besar, yang dipertuan muda dan sebagainya.
Bahagian
tentang huruf menunjukkan terdapat pengkategorian bahasa Arab yang sememangnya
tidak selari dengan bahasa Melayu. Contohnya, kategori tentang
istilah jar termasuk dalam kata petunjuk dan juga sebagai dengan,
daripada, kepada, hingga dan sebagainya. Dalam kategori selain
daripada jar ia termasuk kata-kata seruan dan kata penyambung ayat
seperti hoi, weh dan sebagainya. Dalam istilah tiada, beliau menerangkan bahawa
terdapat pengertian yang sangat terhad dalam menggunkan kata negatif dalam
bahasa Melayu jika dibandingkan dengan bahasa Arab yang terdapat beberapa
peraturan berhubung penggunaannya.
Kata
interogetif termasuklah adakah, betapakah, beberapa, kerana dan apa. Namun
mengkategorikan siapa, manakala, mana-mana dan di mana
sebagai ismu bertanya. Penerangan beliau tentang perkataan-perkataan
seperti ini hampir sama seperti yang dilakukan dalam bahasa Melayu. Adalah
merujuk kepada pertanyaan pada, betapakah merujuk kepada hal, berapa merujuk
kepada bilangan, kerana apa merujuk kepada sebab, apa merujuk kepada zat, siapa
merujuk kepada batang tubuh, di mana merujuk kepada tempat dan
sebagainya.
Beliau
turut mengkategorikan perkataan-perkataan seperti bahkan, supaya, dan maka
sebagai huruf jawab iaitu perkataan-perkataan ini menerangkan apa yang telah
diucapkan sebelumnya. Dan, maka, kemudian, atau dan tetapi dikategorikan
sebagai ‘huruf mengikut’ mengikut istilah Arab. Beliau juga menjelaskan
perbezaan antara ayat yang lengkap, ayat yang tidak lengkap, dan perlengkapan
dalam suatu ayat dengan menggunakan istilah perkataan, kata-kata dan kata yang
berurutan. Ketiga-tiganya dikatakan berbentuk ismu, fiil dan huruf.
Kemudiannya beliau menjelaskan lagi tentang pembentukan atau pembinaan ayat
yang dimulakan dengan perkara-perkara, kemudian diikuti oleh perbuatan.
Bab pertama kamus ini merupakan bahagian yang
paling utama iaitu banyak membincangkan perkataan-perkataan yang dimulakan
dengan huruf alif آ) ) dan ianya dimulai dengan eksposisi yang
panjang lebar tentang Allah. Hal ini demikian diikuti oleh Ahmad iaitu nama
Nabi Muhammad yang ada dinyatakan dalam Injil, suatu penerangan tentang
sahabat-sahabat nabi, asal usul dan tabiat manusia termasuklah kehidupan
selepas mati. Hal ini demikian termasuklah juga penekanan kepada
perangai-perangai yang terdapat pada manusia seperti tamak haloba dan angkuh
serta sifat-sifat lain yang bertentangan dengan Islam. Terdapat juga eksposisi
yang panjang lebar tentang hari kiamat.
Bab
kedua dan seterusnya telah mengambil bentuk sebuah kamus namun susunannya tidak
mengikut huruf tetapi lebih cenderung kepada melihat aspek bunyi sesuatu kata
itu. Dalam kamus ini banyak perkataan biasa ditemui dalam kamus pada hari ini.
Namun, ianya penting dalam menerangkan perkataan-perkatan tersebut yang tidak
lagi digunakan pada waktu ini. Terdapat istilah-istilah ganjil dari gugusan
Riau-Lingga terutama sekali perkataan yang berasal dari Bugis. Dalam penerangan
terhadap beberapa perkatataan, Raja Ali Haji menggunakan pengetahuan sejarahnya
bagi menerangkan secara lebih lanjut tentang ertinya. Perkataan
seperti uputidak sahaja menerangkan maknanya iaitu nama anak-anak raja
Bugis di negeri Luwok tetapi beliau terus menghubungkan sejarah nenek moyangnya
iaitu anak raja Bugis lima beradik yang memerintah empayar Johor-Riau pada abad
ke-18.
Perkataan
tengku diberikan penerangan yang panjang dengan menggalurkan penggunaanya dari
waktu Seri Teri Buana dari Palembang sehingga ke waktu beliau hidup terutama
dalam menjelaskan perbezaan tengku, ungku atau raja. Hal ini demikian digunakan
oleh keturunan pahlawan-pahlawan Bugis dan mereka berketurunan dari nasab
raja-raja Johor. Hal ini turut memperlihatkan pemikiran Raja Ali Haji yang
menggambarkan perkara mauduknya dengan jelas. Raja Ali Haji sememangnya
istimewa kerana mampu memberikan contoh-contoh yang memang sinonim dengan
bentuk-bentuk yang muncul dari sesuatu itu. Contoh-contoh yang diberikan
selalunya daripada cakap ajuk supaya mudah difahami. Banyak perkataan yang
diberikan nafas baru melalui kamus ciptaan beliau ini.
Secara
kesimpulannya, merujuk kepada karya beliau ini dalam konteks masa dan zaman
ketika itu, karya Raja Ali Haji sememangnya tersohor dan beliau boleh dikatakan
sebagai pelopor kerana beliau tidak mempunyai sebarang model untuk dijadikan
contoh dalam karyanya itu. Bahkan karya beliaulah yang dirujuk untuk melihat
konteks bahasa atau nahu secara lebih jelas oleh masyarakat pada zaman tersebut
dan berkembang hingga hari ini.
HAMZAH FANSURI
BIOGRAFI
Syeikh
Hamzah al-Fansuri dilahirkan di Barus atau Fansur pada pertengahan abad ke-16
hingga awal abad ke-17, tetapi tarikh lahir secara tepat belum dapat
ditentukan. Fansur merupakan sebuah kampung yang terletak di antara Kota
Singkel dengan GosongTelaga (Aceh Selatan). Semasa zaman Kerajaan Aceh
Darussalam, Kampung Fansur itu terkenal sebagai pusat pendidikan Islam di
bahagian Aceh Selatan. Perbezaan pendapat menyatakan bahawa beliau dilahirkan
di Syahrun Nawi atau Ayuthia di Siam dan berhijrah serta menetap di Barus. Ayah
Syeikh Hamzah al-Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh pernah menjadi gabenor di
Kota Sri Banoi. Beliau menggantikan Gabenor Wan Ismail yang berasal dari
Patani, yang telah melepaskan jawatan kerana usianya yang lanjut.
Ibu
bapa Hamzah telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Suasana dan
keadaan ini mendorong beliau hidup terpencil dan berdagang atau mengembara dari
sebuah negeri ke sebuah negeri. Sewaktu mengembara dan berdagang itu, Syeikh
Hamzah al-Fansuri telah belajar berbagai-bagai ilmu dalam masa yang lama.
Selain menimba ilmu di Aceh, beliau juga telah mengembara ke pelbagai tempat,
di antaranya ke Banten (Jawa Barat).Sumber lain juga menyatakan bahawa beliau
pernah mengembara keseluruh tanah Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi
dan Arab.
Dikatakan
bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat mahir dalam ilmu-ilmu fikah, tasawuf,
falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan lain-lain. Dalam bidang
bahasa pula, beliau menguasai dengan kemas seluruh sektor ilmu Arabiyah dan
fasih dalam pengucapan bahasa tersebut. Beliau juga berkebolehan dalam pelbagai
bahasa lain seperti bahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa. Bahasa Melayu telah
menjadi bahasa ibundanya. Bahasa Melayu yang digunakannya itu sudah
memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan sekarang.
Menurut
Muhammad Naguib al-Attas, Hamzah Fansuri diperkirakan meninggal menjelang tahun
1607, sedangkan L.F Brakel menyebutkan bahwa Hamzah Fansuri masih sempat hidup
hingga tahun 1620.
KEDUDUKAN
DAN SUMBANGAN HAMZAH FANSURI TERHADAP PERKEMBANGAN KESUSASTERAAN MELAYU
SYEIKH
Hamzah Fansuri ialah seorang ulama dan pujangga besar Melayu.Beliau merupakan
penyair Melayu pertama yang mengubah syair-syair bersifat agama.Hamzah Fansuri
adalah seorang yang sangat terkemuka dalam kalangan orang Melayu kerana
syair-syair dan puisi-puisinya yang menakjubkan.
Syair-syair
Hamzah Fansuri yang diketahui tidak kurang 32 untaian. Syair-syairnya dianggap
sebagai syair Melayu pertama yang ditulis dalam bahasa Melayu, iaitu sajak
empat baris dengan pola bunyi akhir aaaa pada setiap barisnya. Ciri-ciri
sajaknya yang menonjol di antaranya menjadi puisi Melayu klasik.
Pertama,pemakaian penanda kepengarangan. Kedua, banyak petikan ayat Al-quran,
hadis, pepatah, dan kata-kata Arab. Hal ini menunjukkan cepatnya proses
Islamisasi dalam penggunaan bahasa, kebudayaan dan sastera Melayu abad ke-16.
Ketiga, dalam setiap bait terakhir syairnya selalu mencantumkan takhallus (nama
diri), iaitu nama julukan yang biasanya didasarkan pada nama tempat kelahiran
penyair atau tempat ia dibesarkan. Keempat, terdapat pula tamsil dan
citraan-citra simbolik yang biasa digunakan oleh penyair-penyair Arab dan
Persia dalam melukiskan pengalaman dan gagasannya. Kelima,kerana paduan yang
seimbang antara diksi (pilihan kata), rima dan unsur-unsur puitik lainnya.
Dalam
bidang sastera, Hamzah Fansuri mempelopori pula penulisan puisi-puisi Islam
bercorak kesufian, mistik, metafizik dan pembicaraan terhadap hubungan insan
dengan penciptanya dan manusia seluruhnya. Kandungan puisi-puisinya sukar
ditandingi oleh penyair lain yang sezaman atau selepasnya. Beliau ialah orang
pertama yang memperkenalkan syair dan puisi empat baris dengan skema sajak
akhir aaaa seperti sebelumnya. Dilihat dari strukturnya, syair yang
diperkenalkan oleh Hamzah Fansuri seolah-olah merupakan perpaduan antara sajak
Parsi dengan pantun Melayu. Hamzah Fansuri juga telah berhasil meletakkan
dasar-dasar puitika dan estetika Melayu. Pengaruh itu masih dapat diamati
sehingga sekarang, seperti dalam karya penyair Pujangga Baru, sasterawan
angkatan 70-an dan sebagainya. Bidang kebahasaan,Hamzah Fansuri telah
memberikan beberapa sumbangan. Pertama, sebagai penulis pertama kitab keilmuan
dalam bahasa Melayu, beliau berhasil mengangkat bahasaMelayu menjadi bahasa
intelektual dan ekspresi keilmuan yang hebat. Oleh sebab itu, kedudukan bahasa
Melayu di bidang penyebaran ilmu dan persuratan menjadi sangat penting dan
mengungguli bahasa-bahasa Nusantara yang lain pada waktu itu.
Sumbangan
dan pemikiran selanjutnya mengenai kebahasaan dapat dibaca dalam syair-syair
dan risalah-risalah tasawuf Hamzah Fansuri, sangat besar jasanya dalam proses
Islamisasi bahasa Melayu. Islamisasi bahasa sama saja dengan Islamisasi
pemikiran dan kebudayaan. Syair-syairnya bukan sahaja memperkaya perbendaharaan
kata bahasa Melayu tetapi juga mengintegrasikan konsep-konsep Islam dalam
berbagai-bagai bidang kehidupan dalam sistem bahasa. Karya-karya sufisme dalam
bentuk syair telahmengubah perspektif dan fungsi sastera ini. Beliau telah
memperkenalkan satu dimensi baru untuk memahami kehidupan dan keindahan.
Melalui hasil karangannya, dijelaskan mengapa orang harus mencari Tuhan dan
juga sebagai garis petunjuk untuk mencari Tuhan. Syair-syair Hamzah sarat dengan
estetika, ilmu dan falsafah diolah berdasarkan pengaruh pantun menampakkan
bahawa Hamzah menguasai puisi Parsi bersifat tasawuf dan memupuk rasa cinta
akan Allah. Hamzahlah penyajak Melayu pertama yang menggunakan syair dalam
tulisan agama.
Sesungguhnya,
Hamzah melalui pengalaman peribadi dan dirinya sebagai fokus telah menukar
konsep sastera, kepengarangan dan konsep diri. Paling penting beliau telah
mengungkapkan perubahan dari segi persepsi kehidupan dunia Melayu. Hamzah
memberi sumbangan yang sangat besar kepada kesusasteraan Melayu dan
Nusantara.Hasil karyanya mengandungi benih-benih inovasi yang kemudiannya
diwarisi oleh pengarang Melayu seperti Abdullah Munshi, Raja Ali Haji dan
Salleh Perang.
KARYA
HAMZAH FANSURI
Asrar
al-Arifin (Rahsia Orang yang Bijaksana)
Sharab
al-Asyikin (Minuman Segala Orang yang Berahi)
Zinat
al-Muwahidin (Perhiasan Sekalian Orang yang Mengesakan).
Syair
Si Burung Pingai
Syair
Si Burung Pungguk
Syair
Sidang Fakir
Syair
Dagang
Syair
Perahu
SUMBER
SUMBER
http://karyaagung3022.blogspot.com/2013/05/tokoh-karya-agung.html













Tiada ulasan:
Catat Ulasan